Laman Web Rasmi
Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)

Sunday, October 18, 2009

Umbara Sastera III & Bengkel Cerpen PEN 2009

Berita Terkini!


Tarikh Umbara Sastera III & Bengkel PEN 2009 dipinda ke 14 November 2009.
Butiran yang lain dikekalkan. 
Harap maklum.




Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) akan mengadakan Umbara Sastera II & Bengkel Cerpen sebagaimana butiran berikut :

Tarikh : 14 November 2009 (Sabtu)
Tempat : Dewan Tingkat 1, Asrama D'Ark, Taman Sri Kasih, Senawang (boleh search di maps.google.com untuk lokasi dan arah jalan. Taipkan "Asrama D'Ark")

Sebagai gambaran awal, program ini akan berlangsung dalam dua sesi seperti berikut :

Sesi I (pagi) : Umbara Sastera III bersama pemenang-pemenang HSBI ke-12
Sesi II (pagi - tengah hari sehingga petang) : Bengkel Cerpen
Pembimbing : Puan Nisah Haron & Encik Amiza Khusyri Yusof

Sesi yang pertama terbuka kepada semua penulis dan peminat sastera untuk sama-sama mengambil manfaat melalui perkongsian proses kreatif karya para pemenang. Manakala untuk sesi yang kedua, terbuka kepada penulis atau calon penulis yang menghantar cerpen untuk dibengkelkan. Syarat-syarat penghantaran cerpen adalah seperti berikut :

1) Cerpen hendaklah ditaip double spacing
2) Cerpen hendaklah dihantar sebelum atau pada 13 November 2009
Yuran : RM20 (untuk menyertai bengkel sahaja)
             RM10 PERCUMA! (untuk menyertai Umbara Sastera sahaja)

Yuran merangkumi bahan edaran dan makan minum. Bagi mereka yang ingin menyertai kedua-dua acara, yurannya ialah RM30 RM20.




Para peserta yang berminat hendaklah menyertakan dengan segera nama, e-mel dan no telefon untuk urusan lanjut. Penyertaan terhad.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Amiza Khusyri bin Yusof di talian 012-3746327 atau e-mel putera_kesuma@yahoo.com.


Amiza Khusyri bin Yusof
Penyelaras

AJK Persatuan Penulis Negeri Sembilan
http://www.amizakhusyri.blogspot.com/

Thursday, August 13, 2009

Al-Fatihah untuk Dharmala NS


PEN mengucapkan salam takziah kepada keluarga penulis Dharmala N.S. ataupun nama sebenarnya Abdul Muluk Daud yang pulang ke rahmatullah pada 12 Ogos 2009. Almarhum banyak menulis karya dan merupakan pengarang yang amat prolifik sejak dahulu sehingga akhir hayatnya.

Al-fatihah.

Thursday, July 30, 2009

Malam Aspirasi Seni 2009 - Bersamamu Palestin


PEN telah mendapat undangan rasmi untuk menjayakan Malam Aspirasi Seni 2009 - Bersamamu Palestin pada ketetapan yang berikut :
  • Tarikh : 1 Ogos 2009 (Sabtu)
  • Masa : 8.00 malam
  • Tempat : Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan
Puan Mahaya Mohd Yassin akan mendeklamasikan puisi terbaharunya yang berjudul Demi Kasih sementara Puan Nisah Haron pula bakal menyampaikan puisi nukilan terkini dengan judul Kita Bangsa Yang Selesa.

Pihak PEN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur program iaitu :
dengan kerjasama :
Sesungguhnya iktibar daripada Palestin adalah untuk kita hayati dan bukan suatu kempen yang bermusim.

Orang ramai dipersilakan hadir. Masuk percuma.

Friday, April 03, 2009

Bengkel Penulisan Puisi Intensif PEN-JKK 2009

Dengan penuh takzim perkara di atas dirujuk.

2. Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan (JKKNS) akan menganjurkan bengkel yang di atas untuk memantapkan bakat dan pengetahuan dan menghasilkan bahan bacaan kreatif yang berkualiti.

3. Bengkel yang dilaksanakan sempena Ulang Tahun PEN ke-40 dan bertemakan ‘Keunikan Budaya Pemantap Insan Mulia’, akan diadakan di JKKNS dan dilaksanakan seperti jadual yang berikut:

1. Bengkel Pertama: 8.30 pagi – 4.30 petang,11 April 2009 (Sabtu);
2. Bengkel Kedua: 8.30 pagi – 4.30 petang, 30 Mei 2009 (Sabtu);
3. Penghasilan Karya:1 - 30 Mei 2009.
4. Penyemakan: Jun 2009.
5. Penerbitan: Julai 2009.

4. Tuan dipelawa menyertai bengkel ini dan disyaratkan memenuhi dan mematuhi perkara yang tersenarai;

  • berpengalaman/berbakat
  • pernah menghasilkan puisi
  • setelah tamat berbengkel, peserta wajib menghasilkan sejumlah puisi
  • peserta memberi izin terbit puisi yang terpilih untuk antologi PEN-JKK
  • antologi akan diterbitkan oleh pihak Urus Setia
  • yuran penyertaan sebanyak RM 30.00 (ahli biasa) dan RM 20.00 (Ahli Seumur Hidup) atas nama Bendahari PEN

5. Sila e-mel maklumat seperti yang diminta di bawah dan hantar kepada Urus Setia di pejabat PEN sebelum 7 April 2009 (atau menelefon 06-677 8359 - Puan Mahaya)

Segala kerjasama tuan dalam memerkasa bahasa, sastera dan budaya negara didahului dengan ucapan terima kasih.

“MENDIDIK & MEMUGAR BAHASA, SASTERA & BUDAYA BANGSA”

Yang menjalankan tugas,


(Datin Hjh.Sabarriah Shukur)
Setiausha Dua

***
Sila e-mel maklumat seperti yang diperlukan di bawah kepada : mahaya_es@hotmail.com
  • AHLI BIASA/AHLI SEUMUR HIDUP:………………………………………………….
  • RM30.00/RM20.00:…………………………..
  • Nama penuh:
  • Nama pena:
  • Umur:
  • No. kad pengenalan:
  • Alamat rumah:
  • No.telefon bimbit:
  • E-mel
  • Karya yang pernah diterbitkan:
  • Kursus yang pernah dihadiri:
  • Tarikh:
Peserta hendaklah mampu menyertai semua siri bengkel puisi ini bagi melayakkan penyertaan.

Labels:

Tuesday, January 06, 2009

TITIPAN DARIPADA KETUA SATU


Assalamualaikum,


Saudara ahli yang budiman. Semoga saudara seisi keluarga dalam peliharaan Allah sentiasa. Amin.


Saya bagi pihak Jawatankuasa PEN, pertama-tama memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya PEN berupaya terus memerkasa bahasa, sastera dan budaya, seiring dengan hasrat untuk melahirkan penulis pelapis yang berwibawa.


PEN merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, ahli-ahli serta Kerajaan Negeri, Jabatan, Dewan Bahasa dan Pustaka serta individu yang menjayakan cita-cita ini. Doa kami sokongan dan kerjasama ini akan berterusan.


Pada kesempatan ini, ingin saya khabarkan beberapa perkara:


  • Kepulangan ke rahmatullah bekas Penasihat PEN Allahyarham Dato’ Haji Abdul Rashid bin Mohd.Yusof pada 24 Oktober 2008. Allahyarham dilantik menjadi Penasihat PEN mulai 1999. Pada pertengahan tahun 2006, Allahyarham mohon berundur atas sebab-sebab kesihatan. Namun, PEN tidak pernah melupakan jasa Allahyarham yang terlalu banyak pada PEN sepanjang bergelar ‘Penasihat’. Antaranya, biaya menganjurkan majlis diskusi, ceramah, seminar, Malam Baca Puisi Ramadan dan penerbitan Gema Serunai Hati 4, sebuah daripada tiga antologi puisi ahli PEN yang diterbitkan khas sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan ’99, Hari Puisi Nasional ke-14 dan Sambutan Ulang Tahun PEN ke-30. Kehilangan ini amat dirasakan oleh warga negeri ini, lebih-lebih lagi oleh golongan usahawan dan kita kaum penulis. Marilah kita bersama-sama berdoa agar keluarga Allahyarham bersabar, dan Allah menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang beriman serta memberikan ganjaran-Nya yang terbaik. Amin! Takziah kepada keluarga Allahyarham.

  • Pindaan Perlembagaan tentang yuran-yuran masih dinanti-nantikan. Sehingga itu, yuran tahunan masih RM5.00 dan yuran Ahli Seumur Hidup RM100.00. Namun untuk melancarkan pengurusan dan penglibatan ahli, PEN berharap lebih ramai menjadi ahli seumur hidup!

  • Pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Majlis Anugerah Sastera Negeri yang ke-4. Ahli dan warga yang layak diharap peka akan kategori yang ditentukan dan dapat bersiap siaga lebih awal.

