Thursday, December 18, 2008

Laporan Bengkel Penulisan Cerpen DBP - PEN 2008



Bengkel yang dijadualkan telah berlangsung dengan jayanya. Seramai 20 orang peserta mengikuti bengkel selama 2 hari di Golden Straits Villa Beach Resort, Port Dickson. Dalam tempoh tersebut, peserta dibimbing oleh YM Tuan Nurizan Mohd Yunos ataupun nama penanya Ana Balqis. Puan Zalila Sharif, Ketua Bahagian Sastera Moden, DBP turut menyampaikan ceramah yang berjudul Puitika Melayu. Pada hari terakhir, ceramah Undang-undang Hak Cipta dan Etika Penulisan disampaikan oleh Puan Nisah Haji Haron.

Menurut urus setia daripada pihak DBP, inilah kali pertama bengkel penulisan anjuran DBP ini memuatkan slot hak cipta untuk pesertanya.

Turut hadir sebagai peserta, Encik Radzali A. Ghani (Ketua II PEN) dan Puan Kalsom Azid (Bendahari PEN).

Berikut, beberapa gambar yang sempat dirakamkan:

Gambar : Gabungan mantap PEN (Puan Mahaya Mohd Yassin berbaju biru) dan DBP (Puan Zalila Sharif)

Gambar : Peserta bergambar selepas Majlis Penutupan pada 14 Disember 2008


Gambar : Sebahagian daripada peserta sedang tekun mengikuti bengkel


Gambar : YM Tuan Nurizan (Ana Balqis) - Pembimbing


Gambar : Bengkel yang serius tetapi menyeronokkan!

Pihak PEN mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua AJK dan ahli yang turut menjayakan program ini. Tanpa komitmen daripada semua pihak, bengkel seumpama ini tidak dapat kita laksanakan sebaik-baiknya.

Insya-Allah, pihak persatuan akan mengadakan lebih banyak aktiviti mulai tahun 2009. Nantikan pengumumannya di laman ini.

Selamat Tahun Baharu 1430 Hijrah
Selamat Tahun Baharu 2009 Masehi
daripada Ketua Satu dan ahli-ahli jawatankuasa
Persatuan Penulis Negeri Sembilan


Thursday, November 27, 2008

Bengkel Penulisan Cerpen DBP - PEN 2008



Bengkel Penulisan Cerpen (Lanjutan) 2008 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) akan diadakan pada butiran yang berikut :

  • Tarikh : 12 - 14 Disember 2008
  • Tempat : Golden Straits Villas Beach Resorts, Batu 3, Port Dickson
  • Pembimbing : Ana Balqis (Tuan Nurizan Mohd Yunos)
  • Bilangan Peserta : 20 orang sahaja
  • Syarat penyertaan : Mestilah menghantar sebuah cerpen bertaip, 8 halaman dan e-mel kepada nisah.haron@gmail.com sebelum 30 November 2008.
Sebarang pertanyaan, sila hubungi PEN : 06-6778359 (Puan Mahaya).

Friday, August 15, 2008

Tahniah Abdul Latip Talib!


Penulis Negeri Sembilan dan ahli PEN Abdul Latip Talib telah menggondol 2 hadiah penghargaan sekaligus dalam Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor II 2008. Majlis berlangsung di Persada Johor, Johor Bahru.

Dua novel tersebut ialah Perang Jementah dan Datuk Moyang Saleh.

Dengan kemenangan tersebut, Abdul Latip membawa pulang RM5,000 setiap satu.

Pihak Persatuan Penulis Negeri Sembilan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah.

