Wednesday, January 23, 2008

Takwim PEN 2008

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PEN Kali Pertama 2008 telah diadakan pada 23 Januari 2008 di kediaman Ketua Satu. Mesyuarat ini telah meluluskan beberapa aktiviti PEN sepanjang tahun 2008 telah dicadangkan seperti yang berikut:


TARIKH AKTIVITI 2008
Mac - Bengkel Pemantapan Penulisan 2
- Perayaan Za'ba
April Kempen Galakan Membaca dengan kerjasama SMK Seremban 2
Jun Bicara Karya PEN dengan kerjasama DBP & IPRM
Julai Wacana Ilmu: Sepetang Bersama PEN - dengan kerjasama UPSI
Ogos Lawatan Berkarya ke Bukit Tinggi, Indonesia.

Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada acara yang sedang dirancang oleh pihak AJK PEN. Mana-mana ahli yang berminat untuk tampil dan menawarkan aktiviti lain, boleh berhubung terus dengan Ketua Satu ataupun Setiausaha Satu untuk disesuaikan dengan takwim PEN.

Maklumat lanjut akan disiarkan di laman ini dari semasa ke semasa.

Thursday, January 10, 2008

Mesyuarat Agung PEN ke-31 - Laporan Utusan Malaysia

Utusan Malaysia melaporkan keputusan Mesyuarat Agung PEN - 31 :

Mahaya kekal terajui Pen

KETUA Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) sesi 2006/2007, Mahaya Mohd. Yassin kembali diberi kepercayaan untuk terus menerajui persatuan tersebut bagi sesi 2008/2009.

Beliau yang juga merupakan penulis dan penyair terkenal di peringkat nasional diberi kepercayaan penuh oleh ahli Pen dalam mesyuarat agung dan pemilihan jawatankuasa kali ke-31 baru-baru ini.

Dalam perkembangan sastera terutama genre puisi kebangsaan, Mahaya dapat dianggap sebaris dengan ikon-ikon kepenyairan nasional seperti Zurinah Hassan, A. Ghaffar Ibrahim, Rahman Shaari, Lim Swee Tin dan Siti Zaleha Hashim.

Selain itu, beliau juga turut berpengalaman luas dalam pentadbiran serta pengurusan persatuan sastera khususnya Pen.

Bagaimanapun, berlaku rombakan besar dalam jawatankuasa bagi sesi 2008/2009 apabila beberapa ‘muka baru’ dipilih menduduki pimpinan utama persatuan.

Pada masa yang sama, terdapat ahli jawatankuasa yang digugurkan. Ia bertujuan memastikan pentadbiran persatuan yang lebih efektif dalam semua aspek.

Sementara itu, Ketua Dua disandang oleh Razali Abdul Ghani yang sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa manakala pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Ani Omar terpilih sebagai Setiausaha Satu.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh penulis dan peguam sharie, Nisah Haron. Beliau dalam pimpinan persatuan sesi 2008/2009 dipilih sebagai ahli jawatankuasa kerja.

Setiausaha Dua pada sesi baru tersebut dipegang oleh Datin Maznah Yusof manakala jawatan Bendahari disandang oleh Kalsom Azid.

Senarai ahli jawatankuasa lain bagi sesi 2008/2009 ialah Mahdi Abdul Wahab, Zulkifli Abu, Zaharul Ariffin Md. Zin, Amiza Khusyri Yusof, Ida Munira Abu Bakar dan Affendi Alwi.

Mesyuarat Agung Pen ke-31 ini juga telah memberi mandat kepada jawatankuasa yang baru dipilih supaya melantik 2 orang jawatankuasa kerja. Penerima jawatan tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Perasmian Mesyuarat Agung Pen kali ke-31 tersebut dirasmikan oleh Senator Datuk Samsiah Samsudin.

Bicara Karya PEN & Mesyuarat Agung PEN dalam Akhbar

BERTUKAR PANDANGAN: Dari kiri Dr Anwar, Amiza Khuysri (Pengerusi), Nor Azah dan Dr Ani pada Bicara Karya Persatuan Penulis Negeri Sembilan.


Pada 10 Januari 2008 Berita Harian & Utusan Malaysia telah menyiarkan laporan Bicara Karya dan Mesyuarat Agung PEN.

Berikut dipetik dari akhbar Berita Harian :

Pengalaman pengarang mampu hidupkan cerita

PENGALAMAN pengarang yang digabungkan dengan kreativiti dalam sesebuah karya kreatif mampu memberi nilai tambah diperincikan pada Bicara Karya Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) di Kolej Mara Seremban, baru-baru ini,

Lebih 200 khalayak majlis anjuran Pen bersempena Mesyuarat Agung Pen ke-31 itu dibawa meninjau kebenaran aspek terbabit dengan meneliti empat teks karya penulis kelahiran Negeri Sembilan.