  • Ahli dan warga yang mencintai bahasa, sastera dan budaya tanah air diharap terus dapat terlibat secara aktif dengan menghadiri pelbagai majlis ilmu, berkarya serta menyebarluaskan pengalaman dan pengetahuan kepada masyarakat kita. Semoga amalan kita menjadi ibadah dan dakwah yang diterima oleh Allah. Insya-Allah!

Salam Maal Hijrah 1430 & Tahun Baharu 2009!


Terima kasih.


Wassalam.

Hajah Mahaya Mohd Yassin


Mohd Ghazali Tocheh meninggal dunia


Penerima Anugerah kategori Tokoh Karya Kanak-Kanak / Remaja, Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 MOHD GHAZALI TOCHEH, meninggal dunia di kediamannya di Taman Melati, hari ini.

Allahyarham juga pernah menerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Sembilan 2004.

Al-Fatihah.

Sunday, January 04, 2009

Mesyuarat Agung PEN ke-32

Kepada semua ahli PEN


Dengan penuh takzim Dato’/Datin/Tuan/Puan dijemput ke mesyuarat pada:


Tarikh: 18 JANUARI 2009 (Ahad)

Masa: 8.30 pagi

Tempat: Balai Ilmu, Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban


ATUR CARA

8.30 pagi: Pendaftaran


9.00 pagi: Majlis Bicara Tokoh & Karya PEN

(sempena Ulang Tahun PEN ke-40)

i) Agus Salim oleh Dr. Ani Omar

ii) A. Latip Talib oleh Encik Amiza Khusyri bin Mohd.Yusof


10.30 pagi: Majlis Perasmian

  • Bacaan Doa
  • Ucapan Ketua Satu
  • Ucapan Utama dan Perasmian Majlis

oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Rosli bin Saludin,

Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI



Mesyuarat Agung PEN ke-32


Agenda:

  • Ucapan Ketua Satu
  • Pembentangan dan Pengesahan Minit Mesyuarat Agung ke-31
  • Pembentangan dan Pengesahan Laporan Tahunan 2008
  • Pembentangan dan Pengesahan Laporan Kewangan 2008
  • Pembentangan dan Perbahasan Usul
  • Ucapan Penangguhan


2. Sila sahkan kehadiran melalui telefon 06-6778359/ e-mel ani.omar@fb.upsi.edu.my sebelum 10 Januari 2009.


Kerjasama dan kehadiran Tan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan amatlah dihargai. Terima kasih.


“CINTAILAH BAHASA KITA”


Yang menjalankan tugas,


(DR. ANI BINTI OMAR)

Setiausaha Satu

Thursday, December 18, 2008

Laporan Bengkel Penulisan Cerpen DBP - PEN 2008



Bengkel yang dijadualkan telah berlangsung dengan jayanya. Seramai 20 orang peserta mengikuti bengkel selama 2 hari di Golden Straits Villa Beach Resort, Port Dickson. Dalam tempoh tersebut, peserta dibimbing oleh YM Tuan Nurizan Mohd Yunos ataupun nama penanya Ana Balqis. Puan Zalila Sharif, Ketua Bahagian Sastera Moden, DBP turut menyampaikan ceramah yang berjudul Puitika Melayu. Pada hari terakhir, ceramah Undang-undang Hak Cipta dan Etika Penulisan disampaikan oleh Puan Nisah Haji Haron.

Menurut urus setia daripada pihak DBP, inilah kali pertama bengkel penulisan anjuran DBP ini memuatkan slot hak cipta untuk pesertanya.

Turut hadir sebagai peserta, Encik Radzali A. Ghani (Ketua II PEN) dan Puan Kalsom Azid (Bendahari PEN).

Berikut, beberapa gambar yang sempat dirakamkan:

Gambar : Gabungan mantap PEN (Puan Mahaya Mohd Yassin berbaju biru) dan DBP (Puan Zalila Sharif)

Gambar : Peserta bergambar selepas Majlis Penutupan pada 14 Disember 2008


Gambar : Sebahagian daripada peserta sedang tekun mengikuti bengkel


Gambar : YM Tuan Nurizan (Ana Balqis) - Pembimbing


Gambar : Bengkel yang serius tetapi menyeronokkan!

Pihak PEN mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua AJK dan ahli yang turut menjayakan program ini. Tanpa komitmen daripada semua pihak, bengkel seumpama ini tidak dapat kita laksanakan sebaik-baiknya.

Insya-Allah, pihak persatuan akan mengadakan lebih banyak aktiviti mulai tahun 2009. Nantikan pengumumannya di laman ini.

Selamat Tahun Baharu 1430 Hijrah
Selamat Tahun Baharu 2009 Masehi
daripada Ketua Satu dan ahli-ahli jawatankuasa
Persatuan Penulis Negeri Sembilan