Ucapan Ketua Satu
( sempena Mesyuarat Agung PEN ke-35,
26 Februari 2012, di JKKN Negeri Sembilan)
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada-Nya,
Mengizinkan kita bermuzakarah, bersua muka,
Ilmu dan kemahiran ditingkatkan sama,
Amalan dimantapkan demi manfaat semua.
Sebelum mesyuarat kita laksanakan,
Kita amat-amati wacana ilmu, tokoh jemputan,
Dr. Hajah Siti Zainon Sasterawan-Budayawan,
Hal pemerkasaan jati diri berpaksikan warisan.
Pada tetamu, Dekan, Pengarah, istimewa anakanda pelajar,
Semoga butir mutiara ilmu, dijadikan iktibar,
Kejayaan hidup duniawi ukhrawi kita kejar,
Saling mengingatkan, dalam reda dan sedar.
Sesungguhnya, teradun dalam titipan,
Lafaz penghargaan ikhlas saya rakamkan,
Pertama, Pengarah JKKN dan sahabat sejabatan,
Ruang dan jamuan majlis turut disumbangkan.
Buat adinda saya Dr. Siti, tokoh jempolan,
Terima kasih daun keladi saya kalungkan,
Kesudian perkongsian terpahat di ingatan,
Janganlah serik berkunjung ke Negeri Sembilan.
Syukur ya Allah, dipermudahkan segala usaha,
Kepada semua, terima kasih yang tidak terhingga,
Kehadiran dan sokongan amat berharga,
Semarakkan hajat PEN perkasa bahasa dan sastera.
Kepada ahli jawatankuasa yang dikasihi,
Kerjasama dan pengorbanan kalian amat dihargai,
Semoga sumbangan kita mendapat restu Ilahi,
Membijaksanakan bangsa seikhlas hati.
Dato’, Datin, tuan, puan yang budiman,
Kesilapan & kekurangan kami, mohon dimaafkan,
Yang baik-baik sahaja ambillah tindakan,
Selebihnya insya-Allah, kita jadikan pedoman.
Terima kasih daun keladi,
Sepenuh takzim saya berundur diri,
Wabillahi taufik wal hidayah,
Assalamualaikum warah matullah.
Mahaya Mohd.Yassin.
No comments:
Post a Comment