Sunday, February 26, 2012

Ucapan Ketua Satu (sempena Mesyuarat Agung PEN ke-35)

Ucapan Ketua Satu

( sempena Mesyuarat Agung PEN ke-35,

26 Februari 2012, di JKKN Negeri Sembilan)


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada-Nya,

Mengizinkan kita bermuzakarah, bersua muka,

Ilmu dan kemahiran ditingkatkan sama,

Amalan dimantapkan demi manfaat semua.


Sebelum mesyuarat kita laksanakan,

Kita amat-amati wacana ilmu, tokoh jemputan,

Dr. Hajah Siti Zainon Sasterawan-Budayawan,

Hal pemerkasaan jati diri berpaksikan warisan.


Pada tetamu, Dekan, Pengarah, istimewa anakanda pelajar,

Semoga butir mutiara ilmu, dijadikan iktibar,

Kejayaan hidup duniawi ukhrawi kita kejar,

Saling mengingatkan, dalam reda dan sedar.


Sesungguhnya, teradun dalam titipan,

Lafaz penghargaan ikhlas saya rakamkan,

Pertama, Pengarah JKKN dan sahabat sejabatan,

Ruang dan jamuan majlis turut disumbangkan.


Buat adinda saya Dr. Siti, tokoh jempolan,

Terima kasih daun keladi saya kalungkan,

Kesudian perkongsian terpahat di ingatan,

Janganlah serik berkunjung ke Negeri Sembilan.


Syukur ya Allah, dipermudahkan segala usaha,

Kepada semua, terima kasih yang tidak terhingga,

Kehadiran dan sokongan amat berharga,

Semarakkan hajat PEN perkasa bahasa dan sastera.


Kepada ahli jawatankuasa yang dikasihi,

Kerjasama dan pengorbanan kalian amat dihargai,

Semoga sumbangan kita mendapat restu Ilahi,

Membijaksanakan bangsa seikhlas hati.


Dato’, Datin, tuan, puan yang budiman,

Kesilapan & kekurangan kami, mohon dimaafkan,

Yang baik-baik sahaja ambillah tindakan,

Selebihnya insya-Allah, kita jadikan pedoman.


Terima kasih daun keladi,

Sepenuh takzim saya berundur diri,

Wabillahi taufik wal hidayah,

Assalamualaikum warah matullah.


Mahaya Mohd.Yassin.

Monday, February 06, 2012

Notis Mesyuarat Agung PEN ke-35


Ruj.Kami:PEN.S1/12(2)
23 Safar 1433H
26 Januari 2012
Kepada:                                                                                      

Dato’/Datin/Tuan/Puan,

PANGGILAN MESYUARAT AGUNG PEN KE-35

Dengan penuh takzim Dato’/Datin/Tuan/Puan dijemput ke mesyuarat yang di atas pada butiran yang berikut : 

Tarikh : 4 Rabiulakhir 1433/26 Februari 2012 (Ahad),
Masa  : 8.30 pagi, 
Tempat : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan Seremban

2.  Atur cara majlis adalah seperti yang berikut:

8.30 pagi:     Pendaftaran
9.00 pagi:      Wacana Ilmu: ‘Warisan Ibunda: Membina Jati Diri dalam Sastera Budaya’ oleh Budayawan-Sasterawan Prof. Dr. Hajah Siti Zainon Ismail

10.30 pagi:    Mesyuarat Agung PEN ke-35
                      Agenda:
·         Ucapan Ketua Satu
·         Pembentangan dan Pengesahan Minit Mesyuarat Agung ke-34
·         Pembentangan dan Pengesahan Laporan Tahunan 2011
·         Pembentangan dan Pengesahan Laporan Kewangan 2011
·         Pemilihan Jawatankuasa PEN 2012 - 2013
·         Pembentangan dan Perbahasan Usul
·         Ucapan Penangguhan

3. Sila sahkan kehadiran dan kemukakan usul secara bertulis sebelum 15 Februari 2012.
Kerjasama dan kehadiran Dato’/Datin/Tuan/Puan amatlah dihargai. Terima kasih.

“MENDIDIK & MEMUGAR BAHASA, SASTERA & BUDAYA BANGSA”
Yang menjalankan tugas,

t.t.
(DATIN HAJAH SABARRIAH SHUKUR)
Setiausaha Satu

Peta ke JKKN. Klik pada peta untuk paparan yang lebih jelas.

Titipan Ketua Satu 2012


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Ahli PEN yang budiman,
Selamat meneruskan kehidupan sebagai khalifah dan hamba-Nya yang beriman, bertakwa dan beramal. Didoakan saudara sekeluarga sentiasa dalam lindungai Allah. Amin.

Saudara-saudara yang mencipta peningkatan dalam pelbagai bidang dan hal setakat ini, alhamdulillah dan tahniah. Semoga Allah terus memberkati kalian.

Saudara-saudara yang diduga Allah, diharap terus bersabar dan didoakan semakin sihat. Allah sayang akan kita dan akan diberikan-Nya ganjaran yang lebih baik. Amin.

Dengan penuh takzim saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kalian yang bersatu padu membantu saya dan AJK mentadbirkan PEN. Bantuan, nasihat, kerjasama dan doa kalian amat kami hargai, terima kasih daun keladi. Semoga usaha kita memartabatkan bahasa, sastera dan budaya bangsa dipermudahkan-Nya. Insya-Allah.

Sekadar makluman :

i)  Buku Perlembagaan Baharu (pindaan Mei 2011). Pindaan utama.yang telah diluluskan ialah hal yuran. Kini yuran ahli setahun ialah R20.00 dan yuran Ahli Seumur Hidup (ASH) kekal Rm100.00 Sesiapa yang belum memiliki Buku Perlembagaan, harap dapat menghubungi urus setia PEN.

ii) Memanfaatkan Teknologi Maklumat. PEN dalam proses menggunakan e-mel, blog dan facebook selain telefon bimbit sebagai wadah perhubungan sesama ahli. Langkah ini lebih menjimatkan kos dan masa berbanding cara biasa iaitu, surat menyurat.

iii) Antologi Karya Terbaharu.Alhamdulillah, PEN dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan
Kesenian Negara Negeri Sembilan terlah berjaya menerbitkan Gema Serunai Hati 10: Adat Perpatih Keunikan Negeri Sembilan (selenggaraan Sabarriah Shukur).
~Pelancarannya telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohamed Adnan bin Haji Hamzah, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan pada 26 November 2011.
~Sempena Mesyuarat Agung ke-35 nanti, saudara akan mendapat antologi tersebut, insya-Allah.

iv)Rancangan Penerbitan 2012. PEN merancang menerbitkan dua antologi karya ahli. Pertama ialah Buku Kanak-kanak (puisi, cerpen dan novel) dan antologi Haiku. Ahli yang berminat sila hubungi Puan Nisah Haron (Buku Kanak-kanak) dan Datin Sabarriah Shukur untuk antologi Haiku.

 Kita berjumpa pada majlis Mesyuarat Agung PEN yang ke-35 nanti, insya-Allah.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

Mahaya Mohd.Yassin
Ahad, 21 Safar 1433/ 15 Januari 201