Friday, September 16, 2011

Titipan Khas Ketua Satu - 28 Ogos 2011

Sumber imej diambil dari sini.


Assalamualaikum,

Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin.


Teriring doa agar kita sentiasa mendapat taufik dan rahmat Allah dalam meneruskan kehidupan sebagai khalifah-Nya, insya-Allah.


Titipan Khas ini untuk semua - Ahli Jawatankuasa, ahli, Ahli Seumur Hidup, bekas ahli, kerabat, sahabat, peminat, pencinta bahasa dan sastera serta saudara jauh dan dekat. Kalian sekeluarga diundang ke majlis yang tersebut di atas. Sudi-sudikanlah.




Matlamat majlis

  • saling berkenalan
  • mengeratkan silaturahim
  • berkongsi kisah, ilmu dan pengalaman demi kebaikan semua
  • mendapatkan Buku Undang-undang PEN yang baharu




Makluman


  1. Dewan Bahasa dan Pustaka Zon Tengah baru diwujudkan kira-kira sebulan yang lalu. Pengarah dan rombongannya, Puan Che Zainab berkunjung ke negeri kita pada 16 Ogos yang lalu. Alhamdulillah, bersama-sama Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (tuan rumah) dan wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, banyak perkara yang dibincangkan. Rancangan untuk mengangkasakan bahasa dan sastera di negeri kita semakin meriah dan perkasa, insya-Allah.
  2. Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Negeri Sembilan akan berlangsung di Sekolah Menengah Datuk Undang Abdul Manap, Johol pada 23 - 25 September (Jumaat - Ahad) 2011. Mesyuarat penyelarasan telah berlangsung pada 12 Ogos (Jumaat).
  3. Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2011 akan dilaksanakan pada bulan Oktober ini. Pelancaran Peringkat Kebangsaan pada 6 Oktober (Khamis), di Melaka dan peringkat Negeri Sembilan pula ialah pada 18 Oktober (Selasa) 2011 di Kompleks Penyiaran RTM, Sungai Gadut, Seremban. Olek Bahasa (penutupan) akan diadakan di KRT Dangi, Johol pada 29 Oktober 2011. Insya-Allah, antologi puisi PEN Gema Serunai Hati 10 akan dilancarkan nanti.
  4. Festival Kesenian (JKKNS) akan berlangsung pada 12 - 16 Oktober 2011 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan.
  5. Mohon kerjasama untuk menyemak serta menggunakan laman web PEN dari semasa ke semasa (www.penulisn9.blogspot.com) untuk pengumuman dan maklumat terkini. Kami beransur-ansur menggunakan wadah teknologi iaitu sistem pesanan ringkas dan laman web untuk perhubungan terkini. Harap maklum.
  6. Mulai Jun 2011, yuran ahli biasa setahun ialah RM20.00 dan yuran Ahli Seumur Hidup kekal RM100.00. Beberapa pindaan yang terdapat di dalam Buku Perlembagaan yang baharu perlu difahami agar tidak wujud kekeliruan, insya-Allah

Kita berjumpa pada Majlis Mesra Raya PEN 2011 nanti, insya-Allah.

Sekian, terima kasih.



Mahaya Mohd.Yassin

Ketua Satu PEN
27 Ogos 2011

Wednesday, August 31, 2011

Al-Fatihah kepada Dato' Hassan Ahmad - Pejuang Bahasa


Almarhum Dato' Hassan Ahmad
Sumber foto

Ketua Satu dan AJK serta ahli-ahli PEN mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Dato' Hassan Ahmad yang pulang ke rahmatullah pada 31 Ogos 2011.

Almarhum akan dikebumikan esok (1 September 2011) sebelum zuhur dan alamat kediamannya di No 30 Jln 22/49 Kg Tunku, Petaling Jaya.

Al-fatihah.

Perlembagaan PEN:
Bayaran Masuk, Yuran & Bayaran Lain

Ahli PEN dan peminat bahasa dan sastera yang budiman,


Dalam buku Undang-undang PEN yang baharu (Mei 2011) FASAL 6

BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1)   Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:
  • Ahli Biasa; Yuran tahunan RM 20.00 (dua puluh ringgit sahaja)
  • Ahli Seumur Hidup; RM 100.00(seratus ringgit sahaja)


(2)  Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari sebelum pertengahan tahun tiap-tiap tahun.


(3)  Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh Setiausaha Satu atau wakilnya dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.


(4)  Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.


(5)  Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

(6)  Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

Saturday, August 20, 2011

Al-Fatihah kepada Sasterawan Azizi Haji Abdullah

kredit foto : ITNM
Ketua Satu, ahli jawatankuasa serta warga Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga sasterawan Azizi Haji Abdullah yang telah mendahului kita pada 21 Ogos 2011 bersamaan 21 Ramadhan 1432H.

Al-Fatihah.

Friday, August 12, 2011

Sekitar Pelancaran Buku Penulis-Penulis PEN

Sempena Pesta Buku Negeri Sembilan 2011 yang berlangsung pada bulan Julai yang lalu, sebanyak 5 buah karya ahli PEN telah dilancarkan oleh YB Dato, Hj Mohammad Razi Hj Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

Buku-buku yang dilancarkan telah dinyatakan di dalam entri yang terdahulu

Berikut beberapa gambar yang sempat dirakamkan ketika majlis pelancaran tersebut.

Latar pentas
Dari kiri : Puan Jamilah (Pengarah PPANS), Y.B. Dato' Razi dan Puan Nisah Haron
(Setiausaha 2 PEN)
Ucapan perasmian
Puan Nisah memperkenalkan 5 buah buku yang dilancarkan
Y.B. Dato' Razi meneliti "Kawan Baru Hanani"
Y.B. Dato' Razi meneliti "Ayahku Pulang"
Kredit semua foto kepada Puan Siti Adnon Abdul Wahid, pegawai Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. PEN merakamkan penghargaan ini.



Monday, July 18, 2011

Pelancaran Buku Penulis Negeri Sembilan sempena Pesta Buku Negeri Sembilan

Pelancaran buku 5 pengarang Negeri Sembilan :

Mahaya Mohd Yassin - Ayahku Pulang
Nisah Haron - Kawan Baru Hanani
Abdul Latip Talib - Pendekar Siamang Gagap
Amiza Khusyri Yusof - Mentari Mediterranean
Siti Jasmina Ibrahim - Hanya Makna

Tarikh : 20 Julai 2011
Masa : 2.30 petang 
Tempat : Pusat Beli Belah Jusco Seremban 2



Klik pada imej untuk lihat poster yang lebih jelas

Ahli PEN dan semua peminat sastera serta pencinta buku dijemput memeriahkan majlis dan mengeratkan silaturrahim. 

Jumpa di sana!

Sunday, July 10, 2011

Program Ziarah Mesra

 Program Ziarah Mesra anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) bukanlah suatu program baharu. Kegiatan ini secara tradisinya sudah menjadi acara rutin PEN saban tahun bagi mengenang tokoh-tokoh yang banyak menyumbang jasa kepada persatuan. Cuma, belakangan ini, kegiatan ini agak lama terhenti kerana kekangan waktu senggang dan aktiviti PEN yang agak padat. Justeru, kesempatan pada hujung minggu baru-baru ini (Ahad 3 Julai 2011), Pn. Mahaya selaku Ketua 1 PEN, Datin Sabariah (Setiausaha 1), dan saya sendiri telah mengunjungi dua tokoh perintis PEN iaitu Hjh. Norini Ali dan Datuk Mohd Pilus bin Hj. Yunus. Isteri arwah Hj. Mad Tainu yang pada peringkat awal turut di dalam radar perancangan kami gagal ditemui kerana berlaku sedikit masalah dalam mencari lokasi rumah beliau. 

  Kesempatan bertemu dengan dua tokoh PEN, Hjh Norini dan Datuk Mohd Pilus sememangnya mengujakan. Walaupun kedua-duanya agak uzur, mereka tetap ghairah dan bersemangat dalam menceritakan pengalaman pahit manis sepanjang menerajui PEN, selain tidak lokek untuk berkongsi idea dan ilmu dalam pelbagai bidang. 
  Ketika bergebang mesra dengan Hjh. Norini yang cukup ramah dan santun, ternyata beliau mempunyai banyak pengalaman yang istimewa yang barangkali jarang ditemui pada orang lain, seperti kata Pn. Mahaya, alangkah baiknya jika pengalaman-pengalaman Hjh. Norini ini, sama ada berkaitan profesionnya ataupun ketika perantauannya ke luar negara dapat dibukukan agar dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama. Apabila diajukan soalan begitu, beliau tergelak kecil dan menyatakan memang ada keinginan begitu. Cuma, ada kalanya faktor kesihatan membataskan keinginan. Doa kami, semoga beliau dianugerahkan oleh Allah SWT nikmat sihat dan lapang, seterusnya dipermudahkan ilham dan ingatan agar hasrat melihat pengalaman beliau dibukukan tercapai. Insya Allah. 
   

Pn. Mahaya menyampaikan cenderamata kepada Hjh. Norini

  Seterusnya, (seteleh gagal menemui rumah isteri arwah Hj. Mad Tainu) kami terus ke rumah Datuk Mohd Pilus di Taman Bukit Kelana. Bekas pendidik dan juga pernah dianugerahkan "Tokoh Guru Nusantara" ini, pernah menjawat jawatan Setiausaha PEN antara tahun 1979-1982. Beliau banyak menyumbang karya dalam antologi-antologi terbitan PEN. Beliau turut berkongsi rasa ralatnya kerana usaha pengumpulan dialek Negeri Sembilan (beliau turut terlibat) yang pernah diusahakan dahulu tidak diterbitkan. Beliau sendiri tidak pasti pihak yang menyimpan segala bahan berharga tersebut. Harapan beliau semoga pihak PEN dapat meneruskan usaha-usaha jawatankuasa terdahulu yang belum dapat dilaksanakan, di samping meneruskan program dan kegiatan sedia ada.

Pn. Mahaya menyampaikan cenderamata kepada Datuk Mohd Pilus

Datuk Mohd Pilus dan isteri bergambar bersama-sama
Pn Mahaya dan Datin Sabariah

  Sesungguhnya, pertemuan dengan dua tokoh ini sangat bermakna buat kami. Saya secara peribadi, begitu teruja kerana dapat berkongsi pengalaman dan idea dengan mereka. Insya Allah, selepas ini, PEN akan merancang pertemuan dengan tokoh-tokoh yang lain pula.

Berterombo di Seri Menanti


Selamat datang ke Seri Menanti Resort
  Saya tiba di Seri Menanti ketika gelap mula mengambus alam. Program "Penghayatan Teromba dan Perbilangan" hanya akan bermula esok. Tetapi saya perlu ke sana pada malam sebelumnya bagi membantu membuat persediaan apa yang perlu. AJK PEN; Pn. Mahaya, Hazlin, Kak Hana, Masliya dan Syukri (anak Pn. Mahaya) sudahpun tiba lebih awal. Pn. Mahaya sendiri sudah menelefon untuk mengingatkan saya supaya hadir. Kebetulan cuti hujung minggu baru-baru ini, sekolah tidak menganjurkan sebarang aktiviti. Justeru, apabila diminta oleh Pn Mahaya untuk hadir membantu urus setia di Seri Menanti Resort, saya terus menyatakan persetujuan. Oleh sebab, lokasi Seri Menanti begitu dekat dengan kampung saya, saya memilih untuk tidak bermalam walaupun bilik disediakan. 
  Sebagai anak jati Negeri Sembilan, teromba ataupun terombo bukanlah sesuatu yang asing. Pernah juga sesekali apabila menghadiri program-program kebudayaan, saya berpeluang mendengar teromba. Ketika di universiti juga, saya pernah mendengar satu dua pembentangan kertas kerja tentang seni warisan indah Negeri Sembilan ini. Begitupun, secara rasmi dan secara terperinci, inilah pertama kali saya berpeluang mengikuti seminar/kursus tentangnya. Secara ringkasnya, teromba ialah susunan undang-undang adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Teromba mengandungi konotasi adat yang digunakan sebagai panduan dan amalan terutama Adat Perpatih dan Adat Minangkabau yang masih digunakan di Negeri Sembilan dan Melaka sehingga ke hari ini. 
  Mengikuti program yang dirasmikan oleh Hjh Nooraine (Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Warisan Negara) ini, peserta berpeluang mendengar ceramah daripada pakar teromba iaitu Dr. Mohd Rosli Saludin, selain kertas kerja tulisan Dato' Seri Maharaja Khalid bin Bonget (beliau tidak dapat hadir kerana urusan keluarga). Dr. Rosli memberi fokus kepada penggunaan kata-kata adat dalam pengacaraan majlis dan Dato' Khalid membicarakan teromba dalam konteks ungkapan adat. Para peserta juga cukup bertuah kerana Dr. Rosli sudi untuk meluangkan masa selama dua hari bersama mereka, khususnya membantu ketika aktiviti perbengkelan berlangsung. Malah, beliau juga turut beraksi di atas pentas dengan menyampaikan teromba mengikut gaya dan alunan suara yang cukup memukau.
  Kehadiran ke Seri Menanti sememangnya cukup bermakna. Seperti pandangan kebanyakan peserta, berkampung selama dua hari di sini terasa cukup singkat. Barangkali, jika Jabatan Warisan Negara bercadang untuk sekali lagi mengadakan kerjasama dengan PEN, biaya yang lebih besar perlu disediakan untuk memastikan seminar/kursus seperti ini dapat dijalankan dalam jangka waktu yang lebih panjang. PEN insya Allah, sedia menyumbang masa dan tenaga kerana selama ini yang mengekang pergerakan PEN ialah peruntukan. Semoga program seperti ini tidak sekadar menjadi satu-satunya kerjasama yang dijalankan oleh PEN dan JWN. Seharusnya usaha murni seperti ini harus diteruskan dalam penganjuran program-program lain pula selepas ini.

