Sunday, September 25, 2011

Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan

Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan
(23-25 September 2011, Jumaat - Ahad)

Perkampungan Penulis Muda
106 pelajar pelbagai bangsa
SMK DUAM, Johol, tuan rumahnya
Mahaya, Nisah dan Azzah penceramahnya.

Peserta aktif berinteraksi meneroka
Lelaki perempuan berbakat pula
Pengisian padat amat berguna
Untuk kini dan hari muka.

Solat berjemaah dipatuhi semua
Bersenam pagi cergas dan ceria
Kebersihan seputar tanggungjawab bersama
Setia mematuhi ketepatan masa.

Puisi, cerpen dan novel dibicara
Ceramah, bengkel dan tunjuk cara
Deklamasi, mestamu dipelajari juga
Bakal penulis lebih teruja.

SMK DUAM amat istimewa
Dandanan landskapnya mempesona
Pemenang Anugerah Lestari Sungai Negara
Segar memukau flora, aroma dan aura.

Di pinggir belukar mengalir sungai
Ujana disusur melalui denai
Di sinilah ilham dicerna dicanai
Tergugah minda perasaan permai.

Tiga hari dua malam berkampung
Ilmu dan kemahiran banyak dihimpun
Setelah usai pengalaman disusun
Garapan karya bermanfaat dan santun.

Anakanda fahamilah tugas dengan sedar
Wawasan dan harapan usah tersasar
Usaha dinilai kecil dan besar
Oleh Allah Yang Maha Perkasa.

Ilmu yang diperoleh dikongsi-konsikan
Dengan keluarga, masyarakat dan rakan
Cita-cita dan hasrat terus perjuangkan
Bersyukur menikmati kejayaan cemerlang.

Sebagi penghargaan sebuah titipan
Rasa kesyukuran yang tidak terungkapkan
Penghargaan kepada JPN dan SMK DUAM
DBP, PEN, petugas dan anakanda tersayang.


Mama Mahaya Mohd.Yassin
7.55 petang, 25 September 2011 (Ahad)

Thursday, September 22, 2011

BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA

PROGRAM BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA
sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Negeri Melaka

Anjuran DBP Wilayah Selatan (DBPWS)
dan Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM)


Pendahuluan

Dalam usaha mengetengahkan, mendedahkan dan membincangkan hasil karya penulis khususnya karya novel, puisi dan cerpen terutamanya melibatkan penulis negeri Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) bersama Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM) akan mengadakan program Bicara Karya Sastera Negeri Melaka (sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Negeri Melaka) pada tarikh, masa dan di tempat berikut:

Tarikh : 1 Oktober 2011 (Sabtu).
Pukul : 9.00 pagi - 11.30 pagi.
Tempat : Dewan Tun Fatimah,
IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka,
Durian Daun, Melaka.

Matlamat program:

i. Mengetengahkan dan mendedahkan hasil karya penulis kepada masyarakat.
ii. Melahirkan masyarakat yang dapat menyelami penyampaian mesej dan pemikiran yang tersirat dalam karya yang dibicarakan.
iii. Melahirkan masyarakat yang bijak menilai dan memanfaatkan isi kandungan
sesebuah karya penulis.
iv. Meningkatkan apresiasi sastera kebangsaan melalui bicara karya kreatif.

Tiga (3) buah karya penulis yang dibicarakan:

i. ‘Masitah’ (kumpulan cerpen Mawar Shafie): Pembicara - Nisah Haron.
ii. ‘Iga’ (kumpulan puisi Zaen Kasturi): Pembicara - Shamsudin Othman.
iii. ‘Wajah Rahsia’ (novel Hanita Hj. Hassan): Pembicara - Mohamad Hj. Musip.


Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, sila hubungi:
i. Rusdi Abd. Rahman - DBPWS (no. telefon: 07-2358802).
ii. Ramly Abu - IPGKPMM (no. telefon: 016-6402366).