Mantan Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan yang membicarakan Kumpulan Cerpen Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (CSRO) karya Nisah Haron menyifatkan naskhah pengarang itu mempamerkan unsur ketaksaan dan menguji minda khalayak.

“Kebanyakan cerpen dalam CSRO membiaskan pengalaman Nisah berkaitan warisan budaya, pendidikan dan kerjayanya dalam dunia perundangan, tetapi binaan naratifnya dijaga sebaik mungkin bagi mencerap emosi khalayak,” katanya ketika membincangkan "Menatar Binaan Naratif Gaya Nisah."

Nisah juga dikatakan tidak teragak-agak menawarkan kesan estetika dan intelektual kepada pembaca cerpennya, tetapi dua nilai berkenaan tidak akan diperoleh dengan cara mudah kecuali khalayak sanggup mengupas maksud tersirat di sebalik karya.

Dr Anwar mengambil cerpen Resipi Dari Istana yang mengisahkan tukang masak mewakili istana maharaja dalam satu pertandingan memasak yang menjadi metafora dan simbol kejengkelan Nisah terhadap organisasi tertentu, tetapi diolah secara berhemah oleh pengarang wanita itu.

“Nisah cenderung menggarap cerita yang tidak menerbitkan maksud selapis. Pembaca perlu peka terhadap sumber cerita kerana Nisah tekun menukar sesuatu cerita kepada komposisi yang menjelmakan citra baru,” katanya pada majlis yang dipengerusikan Amiza Kusyri Yusof.

Baginya, Nisah menggarap cerita daripada hipoteks yang dibumbui sumber cerita langsung hingga mewujudkan hiperteks, selain memberi gambaran adanya hubungan antara teks, cerita dalam cerita dan dialog antara cerita.

Editor Kanan Utusan Publication & Distributors, Nor Azah Abdul Aziz, senada dengan Dr Anwar apabila mengakui pengalaman pengarang yang diterap dalam karya akan lebih memberi kesan emosi ketika memperkatakan novel remaja Beraraklah Awan Pilu (BAP) karya Abdul Latip Talib.

“Banyak naratif wajar dan positif dalam karya Abdul Latip ketika menampilkan Shafiq yang berkunjung ke Brunei Darussalam dalam usahanya mencari bapanya dan kecekalan remaja terbabit sesuai dengan jalan cerita,” katanya ketika memperincikan "Mengakrabi Watak Remaja Unggul Dalam Novel Beraraklah Awan Pilu: Berkongsi Pengalaman Editorial."

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (FBMKUPM), Prof Madya Dr Arbak Othman, pula mengesan unsur peribadi yang sarat dalam Antologi Puisi Maya karya Allahyarham Salim Taib atau Agus Salim.

“Puisi Agus Salim padu dengan mesej dan kebanyakannya adalah kenangan yang tepu romantis dan bukan catatan pengalaman. Puisi yang diangkat menjadi judul buku, Maya misalnya, seolah-olah mendefinisi peristiwa khusus dalam kehidupan penulis,” katanya ketika membicarakan "Puisi Sebagai Pelafaz Idea dan Perasaan: Kajian Kandungan Dalam Antologi Maya Karya Agus Salim."

Dr Arbak menegaskan puisi adalah idea yang mengemukakan pengalaman sosial pengarang dalam segala aspek kehidupan, baik bersifat peribadi mahupun kemasyarakatan dan Agus Salim nyata peka memanfaatkan jalur peribadi ke dalam karyanya.

Tidak ketinggalan, puisi penyair itu turut mempamerkan usahanya menerapkan nilai moral, seakan-akan mahu mewariskan kepada generasi muda mengenai nilai baik yang mesti diamalkan dalam kehidupan, berselari dengan kebenaran Ilahi seperti terpancar dalam Kebenaran.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ani Omar yang mengupas Kumpulan Puisi Kanak-kanak, Jasa Ibu (JI) karya Zainal Abdul Kadir dari sudut Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (Luhur, Lahir, Logik dan Lateral).

“Puisi Zainal sarat kata nasihat agar kanak-kanak menghormati ibu bapa, guru, rakan dan taulan. Mereka diingatkan pentingnya sifat terpuji dan bertanggungjawab manakala ibu bapa diingatkan mendorong anak mereka menjadi insan kamil,” katanya.

Dr Ani turut mengkategorikan Keluarga Bahagia, Sekuntum Bunga Raya, Alangkah Beruntung, Emak Masak Nasi, Komputer, Jasa Guru dan Cita-cita membuktikan dunia kepenyairan berupaya menjadi pemangkin dalam membentuk disiplin dan jati diri insan bermula dari tahap kanak-kanak.

Mesyuarat Agung Tahunan Pen menyaksikan Ketua Satu Pen kekal disandang Mahaya Mohd Yassin manakala Ketua Dua ‘dirampas’ Radzali Abdul Ghani daripada penyandang sebelumnya, Zulkifli Abu dan Dr Ani dipilih sebagai Setiausaha Satu, menggantikan Nisah. Setiausaha Dua dan Bendahari disandang Datin Maznah Yusof dan Kalsom Azid.

Sunday, January 06, 2008

Senarai Ahli Jawatankuasa PEN 2008-2009


Berdasarkan keputusan Mesyuarat Agung PEN ke-31 yang berlangsung pada hari ini, berikut adalah barisan kepimpinan baharu :

Ketua Satu : Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin
Ketua Dua : Encik Radzali Abd. Ghani
Setiausaha Satu : Dr. Ani Omar
Setiausaha Dua : Datin Maznah Yusof
Bendahari : Puan Kalson Azid

AJK :
  1. Dr. Haji Mahdi Abdul Wahab
  2. Tuan Haji Zulkifli Abu
  3. Puan Nisah Haji Haron
  4. Encik Zaharul Ariffin Md Zin
  5. Encik Amiza Khusyri Yusof
  6. Puan Ida Munira Abu Bakar
  7. Encik Affendi Alwi
Pemeriksa kira-kira:
  1. Encik Amin Khan
  2. Hajah Zaleha Mahdi
Mesyuarat Agung PEN ke-31 ini juga telah memberi mandat kepada jawatankuasa yang baru dipilih supaya melantik 2 orang jawatankuasa kerja. Penerima jawatan tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Gambar-gambar lain, boleh dilihat di laman : www.nisahharon.fotopages.com

Friday, December 21, 2007

Bicara Karya PEN

Sempena Mesyuarat Agung PEN ke - 31, Bicara Karya PEN akan diadakan seperti butiran yang berikut :

Tarikh : 6 Januari 2008 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Dewan Kuliah A, Kolej MARA Seremban (berhadapan Allson Klana Resort, Seremban)

Karya & Panel Pembicara :


a) Kumpulan Cerpen Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (Nisah Haji Haron)
Panel : Dato' Dr. Anwar Ridhwan (mantan Pengarah Penerbitan DBP)



b) Kumpulan Puisi Maya (Agus Salim)
Panel : Prof. Madya Dr. Haji Arbak Othman (UPM)



c) Novel Beraraklah Awan Pilu (Abdul Latip Talib)
Panel : Puan Nor Azah Abdul Aziz (Utusan Publication)


d) Kumpulan puisi kanak-kanak Jasa Ibu (Zainal Abdul Kadir)
Panel : Dr. Ani Omar (UPSI)

Pencinta sastera dipersilakan hadir.
Jamuan disediakan.

Sila maklumkan kehadiran anda kepada nisah.haron@gmail.com

Mesyuarat Agung PEN ke-31

Semua ahli PEN diundang ke Mesyuarat Agung PEN ke-31.

Tahun ini ialah tahun pemilihan AJK PEN bagi tahun 2008 - 2010.

Tarikh : 6 Januari 2008 (Ahad)
Masa : 8.00 pagi - 11.00 pagi
Tempat : Dewan Kuliah A, Kolej MARA Seremban (berhadapan dengan Allson Klana Resort, Seremban)

Turut diadakan Diskusi Karya PEN sempena mesyuarat agung ini.

Thursday, November 22, 2007

Buku-buku Terbaharu

Buku-buku berikut, tulisan pengkarya Negeri Sembilan telah dilancarkan pada malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 oleh YAB Menteri Besar NS.



Tuesday, November 20, 2007

Gambar-gambar sekitar ASNS 2007




Gambar : YAB Menteri Besar merasmikan buku Biografi Agus Salim : Dia Penggerak Sastera Yang Setia sambil diperhatikan oleh Puan Mahaya Mohd Yassin (Ketua Satu) yang juga balu Allahyarham Agus Salim



Gambar : YAB Menteri Besar menyampaikan hadiah kepada Puan Siti Jasmina Ibrahim, penerima ASNS 2007 kategori Novel Remaja (6:20)


Gambar : Antara warga kerja PEN - Dari Kiri: Puan Mahaya, Encik Zaharul, Puan Siti Jasmina & Datin Sabarriah


Gambar-gambar lain boleh diperolehi dari laman-laman berikut :