Sesi pendaftaran

Peserta tekun mendengar pembentanga kertas kerja

Sesi perbengkelan yang santai

Sesi persembahan yang cukup memikat



Dr. Rosli ketika menggulung hasil pembentangan kumpulan

Penyampaian sijil dan cenderamata oleh Hjh Nooraine

Kenang-kenangan sebelum berangkat pulang

Thursday, June 30, 2011

Pengumuman 2

Sayembara Deklamasi Puisi anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan 2011.

Butiran lanjut sila hubungi JKKN NS
Tel : 06-7636308/06-7676793
Faks: 06-7634417

Pengumuman 1

Taklimat Penerbitan PEN- Krangkraf - untuk ahli-ahli PEN
  • 12 Julai 2011 (Selasa) 
  • 9.00-1.00 t/hari 
  • Pejabat PEN, 59, Lorong Cenderawasih 2, Taman Paroi Jaya, Seremban. 
Ahli PEN sila bawa manuskrip. Sila sahkan kehadiran kepada e-mel: mahaya_es@hotmail.com SEGERA. Kepada yang berminat tetapi tidak dapat hadir, mohon runding dengan Ketua 1, Puan Mahaya Mohd Yassin melalui talian 06-6778 359.

Tuesday, June 21, 2011

Program Penghayatan Teromba dan Perbilangan Adat


Anjuran Jabatan Warisan Negara, Kuala Lumpur dengan kerjasama PEN
Tarikh : 25 dan 26 Jun 2011
Tempat : Seri Menanti Resort, Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Khalayak - 30 orang terdiri daripada pendidik, ahli PEN dan mereka yang bertanggungjawab menyebarluaskan ilmu dan pengalaman kepada masyarakat.

Yang berminat silalah mendaftar SEGERA kepada 012-3083965 (Puan Mahaya) atau 019-2543476 (Datin Sabarriah).

Tuesday, June 07, 2011

Tahniah kepada Ustaz Amiza Khusyri!

Ahli jawatankuasa PEN mewakili warga PEN mengucapkan tahniah kepada Ustaz Amiza Khusyri, seorang AJK PEN. Karya beliau berjudul Tasbih telah disiarkan di dalam Mingguan Malaysia 5 Jun 2011. Ini tembusan kedua beliau dalam akhbar tersebut.

Peminat sastera boleh membaca cerpen tersebut di sini.

Friday, May 27, 2011

Titipan Ketua Satu - 26 Mei 2011

Assalamualaikum

Ahli Jawatankuasa PEN,
Ahli PEN,
Ahli Seumur Hidup (ASH) PEN.
Semoga kalian bersama-sama keluarga dalam peliharaan dan rahmat Allah sentiasa. Amin!