MASUK PERCUMA. SEMUA DIJEMPUT HADIR.

Wednesday, September 21, 2011

Ceramah Dr. Awang Sariyan

Dari laman FB Dr. Kamariah Kamarudin :


Ceramah tentang "Perkembangan Pengajian Melayu di China" oleh Prof. Dr Awang Sariyan
29 September 2011 
Dewan Kuliah Za'ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, 
10.00 pagi-12.00 tengah hari. 

Semua yang berminat, sudikan menghadirinya. Masuk tidak dikenakan apa-apa bayaran, cuma perlu mendaftar sebagai peserta. Jualan buku turut diadakan pada hari tersebut. Ayuh, datanglah bertandang ke kampus Serdang!

Friday, September 16, 2011

Titipan Khas Ketua Satu - 28 Ogos 2011

Sumber imej diambil dari sini.


Assalamualaikum,

Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin.


Teriring doa agar kita sentiasa mendapat taufik dan rahmat Allah dalam meneruskan kehidupan sebagai khalifah-Nya, insya-Allah.


Titipan Khas ini untuk semua - Ahli Jawatankuasa, ahli, Ahli Seumur Hidup, bekas ahli, kerabat, sahabat, peminat, pencinta bahasa dan sastera serta saudara jauh dan dekat. Kalian sekeluarga diundang ke majlis yang tersebut di atas. Sudi-sudikanlah.




Matlamat majlis

  • saling berkenalan
  • mengeratkan silaturahim
  • berkongsi kisah, ilmu dan pengalaman demi kebaikan semua
  • mendapatkan Buku Undang-undang PEN yang baharu




Makluman


  1. Dewan Bahasa dan Pustaka Zon Tengah baru diwujudkan kira-kira sebulan yang lalu. Pengarah dan rombongannya, Puan Che Zainab berkunjung ke negeri kita pada 16 Ogos yang lalu. Alhamdulillah, bersama-sama Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (tuan rumah) dan wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, banyak perkara yang dibincangkan. Rancangan untuk mengangkasakan bahasa dan sastera di negeri kita semakin meriah dan perkasa, insya-Allah.
  2. Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Negeri Sembilan akan berlangsung di Sekolah Menengah Datuk Undang Abdul Manap, Johol pada 23 - 25 September (Jumaat - Ahad) 2011. Mesyuarat penyelarasan telah berlangsung pada 12 Ogos (Jumaat).
  3. Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2011 akan dilaksanakan pada bulan Oktober ini. Pelancaran Peringkat Kebangsaan pada 6 Oktober (Khamis), di Melaka dan peringkat Negeri Sembilan pula ialah pada 18 Oktober (Selasa) 2011 di Kompleks Penyiaran RTM, Sungai Gadut, Seremban. Olek Bahasa (penutupan) akan diadakan di KRT Dangi, Johol pada 29 Oktober 2011. Insya-Allah, antologi puisi PEN Gema Serunai Hati 10 akan dilancarkan nanti.
  4. Festival Kesenian (JKKNS) akan berlangsung pada 12 - 16 Oktober 2011 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan.
  5. Mohon kerjasama untuk menyemak serta menggunakan laman web PEN dari semasa ke semasa (www.penulisn9.blogspot.com) untuk pengumuman dan maklumat terkini. Kami beransur-ansur menggunakan wadah teknologi iaitu sistem pesanan ringkas dan laman web untuk perhubungan terkini. Harap maklum.
  6. Mulai Jun 2011, yuran ahli biasa setahun ialah RM20.00 dan yuran Ahli Seumur Hidup kekal RM100.00. Beberapa pindaan yang terdapat di dalam Buku Perlembagaan yang baharu perlu difahami agar tidak wujud kekeliruan, insya-Allah

Kita berjumpa pada Majlis Mesra Raya PEN 2011 nanti, insya-Allah.

Sekian, terima kasih.



Mahaya Mohd.Yassin

Ketua Satu PEN
27 Ogos 2011