Thursday, December 14, 2017

Anugerah Citra Sahabat DBP 2017

PERSATUAN PENULIS NEGERI SEMBILAN (PEN)
PENERIMA  ANUGERAH CITRA SAHABAT DBP 2017, 
KATEGORI PERSATUAN/PERTUBUHAN.

Alhamdulillah!
Bersempena dengan Majlis Hari Inovasi DBP 2017, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) terpilih sebagai Penerima Anugerah Citra Sahabat DBP 2017.  Majlis gilang-gemilang itu berlangsung pada 8 Disember  2017 (Jumaat) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

PEN didaftarkan pada 28 Oktober 1968. Nombor pendaftarannya 118 Negeri Sembilan. Pada tahun 2018, PEN bakal merayakan ulang tahunnya yang ke-50. PEN bergerak untuk menyatupadukan penulis menerusi bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Perjuangan PEN adalah untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan kebangsaan. (Matlamat: Perlembagaan PEN)

Pengiktirafan ini amat bermakna kepada PEN. Inilah pertama kali PEN terpilih untuk memenangi sebarang anugerah. Kami berharap seluruh Jawatankuasa serta ahli PEN akan berasa tergugah untuk meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa dan persuratan melalui karya yang bermutu dan bermanfaat.

Surat makluman dan undangan daripada Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka.


Hadiah yang diperoleh, plak, sijil dan sepasang buku.


                                       Ketua Satu PEN, menerima anugerah daripada
                               YBhg. Dato' Sri Alias bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha,
                                                Kementerian Pendidikan Malaysia.


Wakil PEN; dar kiri Puan Nisah Haron (Ketua Dua),
Puan Hajah Mahaya Mohd.Yassin (Ketua Satu) dan
Dr. Norhana Bakhary (AJK)  


                                                                  ~~~~~~~~~~~~~~~


KEGIATAN

Dalam sijil tercatat "...kerana sumbangan dan kerjasama dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu..."

Antara kegiatan PEN

1) PROGRAM SENI BERBAHASA

Program dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Negeri Sembilan (JKKNNS) ini dilaksanakan pada setiap Sabtu pagi. Kegiatan merangkumi ceramah, bimbingan, tunjuk cara dan perkongsian ilmu dan kemahiran dalam bidang bahasa dan persuratan. Peserta terdiri daripada kanak-kanak, murid, pelajar IPT, staf jabatan dan orang awam.

 
2) PROGRAM BERBALAS PANTUN

 Pada tahun 2016, PEN diamanahkan untuk menganjurkan Program Berbalas Pantun antara jabatan di Negeri Sembilan, pada 26 Oktober. Pada 5 Oktober telah dijalankan taklimat dan latihan agar semua peserta dan petugas benar-benar bersiap siaga dalam prgoram tersebut. Sebanyak lapan buah pasukan mengambil bahagian.  Tema program ialah Adat dan Budaya Negeri Sembilan. Justeru, setiap pasukan memilih nama suku Adat Perpatih.

Juara ialah Pasukan Suku Tanah Datar (Jabatan Penyiaran) dan Pemantun Terbaik ialah Encik Mohd. Fazreen bin Mohd. (Suku Tanah Datar).

                                                             Acara peringkat akhir


            Encik Mohd. Fazreen bin Mohd. dan Pasukan Suku Tanah Datar, menerima hadiah.

3) BENGKEL PENULISAN BUKU KANAK-KANAK PEN-NAMINARA 2016

Bengkel silang budaya yang pertama melibatkan kedua-dua buah negara dikendalikan pada 25 hingga 29 November 2016. Objektifnya adalah untuk merangsang kreativiti peserta hingga berupaya berdaya saing di peringkat antarabangsa, Sebanyak 23 orang peserta terdiri daripada penulis, ilustrator dan urus setia mengikuti beberapa siri taklimat/mesyuarat dan latihan. Pembimbing ialah Encik Mohd.Yusof Ismail (Yusof Gajah) dan Puan Hajah Mahaya Mohd.Yassin.

Pada 23 April, Bengkel Penulisan dan Ilustrasi Buku Kanak-kanak (sehari) di SMAP, Labu berjaya dilaksanakan. Selepas itu peserta menghadiri beberapa siri  taklimat dan proses pemantapan karya sebelum berangkat.


                     Ahli Jawatankuasa bermesyuarat di Pulau Nami pada 19 hingga 23 Mei 2016

 Rombongan PEN disambut dengan meriah. 
Sebidang kain rentang yang membangkitkan semangat di gapura Pulau Nami, menyerlah!


Semasa sesi pertukaran cenderamata, PEN menyampaikan
lebih 40 buah karya ahli dan cenderamata darihal Negeri Sembilan.


 Taklimat dan proses pemantapan karya di Pulau Nami.


KEGIATAN LAIN

* BULAN BAHASA KEBANGSAAN

PEN menganggotai Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan. Pada 6 Disember PEN dengan kerjasasama DBP dan BTPNS menganjurkan  Wacana Ilmu: Persediaan Menulis Buku Kanak-kanak.

~  PEN menyediakan skrip soalan Kuiz Bahasa dan Sastera untuk siaran di Negeri FM (Jabatan Penyiaran).


* PESTA BUKU JEMPOL-JELEBU

PEN terlibat menganjurkan kegiatan bahasa dan persuratan seperti diskusi, ceramah dan bimbingan penulisan kreatif, bersempena dengan pesta ini.  Pada tahun 2016, berlangsung Dialong Penulis dan pada tahun 2017 telah dianjurkan Bengkel Penulisan Puisi Dewan Siswa dalam kalangan pelajar di kedua-dua daerah tersebut.


*  SAYEMBARA DEKLAMASI HARI KEBANGSAAN

 PEN sebagai badan kerabat GAPENA diberi mandat menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan saban tahu, dengan kerjasama DBP dan jabatan lain.


* SARI BAHASA

Rancangan bimbingan bahasa Melayu ke udara di NegeriFM pada hari Isnin hingga Khamis. Cogan kata rancangan ialah "Betulkan yang Biasa dan Biasakan yang Betul".

* RANCANGAN PANTUN BERJAWAP, RANCANGAN SASTERA, ULASAN LAGU

Rancangan  bahasa dan persuratan yang di atas pernah berkumandang di radio NegeriFM.


Sesungguhnya, PEN amat menghargai pengorbanan, sumbangan dan kerjasama yang amat erat daripada YAB  Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.
Semangat dan keprihatinan beliau menyuntik serta mendorong sifat berdaya juang unyuk berkarya, dalam kalangan ahli serta warga Negeri Sembilan. Sepanjang pentadbiran beliau, telah berlangsung lima kali Majlis Anugerah Sastera iaitu pada tahun 2004, 2005, 2007, 2015 dan 2017.

Selain itu, PEN tidak lupa akan jasa semua yang turut menyemarakkan bantuan nan pelbagai kaedah dan bentuk kepada PEN selama ini. Ketua-ketua Jabatan, Dewan Bahasa dan Pustaka, GAPENA, pihak sawasta, individu serta para ahli turut menitipkan sumbangan sehingga PEN terpilih untuk menerima Anugerah Citra Sahabat DBP 2017 ini.

Sutera putih tudung peribadi,
      Puteri Rani menyanyi  di taman;
Terima kasih daun keladi,
      Budi mewangi berzaman-zaman.

"Mendidik dan Memugar Bahasa, Sastera dan Budaya Bangsa"



Nukilan,
Ketua Satu PEN.
Khamis, 25 Rabiulawal 1439H/ 14 Disember 2017.

Wednesday, November 15, 2017

Majlis Anugera Sastera dan Media Negeri Sembilan 2017

MAJLIS ANUGERAH SASTERA DAN MEDIA NEGERI SEMBILAN 2017
Perasmian: YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan,
Menteri Besar Negeri Sembilan.
1 November 2017 (Rabu), di Klana Resort, Seremban.


Tokoh yang amat cakna akan kepentingan sastera dan media dalam membantu pembangunan masyarakat. Di bawah kepimpinan beliau, telah berlangsung lima kali majlis Anugerah Sastera
iaitu pada tahun 2004, 2005, 2007, 2015 dan 2017.
Alhamdulillah! Terima kasih YAB Menteri Besar dan semua yang terlibat.



Keratan daripada akhbar "Sinar Harian"



Dari kiri: YBhg. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin,
YBhg. Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, YAB Menteri Besar,
YBhg. Profesor Dr. Zakaria Ali, YB Dato' Seri Hj.Mat Ali Hassan, Setiausaha Kerajaan NS




 Dr. Khairil Idham bin Ismail


 Puan Nisah Haron




Puan Siti Jasmina Ibrahim


Puan Juriati Jalil


 Puan Ratna Laila Shahidin




Puan Zalila Isa


Isteri Allahyarham Profesor Norhalim Ibrahim



Pemenang bersama-sama AJK.
Dari kiri: Puan Zakiah Isa, Encik Yusof Gajah, Dr. Khairil Idham Ismail,
 Hajah Mahaya Mohd.Yassin, YBhg. Dati Hajah Sabarriah Shukur, 
Puan Nisah Haron dan Dr. Hayatie Abd. Rahman (Panel Penilai)