Thursday, August 07, 2008

Ketua Pengarah
Dewan Bahasa & Pustaka

&

Ketua Satu serta AJK PEN

dengan segala sukacitanya mengundang

semua peminat sastera

ke Majlis Bicara Karya Sastera Negeri Sembilan 2008

pada 9 Ogos 2008 (Sabtu)

jam
9.00 pagi

di
Balai Ilmu
Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban


*****


ATUR CARA


8.30 pagi Pendaftaran

9.00 pagi Bacaan doa
Ucapan alu-aluan Ketua Bahagian Teori & Kritikan Sastera, DBP

SESI PEMBENTANGAN

9.30 pagi Kotak Renung dan Tenung (Drama) - DBP 2008
karya Anuar Nor Arai
oleh Encik Zakaria Ariffin (ASWARA)

Mengutip Manik Waktu Yang Masih Tersisa (Puisi) - DBP 2007
karya Mahaya Mohd Yassin
oleh Dr. Amida Abdul Hamid (UM)

Tawarikh Cinta (Novel) - Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2008
karya Nisah Haron
0leh Encik Saifullizan Yahaya (DBP)

11.30 sesi soal jawab

12.30 Penyampaian cenderamata

1.00 ptg Makan tengah hari & bersurai



Pengerusi : Tuan Haji Zulkifli Abu
Pengacara : Encik Azmi Ayub


Sunday, June 29, 2008

Umbara Sastera 2

Memandangkan minat yang tinggi serta komitmen yang ditunjukkan oleh ahli-ahli dalam Umbara Sastera yang sulung, PEN akan mengadakan Umbara Sastera 2 sempena Bengkel Asas Penulisan Cerpen PEN pada 19 Julai 2008 (Sabtu) jam 8.30 pagi di Pusat Pengajian Imtiyaz, Taipan, Senawang.

Acara Umbara Sastera akan mendahului Bengkel sebagai ruangan pembakar semangat dan pemangkin kepada calon-calon penulis yang bakal menyertai bengkel ini.

Umbara Sastera 2 kali ini bakal menghimpunkan penulis-penulis muda tanah air yang telah bertapak dan menempah nama di peringkat kebangsaan. Mereka adalah :

a) Fahd Razy
b) Raihani Mohd Saaid
c) Nasriah Abdul Salam
d) Serunai Faqir
e) Salina Ibrahim
f) Adibah Abdullah


PEN amat berharap agar ramai ahli dan peminat sastera yang turut sama memeriahkan acara ini.

Penyertaan untuk Umbara Sastera adalah percuma.

Untuk keterangan tentang Bengkel Asas Penulisan Cerpen, sila lihat entri di bawah.

Bengkel Asas Penulisan Cerpen PEN


PEN akan mengadakan Bengkel Asas Penulisan Cerpen pada ketetapan yang berikut :

Tarikh : 19 Julai 2008 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : Pusat Pengajian Imtiyaz, Taipan Senawang
Yuran : RM10 (ahli PEN); RM15 (bukan ahli)

Terhad kepada 30 orang peserta yang benar-benar berminat sahaja.

Pembimbing :
Syarat :

Peserta bengkel digalakkan membawa sebuah cerpen terbaharu untuk ulasan pembimbing.

Atur cara :

8.00 pagi Pendaftaran
8.30 pagi Umbara Sastera

kudapan

10.30 pagi Ceramah Asas Penulisan Cerpen

Rehat & solat zohor

2.00 petang Bengkel 1

4.00 petang Bengkel 2


Untuk sebarang pertanyaan dan pengesahan sila hubungi :

Nisah Haji Haron (06-76 75 722)
Amiza Khusyri (012-374 6327)
Hajah Mahaya (012-3083 965)

Tarikh tutup pengesahan kehadiran pada 10 Julai 2008.

Wednesday, February 27, 2008

Umbara Sastera

PEN akan mengadakan majlis yang diberi nama UMBARA SASTERA berdasarkan ketetapan yang berikut :

Tarikh : 1 Mac 2008 (Sabtu)
Masa : 10 pagi - 12 tengah hari
Tempat : Perpustakaan Awam Seremban
Kediaman Ketua Satu PEN
No. 59, Lorong Cenderawasih 2, Taman Paroi Jaya, Seremban

Tetamu :
Puan Mahaya Mohd Yassin
Puan Nisah Haji Haron
Encik Amiza Khusyri Yusuf
Puan Syarifah Salha Syed Ahmad


Konsep :
Umbara ertinya kembara atau jelajah. Umbara Sastera berhasrat untuk membawa mereka yang mengambil bahagian mengembara minda dengan pelbagai cara. Menggunakan konsep ala-ala bicarawara, peserta boleh membaca naskhah, memperkatakan hal-hal seputar sastera dan persuratan Melayu, menggugah peserta dengan idea yang boleh dibincangkan, atau mempersembahkan (mendeklamasi) puisi moden, puisi tradisional, ataupun apa yang difikirkan sesuai dengan konsep yang dicadangkan.