Alhamdulillah, dengan izin-Nya serta sokongan padu kalian, PEN masih dapat meneruskan misi dan visinya iaitu ‘Mendidik dan Memugar Bahasa, Sastera dan  Budaya Bangsa’.

Ada beberapa hal yang ingin saya titipkan sebagai perkongsian maklumat kita pada kali ini. Ada antaranya perlukan tindakan kita sesegera mungkin.

Pindaan Perlembagaan PEN yang kita usahakan sejak 2007 yang lalu. Alhamdulillah, pindaaan keseluruhan perlembagaan PEN yang telah kita hantar pada bulan April lalu, telah dijawab oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada petang 21 Mei (Sabtu) yang lalu. Kelulusaan pindaan tesebut telah diluluskan berkuatkuasa pada 12 Mei 2011. Antara fasal yang telah dimantapkan:
  • Ahli Biasa: berumur 15 tahun ke atas, yuran tahunan RM20.00 sahaja
  • Ahli Seumur Hidup: berumur 21 tahun ke atas, yuran RM 100.00 sahaja
  • Jawatankuasa yang dipilih semasa Mesyuarat Agung Tahunan: Ketua Satu, Ketua Dua, Setiausaha Satu, Setiausaha Dua, Bendahari; Lima AJK dipilih semasa mesyuarat dan tiga dilantik.

Insya-Allah, PEN akan mengusahakan perlembagaan baharu ini dicetak dan diedarkan  (kepada ahli yang layak)  pada tahun 2012.

Anugerah Sastera dan Media 2011 sedang giat diusahakan. Insya-Allah, sebelum akhir tahun akan dilaksanakan. Mohon doa restu agar majlis ini berjaya dilaksanakan.
Kegiatan yang baru berlangsung :

Majlis Sastera: Proses Kreatif Dalam Karya:  di IPGM Kampus Raja Melewar, anjuran Dewan Bahasa dengan kerjasama PEN dan IPGKRM, pada 21 Mei 2011.

90 orang hadir terdiri daripada pelatih, ahli PEN dan pelajar SMAP, Labu.

Pembicara:        
  • Puan Nisah Haron: Proses Kreatif  LM, RSR & KBH  - Pengalaman Menulis Tiga Genre
  • Prof. Madya Dr. Mawar Shafie (UKM): Rindu Seorang Rafik: Himpunan Perlambangan dan Bertemunya Perempuan dengan Undang-undang dan Adat 
  • Dr. Norhayati Abd.Rahman: Pemartabatan Wanita dalam Lentera Mustika; Daripada Lensa Feminis 
  • Puan Hajah Mahaya Mohd.Yassin: Kreativiti Nisah Haron dalam Kawan Baru Hanani.

Kegiatan yang akan datang

Program Penghayatan Teromba dan Perbilangan Adat; anjuran Jabatan Warisan Negara, Kuala Lumpur dengan kerjasama PEN, pada 25 dan 26 Jun 2011 di Seri Menanti Resort, Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Khalayak -30 orang terdiri daripada pendidik, ahli PEN dan mereka yang bertanggungjawab menyebarluaskan ilmu dan pengalaman kepada masyarakat. Yang berminat silalah mendaftar segera kepada 012-3083965 (Puan Mahaya) atau 019-2543476 (Datin Sabarriah).

Pada jam 1.00 tengah hari, 25 Mei (Rabu) Ketua Satu mewakili PEN menerima sumbangan daripada YAB Menteri Besart di SUK. Cek tersebut sudah dibankkan hari ini, 27 Mei.

Terima kasih.

Hajah Mahaya Mohd Yassin
Ketua Satu

Tuesday, May 17, 2011

Bicara Sastera PEN - DBP 2011

Bicara Karya dan Proses Kreatif Nisah Haron ini anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan PEN dengan kerjasama Institut Pendidikan Perguruan Kampus Raja Melewar, Seremban

Tarikh  21 Mei 2011
Masa  8.30 pagi
Tempat : IPG Kampus Raja Melewar, Jalan Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan
Pembicara :
  • Proses Kreatif LM, RSR & KBH - Pengalaman Menulis 3 Genre (Nisah Haron)
  • Bicara Karya Rindu Seorang Rafik (Prof. Madya Dr. Mawar Safei - UKM)
  • Pemartabatan Wanita dalam Lentera Mustika : Daripada Lensa Feminis (Dr. Norhayati Abd. Rahman - UM)
  • Bicara Karya Kawan Baru Hanani (Hajah Mahaya Mohd Yassin - Ketua Satu PEN)

Moderator : Puan Khaziah Abdul Karim  (Ketua Pusat Sumber, IPG Kampus Raja Melewar)




Semua ahli PEN dan peminat sastera dipersilakan hadir.

