Saturday, October 23, 2010

Kenduri Bahasa di Inap Desa Kampung Lonek, Jempol

Saya hadir ke Inap Desa Lonek dalam keadaan yang tidak cukup selesa. Selain selesema yang menyumbat hidung, batuk yang bersarang di dada turut menyumbang kepada ketidakselesaan itu. Saya hampir sahaja menelefon sdr Azman Kurawi yang menjadi penyelaras program Kenduri Bahasa di Lonek untuk memaklumkan penarikan diri saya. Bagaimanapun, sdr Abdullah AR terlebih dahulu menghantar sistem pesanan ringkas mengatakan beliau terpaksa menarik diri daripada menjadi salah seorang deklamator pada malam tersebut kerana abangnya sedang sakit kuat di Hospital Seremban. Mendengar itu, saya terus membatalkan hasrat dan reda dengan segala kemungkinan. Tambahan pula, Puan Nisah Haron dan Datin Sabariah sudah menggalaskan pada pundak saya amanah dan tanggungjawab yang diserahkan kepada PEN oleh pihak DBP.

Buat seketika, saya menjadi pencinta air suam yang setia.

Gambar : Deklamasi puisi oleh Sdr Mya Marja

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Apa yang saya takuti, tidak menjadi kenyataan pada malam itu. Rasanya, saya dan Mya Marja yang mewakili PEN dalam persembahan deklamasi puisi sudah memberikan yang terbaik. Terima kasih yang tidak terhingga kepada jawatankuasa program, khususnya sdr Azman Kurawi yang menyediakan segala keperluan dan memenuhi apa sahaja permintaan kami. Ternyata tenaga produksi yang mantap menjadi nadi kepada kelancaran program pada malam tersebut.

Program Kenduri Bahasa merupakan penutup kepada Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Negeri Sembilan. Pembukaan program ini berlangsung di Seremban. Barangkali, pemilihan Lonek sebagai tuan rumah untuk acara penutupan merupakan satu kelainan yang ingin dibuat pada tahun ini. Langkah ini merupakan suatu harus dipuji. Sesekali, biarlah masyarakat desa dan luar bandar pula mendapat peluang menunjukkan rasa cinta mereka kepada bahasa ibunda.

Gambar : Deklamasi puisi oleh Sdr Faizal Said

sumber : Faizal Said Online

Wednesday, October 20, 2010

Umbara Sastera 5

Alhamdulillah, akhirnya Umbara Sastera 5 tiba ke Juasseh. Bersyukur juga kerana kedua-dua tokoh yang dijemput dapat melapangkan sedikit masa untuk berkongsi wacana ilmu dengan anak-anak di sini. Walaupun program ini serba ringkas tetapi buat saya, program ini cukup bermakna. Hal ini dikatakan demikian kerana program ini bukan sekadar program yang dirancang untuk memenuhi waktu senggang pelajar lepasan PMR, tetapi juga merupakan program yang tercatat dalam diari tahunan PEN. Beberapa bulan belakangan ini sesudah dilantik sebagai AJK PEN, saya sering tertanya-tanya apakah sumbangan yang boleh saya berikan kepada persatuan? Adakah sekadar menghadiri mesyuarat dan menempel-nempel dalam program yang dianjurkan? Setakat ini, itulah sahaja yang dapat saya lakukan. Justeru, apabila dapat menyelaraskan sendiri program Umbara Sastera ini, saya rasa cukup lapang. Sekurang-kurangnya saya sudah ada sesuatu biarpun mungkin kecil pada mata orang.

Nisah Haron dan Amiza Khusyri bukanlah nama yang asing apabila memperkatakan kesusasteraan nasional. Begitu pun, untuk pelajar-pelajar saya (malah dalam kalangan guru) tidak putus-putus bertanya tentang tokoh yang saya jemput. Siapa? Penulis ke? Pelik juga. Jika Amiza mungkin, kerana ini pertama kali beliau tiba di SMK Juasseh (walaupun menurutnya, beliau sering singgah membeli air batu di kedai depan sekolah kerana rumah mentuanya di sekitar Juasseh). Bagaimana pula dengan Nisah? Nisah sudah pernah tiba ke sini dua tahun lepas. Cepatnya mereka lupa. Tetapi itulah lumrah. Apa sangatlah status seorang penulis jika dibandingkan dengan tokoh politik mahupun selebriti hiburan, walaupun sumbangannya cukup besar dalam pembangunan minda dan jiwa. (Barangkali kerana itu juga, wartawan surat khabar yang saya jemput tidak nampak batang hidungnya. Apa sangatlah nilai berita program kesusasteraan.)

Nisah Haron seperti selalu membawakan ceramah tentang teknik dan kreativiti menulis. Bagaimanapun, apa yang saya harapkan ialah kehadiran Nisah Haron akan membuka mata pelajar-pelajar saya (juga guru-guru dan pentadbir) khususnya beraliran sains, seorang penulis tidak semestinya mengambil subjek Kesusasteraan Melayu untuk menjadi penulis. Malah sebenarnya mereka yang dari aliran sains yang lebih ramai mewarnai dunia kesusasteraan tanah air. Hal ini demikian kerana mereka memenuhi syarat-syarat untuk menjadi penulis yang baik. Antara syarat yang penting tentunya rajin membaca, bijaksana dan, berilmu.

Pengalaman saya sendiri, karya pelajar yang saya kirim ke mana-mana penerbitan datangnya daripada pelajar-pelajar aliran sains yang berminat menulis. Pelajar subjek Kesusasteraan Melayu yang saya ajar selalunya tidak mampu menghasilkan sebuah karya yang baik. Saya tidak salahkan mereka. Walaupun mereka menekuni subjek ini selama dua tahun, mereka gagal lahir sebagai penulis. Ini tentunya berkait rapat dengan kegagalan memenuhi syarat-syarat yang saya sebutkan tadi. Oleh sebab itu, saya rasa cukup terpukul apabila pelajar-pelajar tingkatan 4 aliran sains di sekolah ini dikecualikan daripada program ini dengan alasan ini urusan orang sastera. Saya tidak mengharapkan 120 audiens akan menjadi penulis. Tetapi saya mengharapkan akan muncul satu atau dua penulis yang baik dan prolifik dan selebihnya akan menjadi peminat dan pembaca karya kesusasteraan yang tekal. Insya Allah.

Amiza hadir dengan slot motivasi dan dakwah dalam penulisan. Bagaimanapun, beliau merasakan tajuk itu cukup berat untuk mereka yang belum bergelar penulis. Justeru, beliau lebih menumpukan ceramah tentang kepentingan hidup atas landasan agama dalam kalangan remaja. Ternyata motivasi Amiza benar-benar menyentap emosi khalayak, sesuailah dengan latar belakang beliau. Kehadiran Amiza juga saya harapkan dapat memberikan impak yang sama seperti kehadiran Nisah. Amiza lepasan Universiti Al-Azhar dan tebal dengan selimut agamanya. Seperti juga Zaid Akhtar, Amiza juga menjuarai cerita-cerita yang berkisar di seputar kehidupan remaja atas landasan syariah tetapi diadun dengan plot yang dramatik serta bahasa yang cukup kreatif. Saya ingin membuktikan kepada pelajar bahawa menulis juga satu ibadah dan bukan sekadar pekerjaan main-main dan 'jiwang-jiwang'. Saya ingin mereka tahu bahawa kesusasteraan atau lebih tepatnya persuratan adalah karya-karya yang dihasilkan oleh penulis seperti ini dan bukannya seperti novel-novel popular dan picisan yang berlambakan di mana-mana.

Kehadiran Nisah Haron dan Amiza tentunya sedikit banyak meninggalkan impak kepada pelajar SMK Juasseh. Seperti selalu, novel Nisah lebih separuh terjual dan ramai juga meminta saya mendapatkan novel Amiza "Menjadi Bintang". Justeru, besar harapan warga Juasseh, kedua-dua tokoh ini tidak jemu untuk menuangkan ilmu dan pengalaman mereka sekali lagi pada masa-masa akan datang.

Untuk Nisah Haron dan Amiza, 'terima kasih daun keladi, tanda kasih datanglah lagi'.

sumber : Faizal Said Online

Monday, July 05, 2010

Pesta Buku Negeri Sembilan 2010


Pengarang Negeri Sembilan yang dijadualkan menyertai Pesta Buku Negeri Sembilan 2010 :

6 Julai : Haiza Najwa - Novelis
(Selasa) 2.30 - 4.30 petang

8 Julai : Abdul Latip Talib - Novelis Tokoh Pahlawan Islam
(Khamis) 2.30 - 4.30 petang

9 Julai : Mahaya Mohd Yassin - Penyair Tersohor / Ketua Satu
(Jumaat) 10.00 pagi - 12.00 tengah hari

Nisah Haron - Novelis / Setiausaha Dua PEN
2.30 - 4.30 petang


Jemput datang beramai-ramai sambil membeli-belah buku-buku pilihan.
Membeli buku bererti membuat pelaburan sepanjang hayat!

Pesta Buku NS berlangsung dari 6 - 11 Julai 2010
di Jusco Seremban 2
mulai 10.00 pagi - 10.00 malam

Monday, April 19, 2010

Bengkel Asas Penulisan Cerpen PEN - 8 Mei 2010

Ceramah Penulisan dan Bengkel Cerpen bersama Puan Nisah Haji Haron.

Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Penulis Negeri Sembilan [PEN] akan mengadakan ceramah “Asas Penulisan Cerpen” dan Bengkel Cerpen Intensif bersama penulis muda terkemuka Puan Nisah Haji Haron. Butiran program adalah seperti berikut :

Tarikh : 8 Mei 2010

Hari : Sabtu

Tempat : Dewan D’Ark, Taman Sri Kasih, Senawang

Sesi ceramah akan bermula jam 9:00 pagi diikuti sesi bedah cerpen [bengkel]. Sesi ceramah terbuka kepada umum, manakala untuk menyertai sesi bengkel, peserta digalakkan menghantar cerpen untuk dibedah sebelum atau pada 30 April 2010.

Yuran penyertaan untuk kedua-dua sesi cuma RM50, dan sekiranya ingin menyertai sesi ceramah sahaja yurannya hanya RM20. Sesiapa yang berminat boleh hubungi saya : tejamanis@gmail.com (Puan Zalila Isa)

Sumber : dipetik dari blog Zalila Isa.


Friday, April 09, 2010

Umbara Sastera 4

PEN dengan kerjasama Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAP) menganjurkan Umbara Sastera kali ke-4. PEN berasa bertuah kerana pihak SMAP bersedia menjadi tuan rumah dan penyertaan kali ini ialah yang terbesar untuk Umbara Sastera PEN iaitu para pelajar tingkatan 1 hingga 6 dilibatkan.Sebanyak dua buah ceramah disampaikan oleh :
Pada sebelah petangnya, bengkel penulisan cerpen diadakan khusus untuk para peserta yang benar-benar berminat untuk mendalami genre ini. Semoga para peserta, khususnya pelajar SMAP dapat memanfaatkan kedua-dua slot ini.

Friday, February 26, 2010

Salah tanggap adat perpatih

ANTARA peserta Seminar Memugar Warisan Adat Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, baru-baru ini. - Foto ihsan UPSI


Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Perbincangan mengenainya dilihat dari pelbagai sudut

SEMINAR Sehari Memugar Warisan Adat Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini, memperbetulkan salah tanggap dan pandangan sinis terhadap adat Perpatih terutama membabitkan soal ketegasan mempertahankan adat, perkahwinan dan pewarisan harta.

Falsafah sebenar di sebalik ungkapan biar mati anak, jangan mati adat, diperjelaskan pada seminar anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) itu, selain menerangkan aspek pemilikan dan perwarisan harta yang selama ini menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat luar.

Ahli Jawatankuasa Penyelidik Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Salleh Yasin, berkata adat perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan tidak sebulat seperti yang diasaskan Datuk Perpatih Pinang Sebatang di Minangkabau, Sumatera Barat kira-kira 500 tahun lalu kerana sudah diubahsuai mengikut kesesuaian orang Melayu di Tanah Melayu.

“Ini kerana pengaruh persekitaran dan kesan daripada perkahwinan orang Minangkabau dengan penduduk asal Negeri Sembilan, sedikit sebanyak memberi kesan daripada segi identiti dan cara pengalaman di negeri berkenaan berbanding di tanah asalnya.

“Sistem hidup yang berpandukan adat Perpatih itu diamalkan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan terutama di Kuala Pilah, Jempol, Rembau dan Jelebu serta kawasan Lenggeng dan Pantai di Seremban, selain Tampin dan Naning di Melaka,” katanya membincangkan Adat Perpatih: Adat Bersendi Hukum, Hukum Bersendi Kitabullah.

Selain itu, tanggapan sinis dan salah faham terhadap adat Perpatih dalam masyarakat terutama mereka yang tidak mengamalkannya dikatakan berpunca daripada ketidakfahaman falsafah dan latar sejarah pengislaman adat berkenaan.

“Malang juga apabila ada sebahagian pengamal adat Perpatih kurang mahir dalam falsafah adat ini, khususnya mereka yang menerima pusaka jawatan datuk adat. Oleh itu, pihak muzium menyediakan panduan kepada datuk adat dan pengamal adat mengenai falsafah adat perpatih, selain memperbetulkan salah tanggap terhadapnya,” katanya pada sidang yang dipengerusikan Pensyarah Upsi, Prof Dr Bukhari Lubis.Perpatih yang selalu dipersendakan adalah ungkapan biar mati anak, jangan mati adat yang secara zahirnya tidak boleh diterima dan dipersetujui oleh masyarakat, sedangkan asal-usulnya berkait rapat dengan pelaksanaan undang-undang secara tegas tanpa memilih bulu.

“Asal usul pepatah ini ialah perbuatan zina berlaku antara anak pembesar sehingga pembesar mahu menyelesaikannya agar tidak menjejaskan kedudukan ketua adat, tetapi ketua adat berkenaan tetap mahukan pesalah dihukum mengikut hukum Islam iaitu sebat 100 rotan.

“Pepatah itu bertujuan menegakkan keadilan tanpa mengira kedudukan pesalah dan menjaga kepentingan orang ramai, sekali gus menolak rayuan yang meminta hukum tidak dilaksanakan,” katanya pada seminar yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Mohd Mustamam Abd Karim.

Mengenai pandangan sinis pasangan lelaki yang terpaksa keluar sehelai sepinggang apabila bercerai, Muhamad Salleh menegaskan pandangan itu timbul kerana masyarakat luar tidak memahami konsep sebenar pemilikan harta dalam konteks perkahwinan berdasarkan adat perpatih.

“Perbilangan adat menyebut bahawa pembawa kembali, dapatan tinggal, carian dibahagi yang bermaksud apabila berlaku perceraian, suami berhak mengambil kembali harta yang dibawanya sebelum kahwin, sekali gus tidaklah bermakna dia keluar dari rumah sehelai sepinggang.

“Harta yang menjadi kepunyaan isterinya ketika berkahwin tetap menjadi milik wanita kerana ia menjadi harta dapatan daripada suaminya, manakala harga yang diusahakan bersama pula dibahagi antara suami isteri sama ada secara sama rata atau peratusan,” katanya pada seminar yang turut dihadiri Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Upsi, Datuk Dr Mohd Rosli Saludin dan Ketua Satu Pen, Mahaya Mohd Yassin.

Setiusaha 2 Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen), Nisah Haron, ketika memperkatakan Citra Positif Adat Perpatih: Pengalaman Menulis Mencari Locus Standi, Aset istiqamah, Lemang Nan Sebatang, memperbetulkan salah faham terhadap tanggapan hanya kaum wanita yang menerima pusaka, manakala orang lelaki pula terpaksa berputih mata.

“Salah faham timbul bukan saja di kalangan orang awam, bahkan sebahagian sarjana juga tidak memahami bahawa tanah pusaka adat dimiliki oleh suku yang diwakili oleh waris perempuan, sekali gus berbeza dengan tanah pusaka biasa.

“Sistem ini berlangsung dengan baik sehinggalah kedatangan British yang memperkenalkan sistem torrens dalam undang-undang tanah yang mengkehendaki semua tanah didaftar dan mempunyai geran dengan nama pemilik tercatat pada geran berkenaan yang sebenarnya bertujuan memudahkan pemungutan cukai,” katanya.

Nisah berkata, nama yang tercatat pada geran menjadikan penama itu sebagai pemilik tanah tetapi ia sebenarnya bertentangan dalam kes adat Perpatih kerana prinsip asas mengenai harta ialah ia dimiliki suku dan bukannya milik peribadi kerana ia dianggap harta amanah.

“Dalam perwarisan, harta amanah bukanlah milik sempurna individu, sekali gus ia tidak boleh diwariskan berdasarkan pembahagian faraid yang difahami dan pada masa sama kerana tanah adat tidak termasuk di bawah hibah atau hadiah.

“Justeru, memiliki tanah pusaka adat menjadi amanah sehingga tanah itu tidak boleh diperlakukan sesuka hati pihak perempuan yang memegang amanah berdasarkan perbilangan dijual tak dimakan beli, digadai tak dimakan sandar,” katanya.

Sumber : Berita Harian 22 Februari 2010 (Isnin)

Wednesday, January 20, 2010

Dr. Anuar Nor Arai meninggal dunia


Anuar Nor Arai (1943 - 2010)

Dr Anuar Nor Arai telah meninggal dunia pada hari Rabu, 20 Jan 2010 di Subang Jaya Medical Centre. Almarhum bersara sebagai pensyarah filem Universiti Malaya pada 1997 dan sebelum meninggal dunia, almarhum merupakan Timbalan Rektor di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus telah menganugerahkan gelaran Tokoh Drama kepada almarhum menerusi Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005.

Nama sebenarnya, Anuar bin Mohd Nor, telah dilahirkan pada 6 Ogos 1943. Banyak menulis cerpen dan kritikan serta skrip drama pentas televisyen filem dan kritikan yang turut tersiar di dalam surat khabar mingguan dan Dewan Sastera.

Antara karya terkenalnya ialah Johnny Bikin Filem dan Ronggeng Rokiah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas almarhum. Al-fatihah.

Kredit gambar : Nisah Haron
Lokasi : Majlis Dialog Sasterawan Negeri Sembilan 1, IPG Kampus Raja Melewar, Seremban.

Sunday, January 17, 2010

Amanat Ketua Satu




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Saudara Pengerusi Majlis, YBhg Tuan Haji Hamzah Hamdani, Bendahari GAPENA,
Dato’-Dato’, Datin-Datin,ahli2, ajk dan hadirin yang budiman.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi,
Dapat bersama-sama melaksanakan Mesyuarat Agung PEN ke-33 ini,
Terima kasih kepada semua yang sempat dan sudi,
Menyuntik semangat, berkorban sambil berbakti.

Alhamdulillah, 2009 (sambutan 40 tahun PEN) berlalulah sudah,
Kejayaan-kejayaan nan ditempa amat menyerlah,
Peringkat negeri dan kebangsaan terbuktilah sudah,
Hasil muafakat dan iltizam semua yang tak kenal lelah.

Bermula dengan ‘Majlis Bicara Tokoh dan Karya’,
Persembahan penganalisis PEN yang bestari dan muda,
Menyusul ‘Seminar Pengetua’ dek prihatin akan kepentingan Sastera,
Memanfaatkan pentadbir, masyarakat, pendidik dan pelajar.

Yang paling mengesankan, ‘Utusan Sukma: Sepagi Bersastera’,
Utusan, PEN dan JPNS melakar sejarah,
Lebih dua ribu khalayak ceria dan bertuah,
Memugar bahasa & sastera bersama-sama penulis dan Sasterawan Negara.

Dua Bengkel Puisi juga amat berjaya,
Penulis-penulis PEN gigih dan berbakat pula,
Dibimbing oleh tokoh ilmuan dan sastera,
Tergaraplah akhirnya dua buah antologi karya.

Gema Serunai Hati 9: Negeri Sembilan, Negeriku Gemilang
Satu-satunya karya negara yang sempat dilancarkan,
Sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009,
PEN dan Negeri Sembilan berkongsi kegembiraan.

Umbara Sastera 3 dan Bengkel Cerpen pula,
Tak putus-putus dianjurkan untuk ahli yang teruja,
Misi dan visi PEN untuk melahirkan penulis prolifik dan muda,
Seperti Nisah, Latip, Amiza, Salha, Faizal, Ani dan Masliya.

2010 menunggu dengan perancangan berhemah yang rapi,
Februari ‘Seminar Melestarikan Warisan’ projek PEN dan UPSI,
Selain melangsungkan perkongsian bestari,
Menguar-uarkan ketokohan dan keunggulan adat perpatih yang diwarisi.

Usaha memantapkan bahasa dan sastera akan dilipatgandakan,
Dalam kalangan ahli, masyarakat, pelajar dan jabatan,
Seiring mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,
Kuantiti dan kualiti penerbitan PEN terus diutamakan.