Dari kiri: YBhg. Datuk Ahmad Tarmimi Sarigar, Encik Roslan Madon, 
Puan Nen Tebabo (Negerifm), Puan Hajah Mahaya Mohd.Yassin,
Puan Zalila Isa, YBhg. Datin Fauziah, YBhg. Dato' Rahman bin Shaari,
Encik Mohd. Radzi Omar (Pengarah JKKNS)



PETIKAN UCAPAN MENTERI BESAR



Turut dilancarkan - Hasil karya kreatif guru dan murid "Inspirasi Za'ba"




Bersama-sama tetamu khas.


Sunday, October 29, 2017



DIRGAHAYU

~ Persatuan Penulis Negeri Sembilan PEN genap 49 tahun hari ini, 29 Oktober 2017.
~ Alhamdulillah! Beraneka pengalaman ditempuh dengan sabar dan yakin; manis dan getir, menyeronokkan dan membijaksanakan. Kejayaan membantu, mengasuh dan menuntun insan berbakat sehingga cemerlang di persada persuratan mengujakan amat.

~ PEN tidak berupaya menjadi PEN seperti yang ada pada hari ini, tanpa usaha nan gigih dan padu daripada pemimpinnya yang lalu, kerjasama nan erat daripada semua pihak; khasnya daripada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.
Semangat dan iltizam beliau nan istiqamah terserlah dan amat kami hargai. Terima kasih seikhlas budi Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama!

2004: Anugerah Ilmuan dan Sastera 2004; (Anugerah Penulis Remaja, Pertandingan Perpustakaan Keluarga, Anugerah NILAM, Anugerah Pusat Sumber Cemerlang)

2005: Anugerah Ilmuan dan Sastera 2005; (Anugerah Sastera, Pertandingan Perpustakaan Keluarga, Anugerah NILAM, Anugerah Pusat Sumber Cemerlang)

2007: Anugerah Ilmuan dan Sastera Anugerah Sastera 2007; (Anugerah Sastera, Pertandingan Perpustakaan Keluarga, Anugerah Pusat Sumber Sekolah, Anugerah Tokoh NILAM)

2015: Anugerah Sastera dan Media 2015; (Anugerah Sastera, Anugerah Media)

2017: Majlis Anugerah Sastera dan Media 2017 akan berlangsung tulat, 1 November 2017 (Rabu)!

* Sesungguhnya, pengiktirafan penting untuk sebarang kemajuan.

* Namun, yang lebih penting ialah penggerak dan pelaksana yang bertungkus lumus merangsang kecemerlangan.

* Lebih daripada itu; yang amat penting ialah pelaksanaan tugas, tanggungjawab dan amanah demi memajukan dan membijaksanakan bangsa melalui bahasa dan persuratan, dalam apa-apa jua keadaan!

* Selamat maju jaya PEN!

Mahaya Mohd.Yassin,
Ahad, 3 Safar 1439H/29 Oktober 2017



Para pemenang bersama-sama YAB Menteri Besar (2007)

Tuesday, October 03, 2017

Hadiah Sasterawan Muda MASTERA 2017

ALHAMDULILLAH! TAHNIAH!
Hadiah Sasterawan Muda MASTERA 2017
Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) merafakkan kesyukuran dan dengan sukacitanya mengalungkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Puan Nisah Haron, Ketua Dua PEN atas kejayaan ini.
Kami berdoa agar Puan Nisah akan terus cemerlang di pentas bahasa dan persuratan bangsa dan jagatraya. Selamat meneruskan iltizam membijaksanakan umat. Amin.
Ketua Satu, seluruh Jawatankuasa, ahli PEN serta warga Negeri Sembilan.
Isnin, 20 Zulhijah 1438H/11 September 2017


Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI HARI KEBANGSAAN (SDPHK) KE-31, 2017 PERINGKAT NEGERI SEMBILAN.

Dengan penuh takzim, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) mengundang YBhg. Dato'/ Datuk/Datin/Tuan/Puan, pendidik, ahli PEN serta peminat bahasa dan persuratan tanah air ke majlis ini.

Perasmian SDPHK ini akan disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Shariffulizan bin Malek, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah.

Semaraklah semangat cinta akan watan melalui pengucapan bahasa dan persuratan!

PEN, 11 September 2017.

