Saturday, October 23, 2010

Kenduri Bahasa di Inap Desa Kampung Lonek, Jempol

Saya hadir ke Inap Desa Lonek dalam keadaan yang tidak cukup selesa. Selain selesema yang menyumbat hidung, batuk yang bersarang di dada turut menyumbang kepada ketidakselesaan itu. Saya hampir sahaja menelefon sdr Azman Kurawi yang menjadi penyelaras program Kenduri Bahasa di Lonek untuk memaklumkan penarikan diri saya. Bagaimanapun, sdr Abdullah AR terlebih dahulu menghantar sistem pesanan ringkas mengatakan beliau terpaksa menarik diri daripada menjadi salah seorang deklamator pada malam tersebut kerana abangnya sedang sakit kuat di Hospital Seremban. Mendengar itu, saya terus membatalkan hasrat dan reda dengan segala kemungkinan. Tambahan pula, Puan Nisah Haron dan Datin Sabariah sudah menggalaskan pada pundak saya amanah dan tanggungjawab yang diserahkan kepada PEN oleh pihak DBP.

Buat seketika, saya menjadi pencinta air suam yang setia.

Gambar : Deklamasi puisi oleh Sdr Mya Marja

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Apa yang saya takuti, tidak menjadi kenyataan pada malam itu. Rasanya, saya dan Mya Marja yang mewakili PEN dalam persembahan deklamasi puisi sudah memberikan yang terbaik. Terima kasih yang tidak terhingga kepada jawatankuasa program, khususnya sdr Azman Kurawi yang menyediakan segala keperluan dan memenuhi apa sahaja permintaan kami. Ternyata tenaga produksi yang mantap menjadi nadi kepada kelancaran program pada malam tersebut.

Program Kenduri Bahasa merupakan penutup kepada Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Negeri Sembilan. Pembukaan program ini berlangsung di Seremban. Barangkali, pemilihan Lonek sebagai tuan rumah untuk acara penutupan merupakan satu kelainan yang ingin dibuat pada tahun ini. Langkah ini merupakan suatu harus dipuji. Sesekali, biarlah masyarakat desa dan luar bandar pula mendapat peluang menunjukkan rasa cinta mereka kepada bahasa ibunda.

Gambar : Deklamasi puisi oleh Sdr Faizal Said

sumber : Faizal Said Online

1 comment:

Mahaya Mohd. Yassin said...

Tahniah kepada PEN kerana sumbangan dalam acara Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Negeri Sembilan.
Gembira amat kerana deklamator muda PEN mula menunjukkan taring mereka. Nanti, anak-anak didik boleh juga ditampilkan.Bukankah semuanya berbakat?
Dalam mesyuarat BBK yang pertama di SUK, saya sempat menyarankan agar Kenduri Bahasa di Lonek disepadukankan dengan majlis mengenang Pendeta Za'ba, tokoh kebanggaan kita, memandangkan Teratak Za'ba dan Inap Desa Lonek berhampiran.
Sayang,tahun ini PEN tidak sempat melancarkan antologi karya ahlinya. Pada tahun lalu, kita gah melancarkan Gema Serunai Hati 9: Negeri Sembilan Negeriku Gemilang di padang MPS pada majlis perasmian BBK, Negeri Sembilan.
Tahniah dan terima kasih AJK PEN dan semua ahli. Teruskan kecemerlangan!