Sunday, January 17, 2010

Amanat Ketua Satu




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Saudara Pengerusi Majlis, YBhg Tuan Haji Hamzah Hamdani, Bendahari GAPENA,
Dato’-Dato’, Datin-Datin,ahli2, ajk dan hadirin yang budiman.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi,
Dapat bersama-sama melaksanakan Mesyuarat Agung PEN ke-33 ini,
Terima kasih kepada semua yang sempat dan sudi,
Menyuntik semangat, berkorban sambil berbakti.

Alhamdulillah, 2009 (sambutan 40 tahun PEN) berlalulah sudah,
Kejayaan-kejayaan nan ditempa amat menyerlah,
Peringkat negeri dan kebangsaan terbuktilah sudah,
Hasil muafakat dan iltizam semua yang tak kenal lelah.

Bermula dengan ‘Majlis Bicara Tokoh dan Karya’,
Persembahan penganalisis PEN yang bestari dan muda,
Menyusul ‘Seminar Pengetua’ dek prihatin akan kepentingan Sastera,
Memanfaatkan pentadbir, masyarakat, pendidik dan pelajar.

Yang paling mengesankan, ‘Utusan Sukma: Sepagi Bersastera’,
Utusan, PEN dan JPNS melakar sejarah,
Lebih dua ribu khalayak ceria dan bertuah,
Memugar bahasa & sastera bersama-sama penulis dan Sasterawan Negara.

Dua Bengkel Puisi juga amat berjaya,
Penulis-penulis PEN gigih dan berbakat pula,
Dibimbing oleh tokoh ilmuan dan sastera,
Tergaraplah akhirnya dua buah antologi karya.

Gema Serunai Hati 9: Negeri Sembilan, Negeriku Gemilang
Satu-satunya karya negara yang sempat dilancarkan,
Sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009,
PEN dan Negeri Sembilan berkongsi kegembiraan.

Umbara Sastera 3 dan Bengkel Cerpen pula,
Tak putus-putus dianjurkan untuk ahli yang teruja,
Misi dan visi PEN untuk melahirkan penulis prolifik dan muda,
Seperti Nisah, Latip, Amiza, Salha, Faizal, Ani dan Masliya.

2010 menunggu dengan perancangan berhemah yang rapi,
Februari ‘Seminar Melestarikan Warisan’ projek PEN dan UPSI,
Selain melangsungkan perkongsian bestari,
Menguar-uarkan ketokohan dan keunggulan adat perpatih yang diwarisi.

Usaha memantapkan bahasa dan sastera akan dilipatgandakan,
Dalam kalangan ahli, masyarakat, pelajar dan jabatan,
Seiring mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,
Kuantiti dan kualiti penerbitan PEN terus diutamakan.

Sekali gus, ikhtiar nan tekal diperjuangkan,
Golongan penulis mendapat pengiktirafan,
Anugerah Sastera Negeri hendaknya diteruskan Kerajaan,
Bersama-sama kita membina kecemerlangan insan.

Aduhai, kembara PEN nan lancar dan indah,
Berselirat pula cabaran dan celaan mengguhah,
Namun, berkat kerjasama dan semangat nan tabah,
Hasrat mendidik & memugar bahasa, sastera dan budaya tetap gah.

Tahun ini, ada pemilihan jawatankuasa,
Semoga tampil yang benar-benar berminat dan bertenaga,
Sebenarnya, PEN untuk semua dan sedia menerima teguran membina,
Biarlah kesinambungan objektif PEN dimanfaatkan semua.

Kepada Kerajaan Negeri, DBP, GAPENA, individu, media massa dan institusi,
PEN persembahkan ucapan terima kasih sekalung budi,
Teruskanlah sokongan moral dan material kepada kami,
Memperkasakan tamadun bangsa di negeri tercinta ini.

Kepada Ahli Jawatankuasa yang dianggap saudara,
Segunung intan tidak setara jasa,
Sokongan dan pengorbanan termeterai di sukma,
Semoga ganjaran terbaik disediakan-Nya.

Sampailah sudah ke penghujung bicara,
PEN doakan kalian sejahtera dan dirahmati-Nya,
Ibadah kita berwadahkan iman, pemikiran, nilai murni dan bahasa,
Insya-Allah! Kesemuanya diterima Allah jua.

Hadirin yang dihormati,
Mohon maaf,
jika ada yang tersasar
atau yang tidak disenangi.
Terima kasih.
Wabillahitaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.









Ucapan Puan Hajah Mahaya Mohd. Yassin, Ketua Satu sempena Mesyuarat Agung PEN ke-33. (17 Januari 2010)

2 comments:

haiza najwa said...
This comment has been removed by the author.
haiza najwa said...

Kak Mahayaku sayang.

Sorry can't make it to the D Ark. Hurdles seemed to b blocking my way there.. SMS Nisah Haron plak tibanya terlalu dinihari.

Letters pun banyak sgt and the one from PEN being trodden in between.
You should've called me instead n I'll respond simultaneously. Nanti I dtg jelaskan yuran. I think I'll choose the ahli seumur hidup jugalah..Salam hormat buat akak dan Nisah. Salam.

7:19 PM