Anugerah Sastera Negeri Sembilan

Mohon perhatian!
Semua penulis Negeri Sembilan, segeralah bertindak.
Teruskanlah usaha untuk memacu ilmu, kemahiran dan pengalaman agar berupaya menghasilkan karya yang bermutu lagi bermanfaat.
Tugas, tanggungjawab dan amanah untuk membijaksanakan bangsa kita galas bersama-sama, demi Dia. insya-Allah.
~ Alhamdulillah! Terima kasih segunung intan kepada YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan. ~ Terima kasih Urus Setia, Perbadanan Perpustakaan Negeri Seremban.

Saturday, February 11, 2017

UNDANGAN


Assalamualaikum
 i) Ahli PEN (Ahli Seumur Hidup dan Ahli Biasa)
UNDANGAN KE MESYUARAT AGUNG PEN KE-40

ii) Semua peminat dan pencinta bahasa dan persuratan
UNDANGAN KE MAJLIS FORUM PENGANTARABANGSAAN KARYA

Perkongsian bestari
Semoga memberi erti.

Terima kasih.


ACARA SEMBANG BBK 2016


ACARA SEMBANG BBK 2016 MENYERLAHKAN KEINDAHAN BAHASA KITA

Acara Sembang BBK anjuran Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan berlangsung dengan santai namun memberi banyak iktibar.
Acara bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Negeri Sembilan itu berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi pada 29 Oktober 2016.

Tajuk: Indahnya Bahasa Melayu dalam Karya
Panel:
i) Puan Hajah Mahaya Mohd.Yassin
ii) Puan Nisah Haron
iii)Puan Nor Azah Abd. Aziz
iv) Puan Aminah Mokhtar
 Moderator: Puan Rozninah Abd. Azib.









~ Majalah Dewan Bahasa

PERTANDINGAN BERBALAS PANTUN ANTARA JABATAN 2016



PERTANDINGAN BERBALAS PANTUN MERIAH MENCAPAI OBJEKTIF

Bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Negeri Sembilan 2016, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan (JKKNNS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berjaya menganjurkan Pertandingan Berbalas Pantun antara jabatan peringkat Negeri Sembilan.

Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) itu berlangsung dengan meriah dan gilang-gemilang di Auditorium D'Sury, JKKNNS. Lapan pasukan yang menyertai pertandingan disyaratkan agar menggunakan nama-nama suku Adat Perpatih.

Agar benar-benar menepati objektif penganjurannya iaitu; memasyarakatkan seni berpantun  dan menjadikan wadah tersebut gaya penyampaian dan berkomunikasi dalam kalangan penjawat awam, PEN turut mengendalikan Sesi Taklimat dan Latihan, tiga minggu sebelum acara sebenar.

Sesuatu yang amat mengagumkan ialah, khalayak yang terdiri daripada 500 orang umum, penjawat awam, pendidik, penulis dan pelajar turut berbalas-balas pantun semasa senggang antara pertandingan, pada hari pertandingan. Panel juri juga bersepakat menyatakan bahawa pantun-pantun para peserta yang disediakan awal serta yang spontan, memang berkualiti.

Butir pertandingan adalah seperti yang berikut;
~ Sesi Taklimat dan Latihan: 5 Oktober: peserta dan Pengurus Pasukan.
~ Pertandingan Suku Akhir: 26 Oktober, jam 10.00 pagi
~ Pertandingan Separuh Akhir: 26 Oktober, jam 2.30 petang

~ Pertandingan Akhir: 26 Oktober, jam 4.00 petang
~ Majlis Penutupan disempurnakan oleh YB Dato' Abd. Razak bin Ab. Said, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu

~ Keputusan:
Johan: Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan (Suku Tanah Datar)
Naib Johan: IPG Kampus Raja Melewar (Pelatih), (Suku Seri Lemak)
Ketiga: IPG Kampus Raja Melewar (Pensyarah), (Suku Seri Melenggang)

Sagu Hati:
i) Perbadanan Perpustakaan Awam (Suku Paya Kumbuh)
ii) Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Sembilan (Suku Batu Belang)
iii) Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sembilan (Suku Tiga Nenek)
iv) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (Suku tiga Batu)
v) Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah (Suku Biduanda)

Pemantun Terbaik: Encik Mohd. Fazreen bin Mohd. (Suku Tanah Datar)



Ihsan majalah Dewan Bahasa.

BULAN BAHASA KEBANGSAAN (BBK) PERINGKAT NEGERI SEMBILAN 2016

BULAN BAHASA KEBANGSAAN (BBK) PERINGKAT NEGERI SEMBILAN

Bulan Oktober meriah dengan kegiatan bahasa dan sastera.
Antara risalah atau brosur dan dokumentasi yang berkaitan.