Sunday, February 27, 2011

Mesyuarat Agung PEN ke-34

Notis kepada semua ahli :

Mesyuarat Agung PEN ke-34 akan diadakan seperti butiran yang berikut : -

a) Tarikh :  20 Mac 2011 (Ahad)
b) Masa : 8.30 pagi - 12.30 tengah hari
c) Tempat : Dewan D'Ark, Senawang

Atur cara :

8.00 - 8.30 pagi  Pendaftaran

9.00 pagi           Ceramah: 1. Dakwah Dalam Penulisan
                                           Puan Syarifah Salha Syed Ahmad
                                           AJK PEN

                                       2. Pemerdagangan Manusia
                                           Datin Hjh. Sabarriah Shukur
                                           Setiausaha 1 PEN

10.30 pagi          Mesyuarat Agung

12.30                 Bersurai

Saturday, October 23, 2010

Kenduri Bahasa di Inap Desa Kampung Lonek, Jempol

Saya hadir ke Inap Desa Lonek dalam keadaan yang tidak cukup selesa. Selain selesema yang menyumbat hidung, batuk yang bersarang di dada turut menyumbang kepada ketidakselesaan itu. Saya hampir sahaja menelefon sdr Azman Kurawi yang menjadi penyelaras program Kenduri Bahasa di Lonek untuk memaklumkan penarikan diri saya. Bagaimanapun, sdr Abdullah AR terlebih dahulu menghantar sistem pesanan ringkas mengatakan beliau terpaksa menarik diri daripada menjadi salah seorang deklamator pada malam tersebut kerana abangnya sedang sakit kuat di Hospital Seremban. Mendengar itu, saya terus membatalkan hasrat dan reda dengan segala kemungkinan. Tambahan pula, Puan Nisah Haron dan Datin Sabariah sudah menggalaskan pada pundak saya amanah dan tanggungjawab yang diserahkan kepada PEN oleh pihak DBP.

Buat seketika, saya menjadi pencinta air suam yang setia.

Gambar : Deklamasi puisi oleh Sdr Mya Marja

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Apa yang saya takuti, tidak menjadi kenyataan pada malam itu. Rasanya, saya dan Mya Marja yang mewakili PEN dalam persembahan deklamasi puisi sudah memberikan yang terbaik. Terima kasih yang tidak terhingga kepada jawatankuasa program, khususnya sdr Azman Kurawi yang menyediakan segala keperluan dan memenuhi apa sahaja permintaan kami. Ternyata tenaga produksi yang mantap menjadi nadi kepada kelancaran program pada malam tersebut.

Program Kenduri Bahasa merupakan penutup kepada Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat Negeri Sembilan. Pembukaan program ini berlangsung di Seremban. Barangkali, pemilihan Lonek sebagai tuan rumah untuk acara penutupan merupakan satu kelainan yang ingin dibuat pada tahun ini. Langkah ini merupakan suatu harus dipuji. Sesekali, biarlah masyarakat desa dan luar bandar pula mendapat peluang menunjukkan rasa cinta mereka kepada bahasa ibunda.

