Saturday, February 09, 2008

TITIPAN KETUA SATU


Alhamdulillah, PEN berjaya menutup tirai 2007nya dengan seribu kejayaan dan sekelumit kegetiran. Majlis Anugerah Ilmuan dan Sastera Negeri Sembilan 2007 ke-3 pada 14 November, amat berjaya dan penuh prestij. Sementara itu pembuka tirai 2008, majlis Bicara Karya (4 buah karya PEN)sempena Mesyuarat Agung PEN ke31, berlangsung dalam suasana amat meriah dan mengesankan.

Tahniah kepada semua yang sempat hadir dan sekali gus mempererat silaturahim. Terima kasih kepada ahli yang peka dan melunasi tanggungjawab berpersatuan. Terima kasih pada AJK kerana sudi menerima tugas serta bersiap siaga menyandang untuk membantu menyemarakkan kelangsungan aktiviti bahasa, sastera dan budaya di negeri adat perpatih kita.

Pelbagai aktiviti dirancang untuk tahun ini, namun perancangan tidak akan menjadi realiti dan bermakna kalau ahli tidak dapat bersama-sama turun padang. Justeru, setiap kali aktiviti PEN diuar-uarkan, datanglah beramai-ramai dengan keluarga dan sahabat handai kerana ilmu itu boleh dikongsikan semaksimum mungkin dengan sesiapa pun.

Walaupun demikian, PEN amat berharap ahli-ahli tetap terus bersifat proaktif untuk memacu ilmu daripada pelbagai sumber, serta berdaya saing untuk berjumpa dengan pihak-pihak yang dapat membantu mengetengahkan bakat dan kepakaran masing-masing. Hal ini sedemikian kerana penulis mestilah berwibawa daripada pihak khalayak agar karya yang dipersembahkan lebih bermutu dan memenuhi pelbagai kehendak. Di samping itu, peluang keemasan yang tepu di sekeliling kita, dapat dimanfaatkan.

Mulai tahun ini, ahli PEN yang aktif ialah mereka yang menjelaskan yuran tahunan pada tahun ini sahaja. Sementara itu, ahli-ahli lain dianggap ahli dokumentasi (tidak aktif) selagi mereka tidak menjelaskan yuran tahunan mereka.

PEN sedang dalam proses memohon pindaan perlembagaan untuk menaikkan yuran tahunan ahli daripada RM5 kepada RM10, yuran ahli seumur hidup daripada RM100 kepada RM200 serta yuran pendaftaran untuk tiap-tiap kategori sebanyak RM 5 ringgit sahaja. Oleh yang demikian, mungkin sehingga Jun , PEN masih mematuhi syarat yuran yang lama. Kita masih berpeluang menjadi ahli seumur hidup sebanyak RM100 sahaja.

Saudara, berita terkini PEN boleh diperolehi daripada blog PEN dan juga blog Nisah Haron. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan supaya kita dapat sama-sama membantu perkembangan bahasa, sastera dan budaya kita disamping beribadah secara kreatif.

Akhir bicara, PEN merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua-ketua Jabatan, Dewan Bahasa dan Pustaka, GAPENA, YB Senator Dato’ Hajah Samsiah Samsudin, Ahli-ahli Seumur Hidup, AJK PEN dan seluruh individu yang membantu menjayakan program PEN serta hal-hal warisan bangsa. Hanya Allah yang mampu memberikan ganjaran-Nya!

Selagi bernafas, kita tiada pilihan

Kecuali mendapatkan keredaan-Nya

Berpersatuan beribadah, jika ikhlas

Allah jua yang Maha Megetahui!

Wassalam.
MMY
2 Safar 1429H (9 Februari 2008)

No comments: