Thursday, January 10, 2008

Mesyuarat Agung PEN ke-31 - Laporan Utusan Malaysia

Utusan Malaysia melaporkan keputusan Mesyuarat Agung PEN - 31 :

Mahaya kekal terajui Pen

KETUA Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) sesi 2006/2007, Mahaya Mohd. Yassin kembali diberi kepercayaan untuk terus menerajui persatuan tersebut bagi sesi 2008/2009.

Beliau yang juga merupakan penulis dan penyair terkenal di peringkat nasional diberi kepercayaan penuh oleh ahli Pen dalam mesyuarat agung dan pemilihan jawatankuasa kali ke-31 baru-baru ini.

Dalam perkembangan sastera terutama genre puisi kebangsaan, Mahaya dapat dianggap sebaris dengan ikon-ikon kepenyairan nasional seperti Zurinah Hassan, A. Ghaffar Ibrahim, Rahman Shaari, Lim Swee Tin dan Siti Zaleha Hashim.

Selain itu, beliau juga turut berpengalaman luas dalam pentadbiran serta pengurusan persatuan sastera khususnya Pen.

Bagaimanapun, berlaku rombakan besar dalam jawatankuasa bagi sesi 2008/2009 apabila beberapa ‘muka baru’ dipilih menduduki pimpinan utama persatuan.

Pada masa yang sama, terdapat ahli jawatankuasa yang digugurkan. Ia bertujuan memastikan pentadbiran persatuan yang lebih efektif dalam semua aspek.

Sementara itu, Ketua Dua disandang oleh Razali Abdul Ghani yang sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa manakala pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Ani Omar terpilih sebagai Setiausaha Satu.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh penulis dan peguam sharie, Nisah Haron. Beliau dalam pimpinan persatuan sesi 2008/2009 dipilih sebagai ahli jawatankuasa kerja.

Setiausaha Dua pada sesi baru tersebut dipegang oleh Datin Maznah Yusof manakala jawatan Bendahari disandang oleh Kalsom Azid.

Senarai ahli jawatankuasa lain bagi sesi 2008/2009 ialah Mahdi Abdul Wahab, Zulkifli Abu, Zaharul Ariffin Md. Zin, Amiza Khusyri Yusof, Ida Munira Abu Bakar dan Affendi Alwi.

Mesyuarat Agung Pen ke-31 ini juga telah memberi mandat kepada jawatankuasa yang baru dipilih supaya melantik 2 orang jawatankuasa kerja. Penerima jawatan tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Perasmian Mesyuarat Agung Pen kali ke-31 tersebut dirasmikan oleh Senator Datuk Samsiah Samsudin.

1 comment:

Mujahidah SMNS said...

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Tahniah buat Cikgu Mahaya.

semoga PEN terus maju dengan jayanya.

salam juang buat saf PEN yang baru.

barakallah.