Sekali gus, ikhtiar nan tekal diperjuangkan,
Golongan penulis mendapat pengiktirafan,
Anugerah Sastera Negeri hendaknya diteruskan Kerajaan,
Bersama-sama kita membina kecemerlangan insan.

Aduhai, kembara PEN nan lancar dan indah,
Berselirat pula cabaran dan celaan mengguhah,
Namun, berkat kerjasama dan semangat nan tabah,
Hasrat mendidik & memugar bahasa, sastera dan budaya tetap gah.

Tahun ini, ada pemilihan jawatankuasa,
Semoga tampil yang benar-benar berminat dan bertenaga,
Sebenarnya, PEN untuk semua dan sedia menerima teguran membina,
Biarlah kesinambungan objektif PEN dimanfaatkan semua.

Kepada Kerajaan Negeri, DBP, GAPENA, individu, media massa dan institusi,
PEN persembahkan ucapan terima kasih sekalung budi,
Teruskanlah sokongan moral dan material kepada kami,
Memperkasakan tamadun bangsa di negeri tercinta ini.

Kepada Ahli Jawatankuasa yang dianggap saudara,
Segunung intan tidak setara jasa,
Sokongan dan pengorbanan termeterai di sukma,
Semoga ganjaran terbaik disediakan-Nya.

Sampailah sudah ke penghujung bicara,
PEN doakan kalian sejahtera dan dirahmati-Nya,
Ibadah kita berwadahkan iman, pemikiran, nilai murni dan bahasa,
Insya-Allah! Kesemuanya diterima Allah jua.

Hadirin yang dihormati,
Mohon maaf,
jika ada yang tersasar
atau yang tidak disenangi.
Terima kasih.
Wabillahitaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.









Ucapan Puan Hajah Mahaya Mohd. Yassin, Ketua Satu sempena Mesyuarat Agung PEN ke-33. (17 Januari 2010)

Barisan Kepimpinan PEN 2010 - 2011

Gambar : Dari kiri belakang - Puan Radziah, Puan Zalila, Encik Amiza Khusyri, Tuan Hj Abdul Amin, Encik Faizal Said, Puan Syarifah Salha, Puan Norhana.
Dari kiri depan - Dr. Ani Omar, Puan Nisah, Puan Hajah Mahaya, Tuan Haji Hamzah Hamdani (wakil GAPENA), Dr. Mahdi, Datin Sabarriah, Puan Norhazlin

AHLI JAWATANKUASA PEN 2010-2011

Ketua Satu : Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin
Ketua Dua : Dr. Mahdi Abdul Wahab
Setiausaha 1 : Datin Sabarriah Shukur
Setiausaha 2 : Puan Nisah Haron
Bendahari : Puan Norhazlin Yahya

Ahli Jawatankuasa :
  • Dr. Ani Omar
  • Encik Amiza Khusyri Yusof
  • Puan Norhana Bakhary
  • Puan Syarifah Salha Syed Ahmad
  • Puan Zalila Isa
  • Encik Faizal Said
  • Puan Radziah Abdul Samad
Pemeriksa kira-kira :
  • Puan Hajah Siti Zaleha Mahadi
  • Tuan Haji Abdul Amin Mohd. Kassim

Tuesday, January 12, 2010

Ceramah Hak Cipta


Dipetik dari blog Puan Nisah Haron :

Sempena Mesyuarat Agung PEN yang akan berlangsung pada 17 Januari 2010 (Ahad), saya telah diundang untuk menyampaikan ceramah Penulis & Hak Cipta.

Tempat : Asrama D'Ark, Taman Sri Kasih, Senawang.

Atur cara :

8.30 pagi: Pendaftaran

9.00 pagi: Ceramah Penulis dan Hak Cipta oleh Puan Nisah Haron

Walaupun ceramah ini dianjurkan oleh PEN, sesiapa yang berminat boleh hadir ke majlis tersebut. Ini peluang keemasan. Selalunya, saya mengadakan ceramah Hak Cipta yang berbayar. Kali ini tiada yuran dikenakan.

Jika ada sebarang persoalan mengenai hak cipta yang perlu saya perjelaskan, boleh tinggalkan di ruangan komen. Saya akan masukkan ke dalam ceramah itu kelak, insya-Allah.