Sesiapa yang ingin mengambil bahagian secara ad hoc, boleh maklumkan kepada saya melalui e-mel : nisah.haron@gmail.com

Tiada yuran penyertaan. Jika mahu bawa sumbangan makan/minum amatlah dialu-alukan.

(Umbara Sastera sebenarnya meletakkan perkara makan/minum ini menjadi item no. 17 atau 18. Yang penting ialah pengisian dan bukannya soal makan.)

Sebarang pertanyaan, boleh e-mel saya ataupun hubungi talian PEN : 06-6778 359

Sastera itu boleh hidup dengan pelbagai cara!

Saturday, February 09, 2008

TITIPAN KETUA SATU


Alhamdulillah, PEN berjaya menutup tirai 2007nya dengan seribu kejayaan dan sekelumit kegetiran. Majlis Anugerah Ilmuan dan Sastera Negeri Sembilan 2007 ke-3 pada 14 November, amat berjaya dan penuh prestij. Sementara itu pembuka tirai 2008, majlis Bicara Karya (4 buah karya PEN)sempena Mesyuarat Agung PEN ke31, berlangsung dalam suasana amat meriah dan mengesankan.

Tahniah kepada semua yang sempat hadir dan sekali gus mempererat silaturahim. Terima kasih kepada ahli yang peka dan melunasi tanggungjawab berpersatuan. Terima kasih pada AJK kerana sudi menerima tugas serta bersiap siaga menyandang untuk membantu menyemarakkan kelangsungan aktiviti bahasa, sastera dan budaya di negeri adat perpatih kita.

Pelbagai aktiviti dirancang untuk tahun ini, namun perancangan tidak akan menjadi realiti dan bermakna kalau ahli tidak dapat bersama-sama turun padang. Justeru, setiap kali aktiviti PEN diuar-uarkan, datanglah beramai-ramai dengan keluarga dan sahabat handai kerana ilmu itu boleh dikongsikan semaksimum mungkin dengan sesiapa pun.

Walaupun demikian, PEN amat berharap ahli-ahli tetap terus bersifat proaktif untuk memacu ilmu daripada pelbagai sumber, serta berdaya saing untuk berjumpa dengan pihak-pihak yang dapat membantu mengetengahkan bakat dan kepakaran masing-masing. Hal ini sedemikian kerana penulis mestilah berwibawa daripada pihak khalayak agar karya yang dipersembahkan lebih bermutu dan memenuhi pelbagai kehendak. Di samping itu, peluang keemasan yang tepu di sekeliling kita, dapat dimanfaatkan.

Mulai tahun ini, ahli PEN yang aktif ialah mereka yang menjelaskan yuran tahunan pada tahun ini sahaja. Sementara itu, ahli-ahli lain dianggap ahli dokumentasi (tidak aktif) selagi mereka tidak menjelaskan yuran tahunan mereka.

PEN sedang dalam proses memohon pindaan perlembagaan untuk menaikkan yuran tahunan ahli daripada RM5 kepada RM10, yuran ahli seumur hidup daripada RM100 kepada RM200 serta yuran pendaftaran untuk tiap-tiap kategori sebanyak RM 5 ringgit sahaja. Oleh yang demikian, mungkin sehingga Jun , PEN masih mematuhi syarat yuran yang lama. Kita masih berpeluang menjadi ahli seumur hidup sebanyak RM100 sahaja.

