Sunday, February 17, 2013


Pertama, kita lafazkan alhamdulillah,
Majlis kita diperkenankan Allah,
Semoga semua memanfaatkan wadah,
Kegiatan kita biarlah sebagai ibadah.

Bicara Karya perbincangan murni,
Veteran dan muda saling berkongsi,
Bahasa dan sastera wangian nubari,
Menyemarak bakat dan jati diri.

Mesyuarat  Agung ke-36 pula,
Diserikan Majlis Bersama-sama GAPENA,
Pertemuan dari mata turun ke sukma,
Insya-Allah, mantap dan kental institusi kita.

Aduhai hadirin yang memeriahkan acara,
Tetamu, penulis, pendidik & ahli semua,
Sekalung tahniah dan terima kasih jua,
Budi terpahat berabad lama.

Kepada pembicara yang bijak bestari,
Terima kasih daun keladi,
Pencerahan berkualiti amat dihargai,
Meningkatkan ilmu dan kemahiran kami.

Tuan Pengarah dan para sahabat di Raja Melewar,
Budi kalian semerbak mekar,
Membantu PEN ‘tika senang dan sukar,
Semoga jalinan mesra dan tekal.

Media & AJK PEN tidak dilupakan,
Budi disemai segunung intan,
Kerjasama erat semoga berkekalan,
Kita membina generasi jempolan.

Sekilas Bicara berundur diri,
Mohon maaf atas kekurangan kami,
Yang baik sebar-sebarkanlah nanti,
Yang kurang tinggalkanlah di sini.

Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik walhidayah
Assalamualaikum warahmatullah.

MAHAYA MOHD.YASSIN 
Ketua Satu
(Mesyuarat Agung PEN ke-36. 17 Feb.2013, di IPRM)

No comments: