Friday, October 07, 2011

Titipan Ketua Satu Oktober 2011

Titipan Ketua Satu

7 Oktober 2011

Salam.

AJK PEN dan ahli.

Untuk tindakan dan perhatian kalian.

  1. Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2011
    • Bengkel Bahasa: Betulkan Yang Biasa,Biasakan Yang Betul di Perpustakaan Awam, Rembau, 6 Oktober, (PEN)
    • Tiga minggu (10 – 27 Oktober) Kuiz Bahasa di Negeri FM, selepas Sari Bahasa (PEN/Munsyi Dewan)
    • Perasmian BBK di Kompleks Penyiaran RTM, 18 Oktober, pukul 2.00 petang. Semua diundang.
    • Olek Bahasa (Majlis Penutupan) di KRT Dangi 29 Oktober (seharian). Semua diundang.

  2. Festival Kesenian (JKKN NS)
    • 12 hingga 16 Oktober Pertandingan (Tarian, caklempong, bercerita, sajak, syair, teromba) di JKK NS.
    • Majlis Penutupan, 16 Oktober 2011. Semua diundang.

  3. Karnival Penulis 1 Malaysia (GAPENA)
    • 20 – 22 Oktober 2011, di Perpustakaan Negara. Semua diundang.
    • Dua orang penulis remaja PEN dipersilakan mewakili PEN. Penginapan, sagu hati, surat cuti diuruskan. Sila maklumkan kepada Ketua Satu segera.

  4. Kongres Bahasa dan Persuratan Bahasa Melayu IIIV, 28-30 Oktober, di DBP. Jika berminat sila maklumkan segera kepada Setiuausaha Satu 019-2543476.

  5. Kembara Budaya Sempadan IMTGT di Ranong, Thailand, 18- 21 November. Yang berminat sila hubungi GAPENA SEGERA. (03-21442412)

  6. Penerbitan Majalah Sastera dan Warisan (GAPENA) Sila layari sasterawarisan@gmail.com atau hubungi 017-9091280

Mahaya Mohd.Yassin

Sunday, September 25, 2011

Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan

Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan
(23-25 September 2011, Jumaat - Ahad)

Perkampungan Penulis Muda
106 pelajar pelbagai bangsa
SMK DUAM, Johol, tuan rumahnya
Mahaya, Nisah dan Azzah penceramahnya.

Peserta aktif berinteraksi meneroka
Lelaki perempuan berbakat pula
Pengisian padat amat berguna
Untuk kini dan hari muka.

Solat berjemaah dipatuhi semua
Bersenam pagi cergas dan ceria
Kebersihan seputar tanggungjawab bersama
Setia mematuhi ketepatan masa.

Puisi, cerpen dan novel dibicara
Ceramah, bengkel dan tunjuk cara
Deklamasi, mestamu dipelajari juga
Bakal penulis lebih teruja.

SMK DUAM amat istimewa
Dandanan landskapnya mempesona
Pemenang Anugerah Lestari Sungai Negara
Segar memukau flora, aroma dan aura.

Di pinggir belukar mengalir sungai
Ujana disusur melalui denai
Di sinilah ilham dicerna dicanai
Tergugah minda perasaan permai.

Tiga hari dua malam berkampung
Ilmu dan kemahiran banyak dihimpun
Setelah usai pengalaman disusun
Garapan karya bermanfaat dan santun.

Anakanda fahamilah tugas dengan sedar
Wawasan dan harapan usah tersasar
Usaha dinilai kecil dan besar
Oleh Allah Yang Maha Perkasa.

Ilmu yang diperoleh dikongsi-konsikan
Dengan keluarga, masyarakat dan rakan
Cita-cita dan hasrat terus perjuangkan
Bersyukur menikmati kejayaan cemerlang.

Sebagi penghargaan sebuah titipan
Rasa kesyukuran yang tidak terungkapkan
Penghargaan kepada JPN dan SMK DUAM
DBP, PEN, petugas dan anakanda tersayang.


Mama Mahaya Mohd.Yassin
7.55 petang, 25 September 2011 (Ahad)

Thursday, September 22, 2011

BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA

PROGRAM BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA
sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Negeri Melaka

Anjuran DBP Wilayah Selatan (DBPWS)
dan Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM)


Pendahuluan

Dalam usaha mengetengahkan, mendedahkan dan membincangkan hasil karya penulis khususnya karya novel, puisi dan cerpen terutamanya melibatkan penulis negeri Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) bersama Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM) akan mengadakan program Bicara Karya Sastera Negeri Melaka (sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Negeri Melaka) pada tarikh, masa dan di tempat berikut:

Tarikh : 1 Oktober 2011 (Sabtu).
Pukul : 9.00 pagi - 11.30 pagi.
Tempat : Dewan Tun Fatimah,
IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka,
Durian Daun, Melaka.

Matlamat program:

i. Mengetengahkan dan mendedahkan hasil karya penulis kepada masyarakat.
ii. Melahirkan masyarakat yang dapat menyelami penyampaian mesej dan pemikiran yang tersirat dalam karya yang dibicarakan.
iii. Melahirkan masyarakat yang bijak menilai dan memanfaatkan isi kandungan
sesebuah karya penulis.
iv. Meningkatkan apresiasi sastera kebangsaan melalui bicara karya kreatif.

Tiga (3) buah karya penulis yang dibicarakan:

i. ‘Masitah’ (kumpulan cerpen Mawar Shafie): Pembicara - Nisah Haron.
ii. ‘Iga’ (kumpulan puisi Zaen Kasturi): Pembicara - Shamsudin Othman.
iii. ‘Wajah Rahsia’ (novel Hanita Hj. Hassan): Pembicara - Mohamad Hj. Musip.


Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, sila hubungi:
i. Rusdi Abd. Rahman - DBPWS (no. telefon: 07-2358802).
ii. Ramly Abu - IPGKPMM (no. telefon: 016-6402366).

MASUK PERCUMA. SEMUA DIJEMPUT HADIR.

Wednesday, September 21, 2011

Ceramah Dr. Awang Sariyan

Dari laman FB Dr. Kamariah Kamarudin :


Ceramah tentang "Perkembangan Pengajian Melayu di China" oleh Prof. Dr Awang Sariyan
29 September 2011 
Dewan Kuliah Za'ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, 
10.00 pagi-12.00 tengah hari. 

Semua yang berminat, sudikan menghadirinya. Masuk tidak dikenakan apa-apa bayaran, cuma perlu mendaftar sebagai peserta. Jualan buku turut diadakan pada hari tersebut. Ayuh, datanglah bertandang ke kampus Serdang!

Friday, September 16, 2011

Titipan Khas Ketua Satu - 28 Ogos 2011

Sumber imej diambil dari sini.


Assalamualaikum,

Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin.


Teriring doa agar kita sentiasa mendapat taufik dan rahmat Allah dalam meneruskan kehidupan sebagai khalifah-Nya, insya-Allah.


Titipan Khas ini untuk semua - Ahli Jawatankuasa, ahli, Ahli Seumur Hidup, bekas ahli, kerabat, sahabat, peminat, pencinta bahasa dan sastera serta saudara jauh dan dekat. Kalian sekeluarga diundang ke majlis yang tersebut di atas. Sudi-sudikanlah.




Matlamat majlis

  • saling berkenalan
  • mengeratkan silaturahim
  • berkongsi kisah, ilmu dan pengalaman demi kebaikan semua
  • mendapatkan Buku Undang-undang PEN yang baharu




Makluman


  1. Dewan Bahasa dan Pustaka Zon Tengah baru diwujudkan kira-kira sebulan yang lalu. Pengarah dan rombongannya, Puan Che Zainab berkunjung ke negeri kita pada 16 Ogos yang lalu. Alhamdulillah, bersama-sama Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (tuan rumah) dan wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, banyak perkara yang dibincangkan. Rancangan untuk mengangkasakan bahasa dan sastera di negeri kita semakin meriah dan perkasa, insya-Allah.
  2. Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Negeri Sembilan akan berlangsung di Sekolah Menengah Datuk Undang Abdul Manap, Johol pada 23 - 25 September (Jumaat - Ahad) 2011. Mesyuarat penyelarasan telah berlangsung pada 12 Ogos (Jumaat).
  3. Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2011 akan dilaksanakan pada bulan Oktober ini. Pelancaran Peringkat Kebangsaan pada 6 Oktober (Khamis), di Melaka dan peringkat Negeri Sembilan pula ialah pada 18 Oktober (Selasa) 2011 di Kompleks Penyiaran RTM, Sungai Gadut, Seremban. Olek Bahasa (penutupan) akan diadakan di KRT Dangi, Johol pada 29 Oktober 2011. Insya-Allah, antologi puisi PEN Gema Serunai Hati 10 akan dilancarkan nanti.
  4. Festival Kesenian (JKKNS) akan berlangsung pada 12 - 16 Oktober 2011 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan.
  5. Mohon kerjasama untuk menyemak serta menggunakan laman web PEN dari semasa ke semasa (www.penulisn9.blogspot.com) untuk pengumuman dan maklumat terkini. Kami beransur-ansur menggunakan wadah teknologi iaitu sistem pesanan ringkas dan laman web untuk perhubungan terkini. Harap maklum.
  6. Mulai Jun 2011, yuran ahli biasa setahun ialah RM20.00 dan yuran Ahli Seumur Hidup kekal RM100.00. Beberapa pindaan yang terdapat di dalam Buku Perlembagaan yang baharu perlu difahami agar tidak wujud kekeliruan, insya-Allah

Kita berjumpa pada Majlis Mesra Raya PEN 2011 nanti, insya-Allah.

Sekian, terima kasih.



Mahaya Mohd.Yassin

Ketua Satu PEN
27 Ogos 2011

Wednesday, August 31, 2011

Al-Fatihah kepada Dato' Hassan Ahmad - Pejuang Bahasa


Almarhum Dato' Hassan Ahmad
Sumber foto

Ketua Satu dan AJK serta ahli-ahli PEN mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Dato' Hassan Ahmad yang pulang ke rahmatullah pada 31 Ogos 2011.

Almarhum akan dikebumikan esok (1 September 2011) sebelum zuhur dan alamat kediamannya di No 30 Jln 22/49 Kg Tunku, Petaling Jaya.

Al-fatihah.

Perlembagaan PEN:
Bayaran Masuk, Yuran & Bayaran Lain

Ahli PEN dan peminat bahasa dan sastera yang budiman,


Dalam buku Undang-undang PEN yang baharu (Mei 2011) FASAL 6

BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1)   Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:
  • Ahli Biasa; Yuran tahunan RM 20.00 (dua puluh ringgit sahaja)
  • Ahli Seumur Hidup; RM 100.00(seratus ringgit sahaja)


(2)  Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari sebelum pertengahan tahun tiap-tiap tahun.


(3)  Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh Setiausaha Satu atau wakilnya dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.


(4)  Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.


(5)  Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

(6)  Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

Saturday, August 20, 2011

Al-Fatihah kepada Sasterawan Azizi Haji Abdullah

kredit foto : ITNM
Ketua Satu, ahli jawatankuasa serta warga Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga sasterawan Azizi Haji Abdullah yang telah mendahului kita pada 21 Ogos 2011 bersamaan 21 Ramadhan 1432H.

Al-Fatihah.

Friday, August 12, 2011

Sekitar Pelancaran Buku Penulis-Penulis PEN

Sempena Pesta Buku Negeri Sembilan 2011 yang berlangsung pada bulan Julai yang lalu, sebanyak 5 buah karya ahli PEN telah dilancarkan oleh YB Dato, Hj Mohammad Razi Hj Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

Buku-buku yang dilancarkan telah dinyatakan di dalam entri yang terdahulu

Berikut beberapa gambar yang sempat dirakamkan ketika majlis pelancaran tersebut.

Latar pentas
Dari kiri : Puan Jamilah (Pengarah PPANS), Y.B. Dato' Razi dan Puan Nisah Haron
(Setiausaha 2 PEN)
Ucapan perasmian
Puan Nisah memperkenalkan 5 buah buku yang dilancarkan
Y.B. Dato' Razi meneliti "Kawan Baru Hanani"
Y.B. Dato' Razi meneliti "Ayahku Pulang"
Kredit semua foto kepada Puan Siti Adnon Abdul Wahid, pegawai Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. PEN merakamkan penghargaan ini.



Monday, July 18, 2011

Pelancaran Buku Penulis Negeri Sembilan sempena Pesta Buku Negeri Sembilan

Pelancaran buku 5 pengarang Negeri Sembilan :

Mahaya Mohd Yassin - Ayahku Pulang
Nisah Haron - Kawan Baru Hanani
Abdul Latip Talib - Pendekar Siamang Gagap
Amiza Khusyri Yusof - Mentari Mediterranean
Siti Jasmina Ibrahim - Hanya Makna

Tarikh : 20 Julai 2011
Masa : 2.30 petang 
Tempat : Pusat Beli Belah Jusco Seremban 2



Klik pada imej untuk lihat poster yang lebih jelas

Ahli PEN dan semua peminat sastera serta pencinta buku dijemput memeriahkan majlis dan mengeratkan silaturrahim. 

Jumpa di sana!

Sunday, July 10, 2011

Program Ziarah Mesra

 Program Ziarah Mesra anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) bukanlah suatu program baharu. Kegiatan ini secara tradisinya sudah menjadi acara rutin PEN saban tahun bagi mengenang tokoh-tokoh yang banyak menyumbang jasa kepada persatuan. Cuma, belakangan ini, kegiatan ini agak lama terhenti kerana kekangan waktu senggang dan aktiviti PEN yang agak padat. Justeru, kesempatan pada hujung minggu baru-baru ini (Ahad 3 Julai 2011), Pn. Mahaya selaku Ketua 1 PEN, Datin Sabariah (Setiausaha 1), dan saya sendiri telah mengunjungi dua tokoh perintis PEN iaitu Hjh. Norini Ali dan Datuk Mohd Pilus bin Hj. Yunus. Isteri arwah Hj. Mad Tainu yang pada peringkat awal turut di dalam radar perancangan kami gagal ditemui kerana berlaku sedikit masalah dalam mencari lokasi rumah beliau. 

  Kesempatan bertemu dengan dua tokoh PEN, Hjh Norini dan Datuk Mohd Pilus sememangnya mengujakan. Walaupun kedua-duanya agak uzur, mereka tetap ghairah dan bersemangat dalam menceritakan pengalaman pahit manis sepanjang menerajui PEN, selain tidak lokek untuk berkongsi idea dan ilmu dalam pelbagai bidang. 
  Ketika bergebang mesra dengan Hjh. Norini yang cukup ramah dan santun, ternyata beliau mempunyai banyak pengalaman yang istimewa yang barangkali jarang ditemui pada orang lain, seperti kata Pn. Mahaya, alangkah baiknya jika pengalaman-pengalaman Hjh. Norini ini, sama ada berkaitan profesionnya ataupun ketika perantauannya ke luar negara dapat dibukukan agar dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama. Apabila diajukan soalan begitu, beliau tergelak kecil dan menyatakan memang ada keinginan begitu. Cuma, ada kalanya faktor kesihatan membataskan keinginan. Doa kami, semoga beliau dianugerahkan oleh Allah SWT nikmat sihat dan lapang, seterusnya dipermudahkan ilham dan ingatan agar hasrat melihat pengalaman beliau dibukukan tercapai. Insya Allah. 
   