Saudara, berita terkini PEN boleh diperolehi daripada blog PEN dan juga blog Nisah Haron. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan supaya kita dapat sama-sama membantu perkembangan bahasa, sastera dan budaya kita disamping beribadah secara kreatif.

Akhir bicara, PEN merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua-ketua Jabatan, Dewan Bahasa dan Pustaka, GAPENA, YB Senator Dato’ Hajah Samsiah Samsudin, Ahli-ahli Seumur Hidup, AJK PEN dan seluruh individu yang membantu menjayakan program PEN serta hal-hal warisan bangsa. Hanya Allah yang mampu memberikan ganjaran-Nya!

Selagi bernafas, kita tiada pilihan

Kecuali mendapatkan keredaan-Nya

Berpersatuan beribadah, jika ikhlas

Allah jua yang Maha Megetahui!

Wassalam.
MMY
2 Safar 1429H (9 Februari 2008)

Wednesday, January 23, 2008

Takwim PEN 2008

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PEN Kali Pertama 2008 telah diadakan pada 23 Januari 2008 di kediaman Ketua Satu. Mesyuarat ini telah meluluskan beberapa aktiviti PEN sepanjang tahun 2008 telah dicadangkan seperti yang berikut:


TARIKH AKTIVITI 2008
Mac - Bengkel Pemantapan Penulisan 2
- Perayaan Za'ba
April Kempen Galakan Membaca dengan kerjasama SMK Seremban 2
Jun Bicara Karya PEN dengan kerjasama DBP & IPRM
Julai Wacana Ilmu: Sepetang Bersama PEN - dengan kerjasama UPSI
Ogos Lawatan Berkarya ke Bukit Tinggi, Indonesia.

Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada acara yang sedang dirancang oleh pihak AJK PEN. Mana-mana ahli yang berminat untuk tampil dan menawarkan aktiviti lain, boleh berhubung terus dengan Ketua Satu ataupun Setiausaha Satu untuk disesuaikan dengan takwim PEN.

Maklumat lanjut akan disiarkan di laman ini dari semasa ke semasa.

Thursday, January 10, 2008

Mesyuarat Agung PEN ke-31 - Laporan Utusan Malaysia

Utusan Malaysia melaporkan keputusan Mesyuarat Agung PEN - 31 :

Mahaya kekal terajui Pen

KETUA Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) sesi 2006/2007, Mahaya Mohd. Yassin kembali diberi kepercayaan untuk terus menerajui persatuan tersebut bagi sesi 2008/2009.

Beliau yang juga merupakan penulis dan penyair terkenal di peringkat nasional diberi kepercayaan penuh oleh ahli Pen dalam mesyuarat agung dan pemilihan jawatankuasa kali ke-31 baru-baru ini.

Dalam perkembangan sastera terutama genre puisi kebangsaan, Mahaya dapat dianggap sebaris dengan ikon-ikon kepenyairan nasional seperti Zurinah Hassan, A. Ghaffar Ibrahim, Rahman Shaari, Lim Swee Tin dan Siti Zaleha Hashim.

Selain itu, beliau juga turut berpengalaman luas dalam pentadbiran serta pengurusan persatuan sastera khususnya Pen.

Bagaimanapun, berlaku rombakan besar dalam jawatankuasa bagi sesi 2008/2009 apabila beberapa ‘muka baru’ dipilih menduduki pimpinan utama persatuan.

Pada masa yang sama, terdapat ahli jawatankuasa yang digugurkan. Ia bertujuan memastikan pentadbiran persatuan yang lebih efektif dalam semua aspek.

Sementara itu, Ketua Dua disandang oleh Razali Abdul Ghani yang sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa manakala pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Ani Omar terpilih sebagai Setiausaha Satu.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh penulis dan peguam sharie, Nisah Haron. Beliau dalam pimpinan persatuan sesi 2008/2009 dipilih sebagai ahli jawatankuasa kerja.

Setiausaha Dua pada sesi baru tersebut dipegang oleh Datin Maznah Yusof manakala jawatan Bendahari disandang oleh Kalsom Azid.

Senarai ahli jawatankuasa lain bagi sesi 2008/2009 ialah Mahdi Abdul Wahab, Zulkifli Abu, Zaharul Ariffin Md. Zin, Amiza Khusyri Yusof, Ida Munira Abu Bakar dan Affendi Alwi.

Mesyuarat Agung Pen ke-31 ini juga telah memberi mandat kepada jawatankuasa yang baru dipilih supaya melantik 2 orang jawatankuasa kerja. Penerima jawatan tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Perasmian Mesyuarat Agung Pen kali ke-31 tersebut dirasmikan oleh Senator Datuk Samsiah Samsudin.

Bicara Karya PEN & Mesyuarat Agung PEN dalam Akhbar

BERTUKAR PANDANGAN: Dari kiri Dr Anwar, Amiza Khuysri (Pengerusi), Nor Azah dan Dr Ani pada Bicara Karya Persatuan Penulis Negeri Sembilan.


Pada 10 Januari 2008 Berita Harian & Utusan Malaysia telah menyiarkan laporan Bicara Karya dan Mesyuarat Agung PEN.

Berikut dipetik dari akhbar Berita Harian :

Pengalaman pengarang mampu hidupkan cerita

PENGALAMAN pengarang yang digabungkan dengan kreativiti dalam sesebuah karya kreatif mampu memberi nilai tambah diperincikan pada Bicara Karya Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) di Kolej Mara Seremban, baru-baru ini,

Lebih 200 khalayak majlis anjuran Pen bersempena Mesyuarat Agung Pen ke-31 itu dibawa meninjau kebenaran aspek terbabit dengan meneliti empat teks karya penulis kelahiran Negeri Sembilan.

Mantan Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan yang membicarakan Kumpulan Cerpen Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (CSRO) karya Nisah Haron menyifatkan naskhah pengarang itu mempamerkan unsur ketaksaan dan menguji minda khalayak.

“Kebanyakan cerpen dalam CSRO membiaskan pengalaman Nisah berkaitan warisan budaya, pendidikan dan kerjayanya dalam dunia perundangan, tetapi binaan naratifnya dijaga sebaik mungkin bagi mencerap emosi khalayak,” katanya ketika membincangkan "Menatar Binaan Naratif Gaya Nisah."

Nisah juga dikatakan tidak teragak-agak menawarkan kesan estetika dan intelektual kepada pembaca cerpennya, tetapi dua nilai berkenaan tidak akan diperoleh dengan cara mudah kecuali khalayak sanggup mengupas maksud tersirat di sebalik karya.

Dr Anwar mengambil cerpen Resipi Dari Istana yang mengisahkan tukang masak mewakili istana maharaja dalam satu pertandingan memasak yang menjadi metafora dan simbol kejengkelan Nisah terhadap organisasi tertentu, tetapi diolah secara berhemah oleh pengarang wanita itu.

“Nisah cenderung menggarap cerita yang tidak menerbitkan maksud selapis. Pembaca perlu peka terhadap sumber cerita kerana Nisah tekun menukar sesuatu cerita kepada komposisi yang menjelmakan citra baru,” katanya pada majlis yang dipengerusikan Amiza Kusyri Yusof.

Baginya, Nisah menggarap cerita daripada hipoteks yang dibumbui sumber cerita langsung hingga mewujudkan hiperteks, selain memberi gambaran adanya hubungan antara teks, cerita dalam cerita dan dialog antara cerita.

Editor Kanan Utusan Publication & Distributors, Nor Azah Abdul Aziz, senada dengan Dr Anwar apabila mengakui pengalaman pengarang yang diterap dalam karya akan lebih memberi kesan emosi ketika memperkatakan novel remaja Beraraklah Awan Pilu (BAP) karya Abdul Latip Talib.

“Banyak naratif wajar dan positif dalam karya Abdul Latip ketika menampilkan Shafiq yang berkunjung ke Brunei Darussalam dalam usahanya mencari bapanya dan kecekalan remaja terbabit sesuai dengan jalan cerita,” katanya ketika memperincikan "Mengakrabi Watak Remaja Unggul Dalam Novel Beraraklah Awan Pilu: Berkongsi Pengalaman Editorial."