Gambar : Deklamasi puisi oleh Sdr Faizal Said

sumber : Faizal Said Online

Wednesday, October 20, 2010

Umbara Sastera 5

Alhamdulillah, akhirnya Umbara Sastera 5 tiba ke Juasseh. Bersyukur juga kerana kedua-dua tokoh yang dijemput dapat melapangkan sedikit masa untuk berkongsi wacana ilmu dengan anak-anak di sini. Walaupun program ini serba ringkas tetapi buat saya, program ini cukup bermakna. Hal ini dikatakan demikian kerana program ini bukan sekadar program yang dirancang untuk memenuhi waktu senggang pelajar lepasan PMR, tetapi juga merupakan program yang tercatat dalam diari tahunan PEN. Beberapa bulan belakangan ini sesudah dilantik sebagai AJK PEN, saya sering tertanya-tanya apakah sumbangan yang boleh saya berikan kepada persatuan? Adakah sekadar menghadiri mesyuarat dan menempel-nempel dalam program yang dianjurkan? Setakat ini, itulah sahaja yang dapat saya lakukan. Justeru, apabila dapat menyelaraskan sendiri program Umbara Sastera ini, saya rasa cukup lapang. Sekurang-kurangnya saya sudah ada sesuatu biarpun mungkin kecil pada mata orang.

Nisah Haron dan Amiza Khusyri bukanlah nama yang asing apabila memperkatakan kesusasteraan nasional. Begitu pun, untuk pelajar-pelajar saya (malah dalam kalangan guru) tidak putus-putus bertanya tentang tokoh yang saya jemput. Siapa? Penulis ke? Pelik juga. Jika Amiza mungkin, kerana ini pertama kali beliau tiba di SMK Juasseh (walaupun menurutnya, beliau sering singgah membeli air batu di kedai depan sekolah kerana rumah mentuanya di sekitar Juasseh). Bagaimana pula dengan Nisah? Nisah sudah pernah tiba ke sini dua tahun lepas. Cepatnya mereka lupa. Tetapi itulah lumrah. Apa sangatlah status seorang penulis jika dibandingkan dengan tokoh politik mahupun selebriti hiburan, walaupun sumbangannya cukup besar dalam pembangunan minda dan jiwa. (Barangkali kerana itu juga, wartawan surat khabar yang saya jemput tidak nampak batang hidungnya. Apa sangatlah nilai berita program kesusasteraan.)

Nisah Haron seperti selalu membawakan ceramah tentang teknik dan kreativiti menulis. Bagaimanapun, apa yang saya harapkan ialah kehadiran Nisah Haron akan membuka mata pelajar-pelajar saya (juga guru-guru dan pentadbir) khususnya beraliran sains, seorang penulis tidak semestinya mengambil subjek Kesusasteraan Melayu untuk menjadi penulis. Malah sebenarnya mereka yang dari aliran sains yang lebih ramai mewarnai dunia kesusasteraan tanah air. Hal ini demikian kerana mereka memenuhi syarat-syarat untuk menjadi penulis yang baik. Antara syarat yang penting tentunya rajin membaca, bijaksana dan, berilmu.

Pengalaman saya sendiri, karya pelajar yang saya kirim ke mana-mana penerbitan datangnya daripada pelajar-pelajar aliran sains yang berminat menulis. Pelajar subjek Kesusasteraan Melayu yang saya ajar selalunya tidak mampu menghasilkan sebuah karya yang baik. Saya tidak salahkan mereka. Walaupun mereka menekuni subjek ini selama dua tahun, mereka gagal lahir sebagai penulis. Ini tentunya berkait rapat dengan kegagalan memenuhi syarat-syarat yang saya sebutkan tadi. Oleh sebab itu, saya rasa cukup terpukul apabila pelajar-pelajar tingkatan 4 aliran sains di sekolah ini dikecualikan daripada program ini dengan alasan ini urusan orang sastera. Saya tidak mengharapkan 120 audiens akan menjadi penulis. Tetapi saya mengharapkan akan muncul satu atau dua penulis yang baik dan prolifik dan selebihnya akan menjadi peminat dan pembaca karya kesusasteraan yang tekal. Insya Allah.

Amiza hadir dengan slot motivasi dan dakwah dalam penulisan. Bagaimanapun, beliau merasakan tajuk itu cukup berat untuk mereka yang belum bergelar penulis. Justeru, beliau lebih menumpukan ceramah tentang kepentingan hidup atas landasan agama dalam kalangan remaja. Ternyata motivasi Amiza benar-benar menyentap emosi khalayak, sesuailah dengan latar belakang beliau. Kehadiran Amiza juga saya harapkan dapat memberikan impak yang sama seperti kehadiran Nisah. Amiza lepasan Universiti Al-Azhar dan tebal dengan selimut agamanya. Seperti juga Zaid Akhtar, Amiza juga menjuarai cerita-cerita yang berkisar di seputar kehidupan remaja atas landasan syariah tetapi diadun dengan plot yang dramatik serta bahasa yang cukup kreatif. Saya ingin membuktikan kepada pelajar bahawa menulis juga satu ibadah dan bukan sekadar pekerjaan main-main dan 'jiwang-jiwang'. Saya ingin mereka tahu bahawa kesusasteraan atau lebih tepatnya persuratan adalah karya-karya yang dihasilkan oleh penulis seperti ini dan bukannya seperti novel-novel popular dan picisan yang berlambakan di mana-mana.