Thursday, November 15, 2007

Keputusan Penuh ASNS 2007

ANUGERAH SASTERA NEGERI SEMBILAN (RM10,000)
Abdul Latiff Mohidin

HADIAH PENGGERAK SASTERA NEGERI (RM3,000)
Ismail Abdul Hadi (Allahyarham)

* * *

HADIAH SASTERA NEGERI (RM2,000)
Kategori Tokoh

Tokoh Novel
Harun Hj Salleh (Allahyarham)

Tokoh Cerpen
Dr. Mohd Nor bin Abdul Ghani (Norzah)

Tokoh Puisi
Mahaya Mohd Yassin

Tokoh Esei
Dato' Dr. Abdul Rahman Kaeh

Tokoh Drama
Abdul Rahman Sidek (Allahyarham Wagiman NS)

Tokoh Karya Remaja
Abdul Latip Talib

* * *

HADIAH SASTERA NEGERI
Kategori Karya (Buku) (RM800)


Novel Remaja
Siti Jasmina Ibrahim
6:20
(Utusan Publications)


Novel Kanak-kanak
Nisah Haji Haron
Farris Putera Yang Hilang
(MEP Education Consult)


Kumpulan Cerpen Dewasa
Nisah Haji Haron
Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus
(Ujana Ilmu Enterprise)

Kumpulan Puisi
Agus Salim
Maya
(DBP)

Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
Nalida
Ibu, Kupohon Restumu
(DBP)

Kategori buku berikut tiada pemenang :

Novel Dewasa
Kumpulan Cerpen Remaja
Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
Kumpulan Puisi Remja
Kumpulan Puisi Kanak-kanak
Kumpulan Puisi Tradisional
Kumpulan Drama Radio
Kumpulan Drama Televisyen
Kumpulan Esei/Kritikan/Pembangunan


HADIAH SASTERA NEGERI
Kategori Karya (Eceran) (RM500)

Cerpen :

Amiza Khusyri Yusof
a) Ibtisam Syawal
(Berita Minggu, 5 November 2006)

b) Salehuddin 21
(Dewan Siswa, September 2005)

Nisah Haji Haron
a) Pusaka Cendana
(Mingguan Malaysia, 21 Mei 2006)

b) Saksi Delima Sakti
(Dewan Sastera, Oktober 2005)

Syarifah Salha Syed Ahmad
a) Debat Evolusi
(Akhbar Mahasiswa, September 2005)

b) Suratan Ramadhan
(Berita Minggu, 30 Oktober 2005)

* * *

Puisi :

Huzaifah Zulfakar
a) Ini Suara Wanita
(Dewan Sastera, Februari 2006)

b) Jika Benar Engkau Harus Melangkah
(Dewan Sastera, Disember 2006)

Zawawi Jahya
Kembali Menginsafi Diri
(Pendidik, Bil.15, 2005)

Rahimi NS
Rumah Bangsa
(Antologi Jamung Merdeka, 2005)

Nor Aziah Abdul Aziz Fadzilah
Siapakah Mampu
(Resam, 2006)

Mahaya Mohd Yassin
Mengutip Manik Waktu Yang Tersisa
(Dewan Sastera, November 2005)

* * *


Esei :

Dr. Rosnah Baharuddin
a) Feminisme Ala Salina Ibrahim Dalam Untukmu Hana
(Dewan Sastera, Februari 2006)

b) Novel Mutakhir Malaysia : Pengarang dan Karya
(Sastera Nusantara: Warisan dan Harapan, YWJ, 2006)

Dr. Mohd Rosli Saludin
Kajian Teromba Kepimpinan dan Perlanjutan Tradisi Dalam Sistem Adat Perpatih
(Pandangan Semesta Melayu : Pantun, DBP 2006)

Hajah Zalila Sharif
a) Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional - Suatu Rekonstruksi : Cabaran Kepada Pengkaji
(Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera, DBP, 2006)

b) Unsur Mitos dan Legenda Dalam Sejarah Melayu : Antara Tradisi India dengan Islam
(Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera, DBP, 2006)

Nisah Haji Haron
Tunggu Teduh Dulu : Citra Dakwah Islamiah Terkini
(Pemikir, Oktober - Disember 2005)

Drama :
-tiada pemenang-

Karya Kanak-kanak
-tiada pemenang-

Karya Remaja
-tiada pemenang-



Friday, November 09, 2007

Buku-buku Terbaharu PEN

Tidak kurang daripada 20 buah buku baharu hasil pena karyawan Negeri Sembilan akan dilancarkan pada 14 November ini sempena Malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan Darul Khusus.

Turut dilancarkan 2 buah buku berikut :

Antologi Puisi Karyawan Muda Darul Khusus "Epal Merah" yang menghimpunkan 10 orang penyair muda dengan 35 buah sajak. Mereka terdiri daripada :-
  • Shazmee Rizal
  • Ida Munira
  • Nisah Haji Haron
  • Firdhaus Hassan
  • Syarifah Salha Syed Ahmad
  • Sammaituha Najwa
  • Norsuriana Abd Razak
  • Asyraff Hafdzan Abdullah
  • Masliza Alias
  • Huzaifah Zulfakar

Antologi Cerpen Karyawan Muda Darul Khusus "Sebelum Bintang Berjatuhan" pula menghimpunkan 11 buah cerpen karya 11 orang pengarang muda yang amat berwibawa. Mereka terdiri daripada : -
  • Ahmad Patria Abdullah
  • Nisah Haji Haron
  • Amiza Khusyri Yusof
  • Syarifah Salha Syed Ahmad
  • Sammaituha Najwa
  • Anizah Abu Samah
  • Syazmee Rizal
  • Ida Munira Abu Bakar
  • Siti Jasmina Ibrahim
  • Asyraff Hafzan Abdullah
  • Nazri Alias

Kedua-dua buku terbitan PEN ini ada dijual pada malam tersebut ataupun dari laman www.ujanailmu.com.my selepas majlis tersebut.

Saturday, November 03, 2007

Siapa penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan?

PADA malam 14 November ini akan berlangsung majlis penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sembilan (NS) 2007 yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hassan.

Pada majlis tersebut juga akan terjawab siapa para pemenang yang meraih hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000 pada program Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jawatankuasa Gerakan Membaca, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).

Selain itu, pada majlis tersebut juga akan menyaksikan penganugerahan kepada penerima Anugerah Sastera NS yang akan membawa pulang wang tunai RM10,000, sepersalinan pakaian, cenderamata dan sijil.

Ia dianugerahkan kepada tokoh yang banyak menghasilkan karya kreatif dan nonkreatif yang bermutu serta turut merangsang pertumbuhan dan pendidikan sastera secara berterusan.

Sesungguhnya negeri itu tidak pernah kekurangan penulis malah sentiasa melahirkan karyawan yang membina nama dalam peta kesusasteraan tanah air.

Penyair Abdul Latiff Mohidin, Dharmawijaya, Rahimi NS, Agus Salim dan Mahaya Mohd Yassin telah lama mewarnai dunia puisi di Malaysia.

Begitu juga pengarang prolifik Abdul Latip Talib, misalnya, terus cemerlang menghasilkan tidak kurang daripada tujuh buah novel tahun ini.

Begitu juga dengan barisan pelapis yang semakin kukuh membina nama seperti Siti Jasmina Ibrahim, Nisah Haron, Amiza Khusyri Yusof, Ahmad Zafran Abdul Mutalib dan Syarifah Salha Syed Ahmad.

Walaupun nilai hadiah bagi setiap kategori dikekalkan, tahun ini Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan selaku penganjur majlis Anugerah Sastera NS telah menawarkan beberapa kategori baharu untuk dipertandingkan.

Ini diharapkan dapat menggalakkan penghasilkan karya-karya baharu pelbagai genre sama ada dalam bentuk buku ataupun karya eceran. Setiap penyertaan pada tahun 2007 dinilai berdasarkan karya-karya yang diterbitkan pada tahun 2005-2006 sahaja.

Ekoran daripada majlis Anugerah Sastera NS 2005, pihak penganjur telah menerima lebih banyak penyertaan pada tahun ini, sekaligus memberikan petanda positif terhadap perkembangan kesusasteraan di negeri ini.

Sementara itu, Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera Negeri (RM3,000) pula adalah untuk tokoh atau institusi yang memberikan sumbangan cemerlang dalam menggerakkan sastera di negeri ini secara berterusan.

Bagi kategori tokoh penulis pula, terdapat enam kategori iaitu tokoh novel, tokoh cerpen, tokoh puisi, tokoh esei, tokoh drama dan tokoh karya remaja, yang masing-masing akan menerima RM2,000.

Untuk Hadiah Sastera Negeri kategori eceran (RM500 setiap satu), panel hakim akan memilih cerpen, puisi, drama dan esei sebanyak enam buah setiap satu sementara tiga karya kanak-kanak dan tiga karya remaja turut dipertandingkan dalam kategori ini.

Kategori buku menawarkan RM800 setiap satu dan dibahagikan kepada 14 kategori iaitu novel dewasa, novel remaja, novel kanak-kanak, kumpulan cerpen dewasa, kumpulan cerpen remaja, kumpulan cerpen kanak-kanak, kumpulan puisi dan kumpulan puisi remaja.

Dalam pada itu, kategori lain ialah kumpulan puisi kanak-kanak, kumpulan puisi tradisional, kumpulan drama radio, kumpulan drama televisyen, kumpulan esei/kritikan/pembangunan.

Pada tahun 2005, Allahyarham Dharmawijaya merupakan penerima Anugerah Sastera NS dan Allahyarham Salim Taib (Agus Salim), mantan Ketua Satu PEN menerima Hadiah Penggiat Sastera Negeri.


Sumber : Utusan Malaysia, 1 November 2007

Monday, September 17, 2007

Bilakah ASNS 2007?


Tarikh 30 Ogos 2007 telah pun berlalu. Alhamdulillah, menurut urus setia ASNS 2007, penyertaan untuk anugerah kali ini lebih memberangsangkan berbanding ASNS 2005. Penyertaan bagi beberapa kategori baru juga amat mengujakan pihak penganjur.

PEN dimaklumkan bahawa panel hakim telah pun bersidang pada 8 - 9 September yang lalu.

Persediaan untuk majlis penyampaian hadiah yang dijadualkan berlangsung pada 14 November 2007 (Rabu) di Allson Klana Resort, Seremban sudah pun bermula.

Keputusan masih rahsia dan hanya akan diumumkan pada malam penyampaian tersebut.

Khabarnya, ada beberapa kategori yang tidak mempunyai pemenang. Pihak PEN menerima keputusan profesional panel hakim. Itu lebih baik daripada memberikan hadiah sekadar untuk mengisi kemenangan.

Ada beberapa kejutan juga. Paling mendebarkan, siapakah yang akan membawa pulang RM10,000 dan menyandang gelaran Penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 oleh Kerajaan Negeri Sembilan ini.

Walau apa pun keputusannya, diharap para peserta khususnya dan masyarakat sastera amnya, akan dapat menerima dengan hati yang terbuka. Paling penting ialah penulis mesti terus berkarya dan hayat pengkaryaan itu mestilah dipertahankan.

Sokongan daripada kerajaan negeri pula wajar diteruskan. Kalau bukan kerajaan negeri sendiri yang menyokong perkembangan positif sastera tempatan, kepada siapa lagi yang boleh kita harapkan.

Insya-Allah, kita semua akan berjumpa pada malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 di Allson Klana Resort, 14 November 2007 (Rabu) jam 8.00 malam.

Thursday, August 30, 2007

Borang Penyertaan ASNS 2007

Dapatkan borang penyertaan ASNS di :

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan
Wisma UMNO, Jalan Dato' Sheikh Ahmad,
70000 Seremban
Tel : 06-762 1308 (Puan Shikin)

atau

Persatuan Penulis Negeri Sembilan
No. 59, Lorong Cenderawasih 2
Taman Paroi Jaya, 70400 Seremban
Tel : 06-6778 359 (Puan Mahaya)

Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 (ASNS 2007)

ASNS 2007 kembali!

Pengenalan :

ASNS 2007 dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jawatankuasa Gerakan Membaca Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).

ASNS 2007 merupakan kesinambungan daripada Anugerah Sastera Negeri Sembilan yang pertama (2005) dan sebelum itu Anugerah Penulis Remaja Negeri Sembilan pada tahun 2004.


Anugerah ini menawarkan empat kategori iaitu :

1. Anugerah Sastera Negeri Sembilan

RM10,000 berserta sepersalinan pakaian, sijil dan cenderamata

2. Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera Negeri
RM3,000 berserta buku dan sijil

3. Hadiah Sastera Negeri - Kategori Tokoh
RM2,000 setiap satu berserta sijil

3.1 Novel
3.2 Cerpen
3.3 Puisi
3.4 Esei
3.5 Drama
3.6 Karya kanak-kanak/remaja

4. Hadiah Sastera Negeri - Kategori Karya (Eceran)
RM500 setiap satu berserta sijil

4.1 Cerpen (6 hadiah)
4.2 Puisi (6 hadiah)
4.3 Drama (6 hadiah)
4.4 Esei (6 hadiah)
4.5 Karya kanak-kanak (3 hadiah)
4.6 karya remaja (3 hadiah)

5. Hadiah Sastera Negeri - Kategori Karya (Buku)
RM800 setiap satu berserta sijil

5.1 Novel Dewasa
5.2 Novel Remaja
5.3 Novel Kanak-kanak
5.4 Kumpulan Cerpen Dewasa
5.5 Kumpulan Cerpen Remaja
5.6 Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
5.7 Kumpulan Puisi Dewasa
5.8 Kumpulan Puisi Remaja
5.9 Kumpulan Puisi Kanak-kanak
5.10 Kumpulan Puisi Tradisional
5.11 Kumpulan Drama Radio
5.12 Kumpulan Drama Televisyen
5.13 Kumpulan Esei/Kritikan/Pembangunan


KRITERIA
  • ASNS menilai karya sastera tradisional dan moden yang berbentuk kreatif atau nonkreatif iaitu novel, cerpen, puisi, drama, esei sastera, kritikan dan esei umum dalam bidang-bidang lain seperti agama, budaya dan pendidikan.

  • Karya yang dinilai mestilah yang telah terbit dalam bentuk buku dan eceran yang tersiar dalam akhbar, majalah, jurnal dan yang dipentaskan atau disiarkan (untuk skrip drama) mulai tahun 2005 hingga 2006 (2 tahun).

  • Karya-karya tersebut tidak pernah dikemukakan untuk penilaian Anugerah Sastera Negeri Sembilan pada tahun 2005.

  • Karya-karya tersebut hendaklah berbahasa Melayu dan asli oleh :

    • warganegara Malaysia rakyat Negeri Sembilan yang berkarya di Negeri Sembilan, Malaysia atau di luar negara, atau

    • warganegara Malaysia yang bermastautin di Negeri Sembilan sekurang-kurangnya lima (5) tahun semasa karya dipilih dan dinilai, atau

    • warganegara malaysia yang ibu bapanya dilahirkan dan menetap di Negeri Sembilan semasa karyanya ditulis.
  • Anugerah Sastera Negeri Sembilan dikurniakan kepada tokoh yang banyak menghasilkan karya kreatif dan nonkreatif yang bermutu serta tekal serta turut merangsang pertumbuhan dan pendidikan sastera secara berterusan.

  • Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera Negeri adalah untuk tokoh atau institusi yang memberikan sumbangan cemerlang dalam menggerakkan sastera di negeri ini secara berterusan.
Syarat Penyertaan

  • Semua penyertaan mestilah menggunakan borang khas yang disediakan oleh pihak Urus Setia dan borang yang difotostat dibenarkan.
  • Karya dan salinan skrip eceran yang hendak dinilai mestilah dikirimkan kepada Urus Setia dalam tempoh yang ditetapkan.
  • Salinan skrip drama yang telah disiarkan di televisyen atau radio mestilah mendapat pengesahan pihak yang menyiarkannya dan salinan skrip darma pentas pula mestilah ada catatan tarikh, masa dan tempat pementasan serta penganjur yang berkaitan.
  • Pihak Urus Setia tidak bertanggungjawab atas kerosakan atau kehilangan karya yang dikirimkan melalui pos.
  • Kiriman karya yang sampai ke tangan Urus Setia akan dimaklumkan penerimaannya.
  • Karya-karya yang hendak dinilai mestilah dikirimkan kepada :
Urus Setia,
Anugerah Sastera Negeri Sembilan
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan
Wisma UMNO, Jalan Dato' Sheikh Ahmad,
70000 Seremban

sebelum atau pada 30 Ogos 2007


Panel Penilai

1. Panel penilai yang dilantik oleh Jawatankuasa terdiri daripada para sarjana, sasterawan dan mereka yang arif dari unversiti dan GAPENA.

2. Keputusan panel penilai adalah muktamad.

Dapatkan borang penyertaan di :

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan
Wisma UMNO, Jalan Dato' Sheikh Ahmad,
70000 Seremban
Tel : 06-762 1308 (Puan Shikin)

Monday, May 28, 2007

Karisma PEN - Biografi Penulis Negeri Sembilan


Buku Karisma PEN: Biografi Penulis Negeri Sembilan telah dilancarkan semasa ASNS 2005 oleh YAB Menteri Besar.

Judul : Karisma PEN - Biografi Penulis Negeri Sembilan
Penyelenggara : Salim Haji Taib & Mahaya Mohd Yassin
Penerbit : Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)
Genre : Biografi
Muka surat : 237 halaman
Cetakan Pertama : 2005
ISBN : 9834178328
Harga : RM15.00

Beli secara online di Ujana Ilmu.

Friday, September 01, 2006

Pesta Buku NS

PESTA BUKU DAN MULTIMEDIA NEGERI SEMBILAN

Tarikh : 10 - 17 September 2006

Masa : 10.00 pagi - 10.00 malam

Tempat : Plaza Seremban, Jalan Dato' Muda Linggi.


Aktiviti :

10 Sept 2006 (Ahad)

10.00 pagi Pesta buku dan multimedia bermula

10.00 pagi Bersama Kartunis Creative Enterprise

2.30 petang Bicara PEN :
  • Taklimat Editor Tunas Cipta
  • Kaedah deklamasi puisi

11 Sept 2006 (Isnin)


2.00 petang Majlis Perasmian oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

8.30 malam Nasyid Kontemporari


12 Sept 2006 (Selasa)

11.00 pagi Ceramah Pembacaan Berkesan oleh IPRM

2.30 petang Sepetang bersama Utusan Malaysia


13 Sept 2006 (Rabu)

11.00 pagi Sembang-sembang bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said

2.30 petang Bicara karya Pesona Pencinta Buku oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara


14 Sept 2006 (Khamis)

11.00 pagi Program Bacaan Kegemaran Saya.Tokoh: Nisah Haron, Siti Jasmina

2.30 petang Pertunjukan Sains

8.30 malam Tazkirah Iqra' oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan


15 Sept 2006 (Jumaat)

10.00 pagi Pertandingan Bercerita Kanak-kanak Tabika

Sesi Mari Bercerita (PPANS)

8.30 malam Persembahan Pantomim (Sek. Datuk Abd. Razak)


16 Sept 2006 (Sabtu)

9.00 pagi Forum Malaysia Membaca di Kolej MARA Seremban

11.00 pagi Persembahan Lagu-lagu Patriotik (SMK KGV)

2.30 petang Segmen Ilmu & Artis bersama ABOT

8.30 malam Persembahan Multimedia daripada PTPL


17 Sept 2006 (Ahad)

10.30 pagi Sesi bersama-sama Negeri FM

8.30 malam Majlis Penutupan Pesta Buku & Multimedia


Pencinta dan penikmat buku dipersilakan hadir.

Masuk percuma

Thursday, August 31, 2006

Aktiviti PEN September 2006

MALAM APRESIASI PERJUANGAN DATO' ONN JAAFAR

Tarikh : 1 September 2006 (Jumaat)
Masa : 8.00 malam
Tempat : Balai Kerapatan, Institut Perguruan Raja Melewar

Semua dijemput hadir.
Pakaian : Batik


Atur cara majlis :

8.00 malam Para jemputan mengambil tempat
8.30 malam Bacaan doa
Ucapan alu-aluan Pengarah Yayasan Warisan Johor
Ucapan Perasmian oleh YB Dato' Ismail Lasim (Exco Kerajaan NS)
Penyampaian Cenderamata

9.00 malam Pengkisahan episod perjuangan Dato' Onn Jaafar
oleh Tuan Haji Kassim bin Thukimin, UTM

9.30 malam Deklamasi puisi perjuangan Dato' Onn Jaafar dan
Perjuangan kemerdekaan

  • Haji Othman Zainuddin (YWJ)
  • Cik Farah Nabila Noor Anuar (PEN)
  • Haji Zulkifli Abu (IPRM)
  • Puan Khadijatul Ismalasari (YWJ)
  • Encik Zulkifli Mohd Nor (PEN)
  • Hajah Mahaya Mohd Yassin (PEN)
10.00 malam Tayangan DVD Peristiwa sebelum 10 Februari 1946

10.00 malam Deklamasi Puisi
  • Haji Kamdi Kamil (YWJ)
  • Dato' Wira Dr. Rosli Saludin (PEN)
  • Puan Mariamah Tejo (YWJ)
  • Encik Khalid Salleh
  • Encik Sani Sudin
Kudapan & Bersurai

Juruacara : Puan Azlina Ahmad (IPRM) & Puan Nisah Haji Haron (PEN)

Tuesday, August 08, 2006

Seminar Persuratan & Peradaban Nasional 2006

Syukur Alhamdulillah, Seminar Persuratan & Peradaban Nasional 2006 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Le Paris, Port Dickson pada 4 - 6 Ogos 2006.

Tahniah dan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa PEN, PENA serta semua pihak yang telah menjayakan aktiviti ini secara langsung ataupun tidak langsung.


Pelancaran dua buah buku : Manuskrip Luka Bangsa dan Persuratan & Peradaban Nasional 2006.




Persembahan tradisional Negeri Sembilan - Bongai turut diangkat pada malam tersebut.


Pameran & jualan buku PEN - Ujana Ilmu

Tuesday, June 27, 2006

PEN melangkah ke alam siber


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua ahli PEN dan pengunjung weblog Persatuan Penulis Negeri Sembilan atau ringkasnya PEN.

Inilah langkah seterusnya dalam dunia penulisan yang tiada noktahnya. Jika sebelum ini, agak sukar untuk mendapatkan maklumat tentang PEN, kami, AJK PEN berharap, selepas ini tidak lagi.

Kami akan cuba sedaya upaya mengemas kini laman ini supaya dapat dimanfaatkan oleh para pengunjung.