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (FBMKUPM), Prof Madya Dr Arbak Othman, pula mengesan unsur peribadi yang sarat dalam Antologi Puisi Maya karya Allahyarham Salim Taib atau Agus Salim.

“Puisi Agus Salim padu dengan mesej dan kebanyakannya adalah kenangan yang tepu romantis dan bukan catatan pengalaman. Puisi yang diangkat menjadi judul buku, Maya misalnya, seolah-olah mendefinisi peristiwa khusus dalam kehidupan penulis,” katanya ketika membicarakan "Puisi Sebagai Pelafaz Idea dan Perasaan: Kajian Kandungan Dalam Antologi Maya Karya Agus Salim."

Dr Arbak menegaskan puisi adalah idea yang mengemukakan pengalaman sosial pengarang dalam segala aspek kehidupan, baik bersifat peribadi mahupun kemasyarakatan dan Agus Salim nyata peka memanfaatkan jalur peribadi ke dalam karyanya.

Tidak ketinggalan, puisi penyair itu turut mempamerkan usahanya menerapkan nilai moral, seakan-akan mahu mewariskan kepada generasi muda mengenai nilai baik yang mesti diamalkan dalam kehidupan, berselari dengan kebenaran Ilahi seperti terpancar dalam Kebenaran.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ani Omar yang mengupas Kumpulan Puisi Kanak-kanak, Jasa Ibu (JI) karya Zainal Abdul Kadir dari sudut Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (Luhur, Lahir, Logik dan Lateral).

“Puisi Zainal sarat kata nasihat agar kanak-kanak menghormati ibu bapa, guru, rakan dan taulan. Mereka diingatkan pentingnya sifat terpuji dan bertanggungjawab manakala ibu bapa diingatkan mendorong anak mereka menjadi insan kamil,” katanya.

Dr Ani turut mengkategorikan Keluarga Bahagia, Sekuntum Bunga Raya, Alangkah Beruntung, Emak Masak Nasi, Komputer, Jasa Guru dan Cita-cita membuktikan dunia kepenyairan berupaya menjadi pemangkin dalam membentuk disiplin dan jati diri insan bermula dari tahap kanak-kanak.

Mesyuarat Agung Tahunan Pen menyaksikan Ketua Satu Pen kekal disandang Mahaya Mohd Yassin manakala Ketua Dua ‘dirampas’ Radzali Abdul Ghani daripada penyandang sebelumnya, Zulkifli Abu dan Dr Ani dipilih sebagai Setiausaha Satu, menggantikan Nisah. Setiausaha Dua dan Bendahari disandang Datin Maznah Yusof dan Kalsom Azid.

Sunday, January 06, 2008

Senarai Ahli Jawatankuasa PEN 2008-2009


Berdasarkan keputusan Mesyuarat Agung PEN ke-31 yang berlangsung pada hari ini, berikut adalah barisan kepimpinan baharu :

Ketua Satu : Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin
Ketua Dua : Encik Radzali Abd. Ghani
Setiausaha Satu : Dr. Ani Omar
Setiausaha Dua : Datin Maznah Yusof
Bendahari : Puan Kalson Azid

AJK :
  1. Dr. Haji Mahdi Abdul Wahab
  2. Tuan Haji Zulkifli Abu
  3. Puan Nisah Haji Haron
  4. Encik Zaharul Ariffin Md Zin
  5. Encik Amiza Khusyri Yusof
  6. Puan Ida Munira Abu Bakar
  7. Encik Affendi Alwi
Pemeriksa kira-kira:
  1. Encik Amin Khan
  2. Hajah Zaleha Mahdi
Mesyuarat Agung PEN ke-31 ini juga telah memberi mandat kepada jawatankuasa yang baru dipilih supaya melantik 2 orang jawatankuasa kerja. Penerima jawatan tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Gambar-gambar lain, boleh dilihat di laman : www.nisahharon.fotopages.com