Thursday, December 14, 2017

Anugerah Citra Sahabat DBP 2017

PERSATUAN PENULIS NEGERI SEMBILAN (PEN)
PENERIMA  ANUGERAH CITRA SAHABAT DBP 2017, 
KATEGORI PERSATUAN/PERTUBUHAN.

Alhamdulillah!
Bersempena dengan Majlis Hari Inovasi DBP 2017, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) terpilih sebagai Penerima Anugerah Citra Sahabat DBP 2017.  Majlis gilang-gemilang itu berlangsung pada 8 Disember  2017 (Jumaat) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

PEN didaftarkan pada 28 Oktober 1968. Nombor pendaftarannya 118 Negeri Sembilan. Pada tahun 2018, PEN bakal merayakan ulang tahunnya yang ke-50. PEN bergerak untuk menyatupadukan penulis menerusi bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Perjuangan PEN adalah untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan kebangsaan. (Matlamat: Perlembagaan PEN)

Pengiktirafan ini amat bermakna kepada PEN. Inilah pertama kali PEN terpilih untuk memenangi sebarang anugerah. Kami berharap seluruh Jawatankuasa serta ahli PEN akan berasa tergugah untuk meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa dan persuratan melalui karya yang bermutu dan bermanfaat.

Surat makluman dan undangan daripada Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka.


Hadiah yang diperoleh, plak, sijil dan sepasang buku.


                                       Ketua Satu PEN, menerima anugerah daripada
                               YBhg. Dato' Sri Alias bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha,
                                                Kementerian Pendidikan Malaysia.


Wakil PEN; dar kiri Puan Nisah Haron (Ketua Dua),
Puan Hajah Mahaya Mohd.Yassin (Ketua Satu) dan
Dr. Norhana Bakhary (AJK)  


                                                                  ~~~~~~~~~~~~~~~


KEGIATAN

Dalam sijil tercatat "...kerana sumbangan dan kerjasama dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu..."

Antara kegiatan PEN

1) PROGRAM SENI BERBAHASA

Program dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Negeri Sembilan (JKKNNS) ini dilaksanakan pada setiap Sabtu pagi. Kegiatan merangkumi ceramah, bimbingan, tunjuk cara dan perkongsian ilmu dan kemahiran dalam bidang bahasa dan persuratan. Peserta terdiri daripada kanak-kanak, murid, pelajar IPT, staf jabatan dan orang awam.

 
2) PROGRAM BERBALAS PANTUN

 Pada tahun 2016, PEN diamanahkan untuk menganjurkan Program Berbalas Pantun antara jabatan di Negeri Sembilan, pada 26 Oktober. Pada 5 Oktober telah dijalankan taklimat dan latihan agar semua peserta dan petugas benar-benar bersiap siaga dalam prgoram tersebut. Sebanyak lapan buah pasukan mengambil bahagian.  Tema program ialah Adat dan Budaya Negeri Sembilan. Justeru, setiap pasukan memilih nama suku Adat Perpatih.

Juara ialah Pasukan Suku Tanah Datar (Jabatan Penyiaran) dan Pemantun Terbaik ialah Encik Mohd. Fazreen bin Mohd. (Suku Tanah Datar).

                                                             Acara peringkat akhir


            Encik Mohd. Fazreen bin Mohd. dan Pasukan Suku Tanah Datar, menerima hadiah.

3) BENGKEL PENULISAN BUKU KANAK-KANAK PEN-NAMINARA 2016

Bengkel silang budaya yang pertama melibatkan kedua-dua buah negara dikendalikan pada 25 hingga 29 November 2016. Objektifnya adalah untuk merangsang kreativiti peserta hingga berupaya berdaya saing di peringkat antarabangsa, Sebanyak 23 orang peserta terdiri daripada penulis, ilustrator dan urus setia mengikuti beberapa siri taklimat/mesyuarat dan latihan. Pembimbing ialah Encik Mohd.Yusof Ismail (Yusof Gajah) dan Puan Hajah Mahaya Mohd.Yassin.

Pada 23 April, Bengkel Penulisan dan Ilustrasi Buku Kanak-kanak (sehari) di SMAP, Labu berjaya dilaksanakan. Selepas itu peserta menghadiri beberapa siri  taklimat dan proses pemantapan karya sebelum berangkat.


                     Ahli Jawatankuasa bermesyuarat di Pulau Nami pada 19 hingga 23 Mei 2016

 Rombongan PEN disambut dengan meriah. 
Sebidang kain rentang yang membangkitkan semangat di gapura Pulau Nami, menyerlah!


Semasa sesi pertukaran cenderamata, PEN menyampaikan
lebih 40 buah karya ahli dan cenderamata darihal Negeri Sembilan.


 Taklimat dan proses pemantapan karya di Pulau Nami.


KEGIATAN LAIN

* BULAN BAHASA KEBANGSAAN

PEN menganggotai Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan. Pada 6 Disember PEN dengan kerjasasama DBP dan BTPNS menganjurkan  Wacana Ilmu: Persediaan Menulis Buku Kanak-kanak.

~  PEN menyediakan skrip soalan Kuiz Bahasa dan Sastera untuk siaran di Negeri FM (Jabatan Penyiaran).


* PESTA BUKU JEMPOL-JELEBU

PEN terlibat menganjurkan kegiatan bahasa dan persuratan seperti diskusi, ceramah dan bimbingan penulisan kreatif, bersempena dengan pesta ini.  Pada tahun 2016, berlangsung Dialong Penulis dan pada tahun 2017 telah dianjurkan Bengkel Penulisan Puisi Dewan Siswa dalam kalangan pelajar di kedua-dua daerah tersebut.


*  SAYEMBARA DEKLAMASI HARI KEBANGSAAN

 PEN sebagai badan kerabat GAPENA diberi mandat menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan saban tahu, dengan kerjasama DBP dan jabatan lain.


* SARI BAHASA

Rancangan bimbingan bahasa Melayu ke udara di NegeriFM pada hari Isnin hingga Khamis. Cogan kata rancangan ialah "Betulkan yang Biasa dan Biasakan yang Betul".

* RANCANGAN PANTUN BERJAWAP, RANCANGAN SASTERA, ULASAN LAGU

Rancangan  bahasa dan persuratan yang di atas pernah berkumandang di radio NegeriFM.


Sesungguhnya, PEN amat menghargai pengorbanan, sumbangan dan kerjasama yang amat erat daripada YAB  Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.
Semangat dan keprihatinan beliau menyuntik serta mendorong sifat berdaya juang unyuk berkarya, dalam kalangan ahli serta warga Negeri Sembilan. Sepanjang pentadbiran beliau, telah berlangsung lima kali Majlis Anugerah Sastera iaitu pada tahun 2004, 2005, 2007, 2015 dan 2017.

Selain itu, PEN tidak lupa akan jasa semua yang turut menyemarakkan bantuan nan pelbagai kaedah dan bentuk kepada PEN selama ini. Ketua-ketua Jabatan, Dewan Bahasa dan Pustaka, GAPENA, pihak sawasta, individu serta para ahli turut menitipkan sumbangan sehingga PEN terpilih untuk menerima Anugerah Citra Sahabat DBP 2017 ini.

Sutera putih tudung peribadi,
      Puteri Rani menyanyi  di taman;
Terima kasih daun keladi,
      Budi mewangi berzaman-zaman.

"Mendidik dan Memugar Bahasa, Sastera dan Budaya Bangsa"



Nukilan,
Ketua Satu PEN.
Khamis, 25 Rabiulawal 1439H/ 14 Disember 2017.

No comments: