Wednesday, January 23, 2008

Takwim PEN 2008

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PEN Kali Pertama 2008 telah diadakan pada 23 Januari 2008 di kediaman Ketua Satu. Mesyuarat ini telah meluluskan beberapa aktiviti PEN sepanjang tahun 2008 telah dicadangkan seperti yang berikut:


TARIKH AKTIVITI 2008
Mac - Bengkel Pemantapan Penulisan 2
- Perayaan Za'ba
April Kempen Galakan Membaca dengan kerjasama SMK Seremban 2
Jun Bicara Karya PEN dengan kerjasama DBP & IPRM
Julai Wacana Ilmu: Sepetang Bersama PEN - dengan kerjasama UPSI
Ogos Lawatan Berkarya ke Bukit Tinggi, Indonesia.

Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada acara yang sedang dirancang oleh pihak AJK PEN. Mana-mana ahli yang berminat untuk tampil dan menawarkan aktiviti lain, boleh berhubung terus dengan Ketua Satu ataupun Setiausaha Satu untuk disesuaikan dengan takwim PEN.

Maklumat lanjut akan disiarkan di laman ini dari semasa ke semasa.

Thursday, January 10, 2008

Mesyuarat Agung PEN ke-31 - Laporan Utusan Malaysia

Utusan Malaysia melaporkan keputusan Mesyuarat Agung PEN - 31 :

Mahaya kekal terajui Pen

KETUA Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) sesi 2006/2007, Mahaya Mohd. Yassin kembali diberi kepercayaan untuk terus menerajui persatuan tersebut bagi sesi 2008/2009.

Beliau yang juga merupakan penulis dan penyair terkenal di peringkat nasional diberi kepercayaan penuh oleh ahli Pen dalam mesyuarat agung dan pemilihan jawatankuasa kali ke-31 baru-baru ini.

Dalam perkembangan sastera terutama genre puisi kebangsaan, Mahaya dapat dianggap sebaris dengan ikon-ikon kepenyairan nasional seperti Zurinah Hassan, A. Ghaffar Ibrahim, Rahman Shaari, Lim Swee Tin dan Siti Zaleha Hashim.

Selain itu, beliau juga turut berpengalaman luas dalam pentadbiran serta pengurusan persatuan sastera khususnya Pen.

Bagaimanapun, berlaku rombakan besar dalam jawatankuasa bagi sesi 2008/2009 apabila beberapa ‘muka baru’ dipilih menduduki pimpinan utama persatuan.

Pada masa yang sama, terdapat ahli jawatankuasa yang digugurkan. Ia bertujuan memastikan pentadbiran persatuan yang lebih efektif dalam semua aspek.

Sementara itu, Ketua Dua disandang oleh Razali Abdul Ghani yang sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa manakala pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Ani Omar terpilih sebagai Setiausaha Satu.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh penulis dan peguam sharie, Nisah Haron. Beliau dalam pimpinan persatuan sesi 2008/2009 dipilih sebagai ahli jawatankuasa kerja.

Setiausaha Dua pada sesi baru tersebut dipegang oleh Datin Maznah Yusof manakala jawatan Bendahari disandang oleh Kalsom Azid.

Senarai ahli jawatankuasa lain bagi sesi 2008/2009 ialah Mahdi Abdul Wahab, Zulkifli Abu, Zaharul Ariffin Md. Zin, Amiza Khusyri Yusof, Ida Munira Abu Bakar dan Affendi Alwi.

Mesyuarat Agung Pen ke-31 ini juga telah memberi mandat kepada jawatankuasa yang baru dipilih supaya melantik 2 orang jawatankuasa kerja. Penerima jawatan tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Perasmian Mesyuarat Agung Pen kali ke-31 tersebut dirasmikan oleh Senator Datuk Samsiah Samsudin.

Bicara Karya PEN & Mesyuarat Agung PEN dalam Akhbar

BERTUKAR PANDANGAN: Dari kiri Dr Anwar, Amiza Khuysri (Pengerusi), Nor Azah dan Dr Ani pada Bicara Karya Persatuan Penulis Negeri Sembilan.


Pada 10 Januari 2008 Berita Harian & Utusan Malaysia telah menyiarkan laporan Bicara Karya dan Mesyuarat Agung PEN.

Berikut dipetik dari akhbar Berita Harian :

Pengalaman pengarang mampu hidupkan cerita

PENGALAMAN pengarang yang digabungkan dengan kreativiti dalam sesebuah karya kreatif mampu memberi nilai tambah diperincikan pada Bicara Karya Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) di Kolej Mara Seremban, baru-baru ini,

Lebih 200 khalayak majlis anjuran Pen bersempena Mesyuarat Agung Pen ke-31 itu dibawa meninjau kebenaran aspek terbabit dengan meneliti empat teks karya penulis kelahiran Negeri Sembilan.

Mantan Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan yang membicarakan Kumpulan Cerpen Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (CSRO) karya Nisah Haron menyifatkan naskhah pengarang itu mempamerkan unsur ketaksaan dan menguji minda khalayak.

“Kebanyakan cerpen dalam CSRO membiaskan pengalaman Nisah berkaitan warisan budaya, pendidikan dan kerjayanya dalam dunia perundangan, tetapi binaan naratifnya dijaga sebaik mungkin bagi mencerap emosi khalayak,” katanya ketika membincangkan "Menatar Binaan Naratif Gaya Nisah."

Nisah juga dikatakan tidak teragak-agak menawarkan kesan estetika dan intelektual kepada pembaca cerpennya, tetapi dua nilai berkenaan tidak akan diperoleh dengan cara mudah kecuali khalayak sanggup mengupas maksud tersirat di sebalik karya.

Dr Anwar mengambil cerpen Resipi Dari Istana yang mengisahkan tukang masak mewakili istana maharaja dalam satu pertandingan memasak yang menjadi metafora dan simbol kejengkelan Nisah terhadap organisasi tertentu, tetapi diolah secara berhemah oleh pengarang wanita itu.

“Nisah cenderung menggarap cerita yang tidak menerbitkan maksud selapis. Pembaca perlu peka terhadap sumber cerita kerana Nisah tekun menukar sesuatu cerita kepada komposisi yang menjelmakan citra baru,” katanya pada majlis yang dipengerusikan Amiza Kusyri Yusof.

Baginya, Nisah menggarap cerita daripada hipoteks yang dibumbui sumber cerita langsung hingga mewujudkan hiperteks, selain memberi gambaran adanya hubungan antara teks, cerita dalam cerita dan dialog antara cerita.

Editor Kanan Utusan Publication & Distributors, Nor Azah Abdul Aziz, senada dengan Dr Anwar apabila mengakui pengalaman pengarang yang diterap dalam karya akan lebih memberi kesan emosi ketika memperkatakan novel remaja Beraraklah Awan Pilu (BAP) karya Abdul Latip Talib.

“Banyak naratif wajar dan positif dalam karya Abdul Latip ketika menampilkan Shafiq yang berkunjung ke Brunei Darussalam dalam usahanya mencari bapanya dan kecekalan remaja terbabit sesuai dengan jalan cerita,” katanya ketika memperincikan "Mengakrabi Watak Remaja Unggul Dalam Novel Beraraklah Awan Pilu: Berkongsi Pengalaman Editorial."

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (FBMKUPM), Prof Madya Dr Arbak Othman, pula mengesan unsur peribadi yang sarat dalam Antologi Puisi Maya karya Allahyarham Salim Taib atau Agus Salim.

“Puisi Agus Salim padu dengan mesej dan kebanyakannya adalah kenangan yang tepu romantis dan bukan catatan pengalaman. Puisi yang diangkat menjadi judul buku, Maya misalnya, seolah-olah mendefinisi peristiwa khusus dalam kehidupan penulis,” katanya ketika membicarakan "Puisi Sebagai Pelafaz Idea dan Perasaan: Kajian Kandungan Dalam Antologi Maya Karya Agus Salim."

Dr Arbak menegaskan puisi adalah idea yang mengemukakan pengalaman sosial pengarang dalam segala aspek kehidupan, baik bersifat peribadi mahupun kemasyarakatan dan Agus Salim nyata peka memanfaatkan jalur peribadi ke dalam karyanya.

Tidak ketinggalan, puisi penyair itu turut mempamerkan usahanya menerapkan nilai moral, seakan-akan mahu mewariskan kepada generasi muda mengenai nilai baik yang mesti diamalkan dalam kehidupan, berselari dengan kebenaran Ilahi seperti terpancar dalam Kebenaran.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ani Omar yang mengupas Kumpulan Puisi Kanak-kanak, Jasa Ibu (JI) karya Zainal Abdul Kadir dari sudut Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (Luhur, Lahir, Logik dan Lateral).

“Puisi Zainal sarat kata nasihat agar kanak-kanak menghormati ibu bapa, guru, rakan dan taulan. Mereka diingatkan pentingnya sifat terpuji dan bertanggungjawab manakala ibu bapa diingatkan mendorong anak mereka menjadi insan kamil,” katanya.

Dr Ani turut mengkategorikan Keluarga Bahagia, Sekuntum Bunga Raya, Alangkah Beruntung, Emak Masak Nasi, Komputer, Jasa Guru dan Cita-cita membuktikan dunia kepenyairan berupaya menjadi pemangkin dalam membentuk disiplin dan jati diri insan bermula dari tahap kanak-kanak.

Mesyuarat Agung Tahunan Pen menyaksikan Ketua Satu Pen kekal disandang Mahaya Mohd Yassin manakala Ketua Dua ‘dirampas’ Radzali Abdul Ghani daripada penyandang sebelumnya, Zulkifli Abu dan Dr Ani dipilih sebagai Setiausaha Satu, menggantikan Nisah. Setiausaha Dua dan Bendahari disandang Datin Maznah Yusof dan Kalsom Azid.

Sunday, January 06, 2008

Senarai Ahli Jawatankuasa PEN 2008-2009


Berdasarkan keputusan Mesyuarat Agung PEN ke-31 yang berlangsung pada hari ini, berikut adalah barisan kepimpinan baharu :

Ketua Satu : Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin
Ketua Dua : Encik Radzali Abd. Ghani
Setiausaha Satu : Dr. Ani Omar
Setiausaha Dua : Datin Maznah Yusof
Bendahari : Puan Kalson Azid

AJK :
  1. Dr. Haji Mahdi Abdul Wahab
  2. Tuan Haji Zulkifli Abu
  3. Puan Nisah Haji Haron
  4. Encik Zaharul Ariffin Md Zin
  5. Encik Amiza Khusyri Yusof
  6. Puan Ida Munira Abu Bakar
  7. Encik Affendi Alwi
Pemeriksa kira-kira:
  1. Encik Amin Khan
  2. Hajah Zaleha Mahdi
Mesyuarat Agung PEN ke-31 ini juga telah memberi mandat kepada jawatankuasa yang baru dipilih supaya melantik 2 orang jawatankuasa kerja. Penerima jawatan tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Gambar-gambar lain, boleh dilihat di laman : www.nisahharon.fotopages.com