Kehadiran Nisah Haron dan Amiza tentunya sedikit banyak meninggalkan impak kepada pelajar SMK Juasseh. Seperti selalu, novel Nisah lebih separuh terjual dan ramai juga meminta saya mendapatkan novel Amiza "Menjadi Bintang". Justeru, besar harapan warga Juasseh, kedua-dua tokoh ini tidak jemu untuk menuangkan ilmu dan pengalaman mereka sekali lagi pada masa-masa akan datang.

Untuk Nisah Haron dan Amiza, 'terima kasih daun keladi, tanda kasih datanglah lagi'.

sumber : Faizal Said Online

Monday, July 05, 2010

Pesta Buku Negeri Sembilan 2010


Pengarang Negeri Sembilan yang dijadualkan menyertai Pesta Buku Negeri Sembilan 2010 :

6 Julai : Haiza Najwa - Novelis
(Selasa) 2.30 - 4.30 petang

8 Julai : Abdul Latip Talib - Novelis Tokoh Pahlawan Islam
(Khamis) 2.30 - 4.30 petang

9 Julai : Mahaya Mohd Yassin - Penyair Tersohor / Ketua Satu
(Jumaat) 10.00 pagi - 12.00 tengah hari

Nisah Haron - Novelis / Setiausaha Dua PEN
2.30 - 4.30 petang


Jemput datang beramai-ramai sambil membeli-belah buku-buku pilihan.
Membeli buku bererti membuat pelaburan sepanjang hayat!

Pesta Buku NS berlangsung dari 6 - 11 Julai 2010
di Jusco Seremban 2
mulai 10.00 pagi - 10.00 malam

Monday, April 19, 2010

Bengkel Asas Penulisan Cerpen PEN - 8 Mei 2010

Ceramah Penulisan dan Bengkel Cerpen bersama Puan Nisah Haji Haron.

Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Penulis Negeri Sembilan [PEN] akan mengadakan ceramah “Asas Penulisan Cerpen” dan Bengkel Cerpen Intensif bersama penulis muda terkemuka Puan Nisah Haji Haron. Butiran program adalah seperti berikut :

Tarikh : 8 Mei 2010

Hari : Sabtu

Tempat : Dewan D’Ark, Taman Sri Kasih, Senawang

Sesi ceramah akan bermula jam 9:00 pagi diikuti sesi bedah cerpen [bengkel]. Sesi ceramah terbuka kepada umum, manakala untuk menyertai sesi bengkel, peserta digalakkan menghantar cerpen untuk dibedah sebelum atau pada 30 April 2010.

Yuran penyertaan untuk kedua-dua sesi cuma RM50, dan sekiranya ingin menyertai sesi ceramah sahaja yurannya hanya RM20. Sesiapa yang berminat boleh hubungi saya : tejamanis@gmail.com (Puan Zalila Isa)

Sumber : dipetik dari blog Zalila Isa.


Friday, April 09, 2010

Umbara Sastera 4

PEN dengan kerjasama Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAP) menganjurkan Umbara Sastera kali ke-4. PEN berasa bertuah kerana pihak SMAP bersedia menjadi tuan rumah dan penyertaan kali ini ialah yang terbesar untuk Umbara Sastera PEN iaitu para pelajar tingkatan 1 hingga 6 dilibatkan.Sebanyak dua buah ceramah disampaikan oleh :
Pada sebelah petangnya, bengkel penulisan cerpen diadakan khusus untuk para peserta yang benar-benar berminat untuk mendalami genre ini. Semoga para peserta, khususnya pelajar SMAP dapat memanfaatkan kedua-dua slot ini.