Pada 10 Januari 2008 Berita Harian & Utusan Malaysia telah menyiarkan laporan Bicara Karya dan Mesyuarat Agung PEN.
Berikut dipetik dari akhbar Berita Harian :
Pengalaman pengarang mampu hidupkan cerita
PENGALAMAN pengarang yang digabungkan dengan kreativiti dalam sesebuah karya kreatif mampu memberi nilai tambah diperincikan pada Bicara Karya Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) di Kolej Mara Seremban, baru-baru ini,Lebih 200 khalayak majlis anjuran Pen bersempena Mesyuarat Agung Pen ke-31 itu dibawa meninjau kebenaran aspek terbabit dengan meneliti empat teks karya penulis kelahiran Negeri Sembilan.
Mantan Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan yang membicarakan Kumpulan Cerpen Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (CSRO) karya Nisah Haron menyifatkan naskhah pengarang itu mempamerkan unsur ketaksaan dan menguji minda khalayak.
“Kebanyakan cerpen dalam CSRO membiaskan pengalaman Nisah berkaitan warisan budaya, pendidikan dan kerjayanya dalam dunia perundangan, tetapi binaan naratifnya dijaga sebaik mungkin bagi mencerap emosi khalayak,” katanya ketika membincangkan "Menatar Binaan Naratif Gaya Nisah."
Nisah juga dikatakan tidak teragak-agak menawarkan kesan estetika dan intelektual kepada pembaca cerpennya, tetapi dua nilai berkenaan tidak akan diperoleh dengan cara mudah kecuali khalayak sanggup mengupas maksud tersirat di sebalik karya.
“Nisah cenderung menggarap cerita yang tidak menerbitkan maksud selapis. Pembaca perlu peka terhadap sumber cerita kerana Nisah tekun menukar sesuatu cerita kepada komposisi yang menjelmakan citra baru,” katanya pada majlis yang dipengerusikan Amiza Kusyri Yusof.
Baginya, Nisah menggarap cerita daripada hipoteks yang dibumbui sumber cerita langsung hingga mewujudkan hiperteks, selain memberi gambaran adanya hubungan antara teks, cerita dalam cerita dan dialog antara cerita.
Editor Kanan Utusan Publication & Distributors, Nor Azah Abdul Aziz, senada dengan Dr Anwar apabila mengakui pengalaman pengarang yang diterap dalam karya akan lebih memberi kesan emosi ketika memperkatakan novel remaja Beraraklah Awan Pilu (BAP) karya Abdul Latip Talib.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (FBMKUPM), Prof Madya Dr Arbak Othman, pula mengesan unsur peribadi yang sarat dalam Antologi Puisi Maya karya Allahyarham Salim Taib atau Agus Salim.
“Puisi Agus Salim padu dengan mesej dan kebanyakannya adalah kenangan yang tepu romantis dan bukan catatan pengalaman. Puisi yang diangkat menjadi judul buku, Maya misalnya, seolah-olah mendefinisi peristiwa khusus dalam kehidupan penulis,” katanya ketika membicarakan "Puisi Sebagai Pelafaz Idea dan Perasaan: Kajian Kandungan Dalam Antologi Maya Karya Agus Salim."
Dr Arbak menegaskan puisi adalah idea yang mengemukakan pengalaman sosial pengarang dalam segala aspek kehidupan, baik bersifat peribadi mahupun kemasyarakatan dan Agus Salim nyata peka memanfaatkan jalur peribadi ke dalam karyanya.
Tidak ketinggalan, puisi penyair itu turut mempamerkan usahanya menerapkan nilai moral, seakan-akan mahu mewariskan kepada generasi muda mengenai nilai baik yang mesti diamalkan dalam kehidupan, berselari dengan kebenaran Ilahi seperti terpancar dalam Kebenaran.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ani Omar yang mengupas Kumpulan Puisi Kanak-kanak, Jasa Ibu (JI) karya Zainal Abdul Kadir dari sudut Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (Luhur, Lahir, Logik dan Lateral).
“Puisi Zainal sarat kata nasihat agar kanak-kanak menghormati ibu bapa, guru, rakan dan taulan. Mereka diingatkan pentingnya sifat terpuji dan bertanggungjawab manakala ibu bapa diingatkan mendorong anak mereka menjadi insan kamil,” katanya.
Dr Ani turut mengkategorikan Keluarga Bahagia, Sekuntum Bunga Raya, Alangkah Beruntung, Emak Masak Nasi, Komputer, Jasa Guru dan Cita-cita membuktikan dunia kepenyairan berupaya menjadi pemangkin dalam membentuk disiplin dan jati diri insan bermula dari tahap kanak-kanak.
Mesyuarat Agung Tahunan Pen menyaksikan Ketua Satu Pen kekal disandang Mahaya Mohd Yassin manakala Ketua Dua ‘dirampas’ Radzali Abdul Ghani daripada penyandang sebelumnya, Zulkifli Abu dan Dr Ani dipilih sebagai Setiausaha Satu, menggantikan Nisah. Setiausaha Dua dan Bendahari disandang Datin Maznah Yusof dan Kalsom Azid.
No comments:
Post a Comment