Monday, September 17, 2007

Bilakah ASNS 2007?


Tarikh 30 Ogos 2007 telah pun berlalu. Alhamdulillah, menurut urus setia ASNS 2007, penyertaan untuk anugerah kali ini lebih memberangsangkan berbanding ASNS 2005. Penyertaan bagi beberapa kategori baru juga amat mengujakan pihak penganjur.

PEN dimaklumkan bahawa panel hakim telah pun bersidang pada 8 - 9 September yang lalu.

Persediaan untuk majlis penyampaian hadiah yang dijadualkan berlangsung pada 14 November 2007 (Rabu) di Allson Klana Resort, Seremban sudah pun bermula.

Keputusan masih rahsia dan hanya akan diumumkan pada malam penyampaian tersebut.

Khabarnya, ada beberapa kategori yang tidak mempunyai pemenang. Pihak PEN menerima keputusan profesional panel hakim. Itu lebih baik daripada memberikan hadiah sekadar untuk mengisi kemenangan.

Ada beberapa kejutan juga. Paling mendebarkan, siapakah yang akan membawa pulang RM10,000 dan menyandang gelaran Penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 oleh Kerajaan Negeri Sembilan ini.

Walau apa pun keputusannya, diharap para peserta khususnya dan masyarakat sastera amnya, akan dapat menerima dengan hati yang terbuka. Paling penting ialah penulis mesti terus berkarya dan hayat pengkaryaan itu mestilah dipertahankan.

Sokongan daripada kerajaan negeri pula wajar diteruskan. Kalau bukan kerajaan negeri sendiri yang menyokong perkembangan positif sastera tempatan, kepada siapa lagi yang boleh kita harapkan.

Insya-Allah, kita semua akan berjumpa pada malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 di Allson Klana Resort, 14 November 2007 (Rabu) jam 8.00 malam.