Wednesday, January 20, 2010

Dr. Anuar Nor Arai meninggal dunia


Anuar Nor Arai (1943 - 2010)

Dr Anuar Nor Arai telah meninggal dunia pada hari Rabu, 20 Jan 2010 di Subang Jaya Medical Centre. Almarhum bersara sebagai pensyarah filem Universiti Malaya pada 1997 dan sebelum meninggal dunia, almarhum merupakan Timbalan Rektor di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus telah menganugerahkan gelaran Tokoh Drama kepada almarhum menerusi Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005.

Nama sebenarnya, Anuar bin Mohd Nor, telah dilahirkan pada 6 Ogos 1943. Banyak menulis cerpen dan kritikan serta skrip drama pentas televisyen filem dan kritikan yang turut tersiar di dalam surat khabar mingguan dan Dewan Sastera.

Antara karya terkenalnya ialah Johnny Bikin Filem dan Ronggeng Rokiah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas almarhum. Al-fatihah.

Kredit gambar : Nisah Haron
Lokasi : Majlis Dialog Sasterawan Negeri Sembilan 1, IPG Kampus Raja Melewar, Seremban.

Sunday, January 17, 2010

Amanat Ketua Satu




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Saudara Pengerusi Majlis, YBhg Tuan Haji Hamzah Hamdani, Bendahari GAPENA,
Dato’-Dato’, Datin-Datin,ahli2, ajk dan hadirin yang budiman.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi,
Dapat bersama-sama melaksanakan Mesyuarat Agung PEN ke-33 ini,
Terima kasih kepada semua yang sempat dan sudi,
Menyuntik semangat, berkorban sambil berbakti.

Alhamdulillah, 2009 (sambutan 40 tahun PEN) berlalulah sudah,
Kejayaan-kejayaan nan ditempa amat menyerlah,
Peringkat negeri dan kebangsaan terbuktilah sudah,
Hasil muafakat dan iltizam semua yang tak kenal lelah.

Bermula dengan ‘Majlis Bicara Tokoh dan Karya’,
Persembahan penganalisis PEN yang bestari dan muda,
Menyusul ‘Seminar Pengetua’ dek prihatin akan kepentingan Sastera,
Memanfaatkan pentadbir, masyarakat, pendidik dan pelajar.

Yang paling mengesankan, ‘Utusan Sukma: Sepagi Bersastera’,
Utusan, PEN dan JPNS melakar sejarah,
Lebih dua ribu khalayak ceria dan bertuah,
Memugar bahasa & sastera bersama-sama penulis dan Sasterawan Negara.

Dua Bengkel Puisi juga amat berjaya,
Penulis-penulis PEN gigih dan berbakat pula,
Dibimbing oleh tokoh ilmuan dan sastera,
Tergaraplah akhirnya dua buah antologi karya.

Gema Serunai Hati 9: Negeri Sembilan, Negeriku Gemilang
Satu-satunya karya negara yang sempat dilancarkan,
Sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009,
PEN dan Negeri Sembilan berkongsi kegembiraan.

Umbara Sastera 3 dan Bengkel Cerpen pula,
Tak putus-putus dianjurkan untuk ahli yang teruja,
Misi dan visi PEN untuk melahirkan penulis prolifik dan muda,
Seperti Nisah, Latip, Amiza, Salha, Faizal, Ani dan Masliya.

2010 menunggu dengan perancangan berhemah yang rapi,
Februari ‘Seminar Melestarikan Warisan’ projek PEN dan UPSI,
Selain melangsungkan perkongsian bestari,
Menguar-uarkan ketokohan dan keunggulan adat perpatih yang diwarisi.

Usaha memantapkan bahasa dan sastera akan dilipatgandakan,
Dalam kalangan ahli, masyarakat, pelajar dan jabatan,
Seiring mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,
Kuantiti dan kualiti penerbitan PEN terus diutamakan.

Sekali gus, ikhtiar nan tekal diperjuangkan,
Golongan penulis mendapat pengiktirafan,
Anugerah Sastera Negeri hendaknya diteruskan Kerajaan,
Bersama-sama kita membina kecemerlangan insan.

Aduhai, kembara PEN nan lancar dan indah,
Berselirat pula cabaran dan celaan mengguhah,
Namun, berkat kerjasama dan semangat nan tabah,
Hasrat mendidik & memugar bahasa, sastera dan budaya tetap gah.

Tahun ini, ada pemilihan jawatankuasa,
Semoga tampil yang benar-benar berminat dan bertenaga,
Sebenarnya, PEN untuk semua dan sedia menerima teguran membina,
Biarlah kesinambungan objektif PEN dimanfaatkan semua.

Kepada Kerajaan Negeri, DBP, GAPENA, individu, media massa dan institusi,
PEN persembahkan ucapan terima kasih sekalung budi,
Teruskanlah sokongan moral dan material kepada kami,
Memperkasakan tamadun bangsa di negeri tercinta ini.

Kepada Ahli Jawatankuasa yang dianggap saudara,
Segunung intan tidak setara jasa,
Sokongan dan pengorbanan termeterai di sukma,
Semoga ganjaran terbaik disediakan-Nya.

Sampailah sudah ke penghujung bicara,
PEN doakan kalian sejahtera dan dirahmati-Nya,
Ibadah kita berwadahkan iman, pemikiran, nilai murni dan bahasa,
Insya-Allah! Kesemuanya diterima Allah jua.

Hadirin yang dihormati,
Mohon maaf,
jika ada yang tersasar
atau yang tidak disenangi.
Terima kasih.
Wabillahitaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.









Ucapan Puan Hajah Mahaya Mohd. Yassin, Ketua Satu sempena Mesyuarat Agung PEN ke-33. (17 Januari 2010)

Barisan Kepimpinan PEN 2010 - 2011

Gambar : Dari kiri belakang - Puan Radziah, Puan Zalila, Encik Amiza Khusyri, Tuan Hj Abdul Amin, Encik Faizal Said, Puan Syarifah Salha, Puan Norhana.
Dari kiri depan - Dr. Ani Omar, Puan Nisah, Puan Hajah Mahaya, Tuan Haji Hamzah Hamdani (wakil GAPENA), Dr. Mahdi, Datin Sabarriah, Puan Norhazlin

AHLI JAWATANKUASA PEN 2010-2011

Ketua Satu : Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin
Ketua Dua : Dr. Mahdi Abdul Wahab
Setiausaha 1 : Datin Sabarriah Shukur
Setiausaha 2 : Puan Nisah Haron
Bendahari : Puan Norhazlin Yahya

Ahli Jawatankuasa :
  • Dr. Ani Omar
  • Encik Amiza Khusyri Yusof
  • Puan Norhana Bakhary
  • Puan Syarifah Salha Syed Ahmad
  • Puan Zalila Isa
  • Encik Faizal Said
  • Puan Radziah Abdul Samad
Pemeriksa kira-kira :
  • Puan Hajah Siti Zaleha Mahadi
  • Tuan Haji Abdul Amin Mohd. Kassim

Tuesday, January 12, 2010

Ceramah Hak Cipta


Dipetik dari blog Puan Nisah Haron :

Sempena Mesyuarat Agung PEN yang akan berlangsung pada 17 Januari 2010 (Ahad), saya telah diundang untuk menyampaikan ceramah Penulis & Hak Cipta.

Tempat : Asrama D'Ark, Taman Sri Kasih, Senawang.

Atur cara :

8.30 pagi: Pendaftaran

9.00 pagi: Ceramah Penulis dan Hak Cipta oleh Puan Nisah Haron

Walaupun ceramah ini dianjurkan oleh PEN, sesiapa yang berminat boleh hadir ke majlis tersebut. Ini peluang keemasan. Selalunya, saya mengadakan ceramah Hak Cipta yang berbayar. Kali ini tiada yuran dikenakan.

Jika ada sebarang persoalan mengenai hak cipta yang perlu saya perjelaskan, boleh tinggalkan di ruangan komen. Saya akan masukkan ke dalam ceramah itu kelak, insya-Allah.