Pn. Mahaya menyampaikan cenderamata kepada Hjh. Norini

  Seterusnya, (seteleh gagal menemui rumah isteri arwah Hj. Mad Tainu) kami terus ke rumah Datuk Mohd Pilus di Taman Bukit Kelana. Bekas pendidik dan juga pernah dianugerahkan "Tokoh Guru Nusantara" ini, pernah menjawat jawatan Setiausaha PEN antara tahun 1979-1982. Beliau banyak menyumbang karya dalam antologi-antologi terbitan PEN. Beliau turut berkongsi rasa ralatnya kerana usaha pengumpulan dialek Negeri Sembilan (beliau turut terlibat) yang pernah diusahakan dahulu tidak diterbitkan. Beliau sendiri tidak pasti pihak yang menyimpan segala bahan berharga tersebut. Harapan beliau semoga pihak PEN dapat meneruskan usaha-usaha jawatankuasa terdahulu yang belum dapat dilaksanakan, di samping meneruskan program dan kegiatan sedia ada.

Pn. Mahaya menyampaikan cenderamata kepada Datuk Mohd Pilus

Datuk Mohd Pilus dan isteri bergambar bersama-sama
Pn Mahaya dan Datin Sabariah

  Sesungguhnya, pertemuan dengan dua tokoh ini sangat bermakna buat kami. Saya secara peribadi, begitu teruja kerana dapat berkongsi pengalaman dan idea dengan mereka. Insya Allah, selepas ini, PEN akan merancang pertemuan dengan tokoh-tokoh yang lain pula.

Berterombo di Seri Menanti


Selamat datang ke Seri Menanti Resort
  Saya tiba di Seri Menanti ketika gelap mula mengambus alam. Program "Penghayatan Teromba dan Perbilangan" hanya akan bermula esok. Tetapi saya perlu ke sana pada malam sebelumnya bagi membantu membuat persediaan apa yang perlu. AJK PEN; Pn. Mahaya, Hazlin, Kak Hana, Masliya dan Syukri (anak Pn. Mahaya) sudahpun tiba lebih awal. Pn. Mahaya sendiri sudah menelefon untuk mengingatkan saya supaya hadir. Kebetulan cuti hujung minggu baru-baru ini, sekolah tidak menganjurkan sebarang aktiviti. Justeru, apabila diminta oleh Pn Mahaya untuk hadir membantu urus setia di Seri Menanti Resort, saya terus menyatakan persetujuan. Oleh sebab, lokasi Seri Menanti begitu dekat dengan kampung saya, saya memilih untuk tidak bermalam walaupun bilik disediakan. 
  Sebagai anak jati Negeri Sembilan, teromba ataupun terombo bukanlah sesuatu yang asing. Pernah juga sesekali apabila menghadiri program-program kebudayaan, saya berpeluang mendengar teromba. Ketika di universiti juga, saya pernah mendengar satu dua pembentangan kertas kerja tentang seni warisan indah Negeri Sembilan ini. Begitupun, secara rasmi dan secara terperinci, inilah pertama kali saya berpeluang mengikuti seminar/kursus tentangnya. Secara ringkasnya, teromba ialah susunan undang-undang adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Teromba mengandungi konotasi adat yang digunakan sebagai panduan dan amalan terutama Adat Perpatih dan Adat Minangkabau yang masih digunakan di Negeri Sembilan dan Melaka sehingga ke hari ini. 
  Mengikuti program yang dirasmikan oleh Hjh Nooraine (Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Warisan Negara) ini, peserta berpeluang mendengar ceramah daripada pakar teromba iaitu Dr. Mohd Rosli Saludin, selain kertas kerja tulisan Dato' Seri Maharaja Khalid bin Bonget (beliau tidak dapat hadir kerana urusan keluarga). Dr. Rosli memberi fokus kepada penggunaan kata-kata adat dalam pengacaraan majlis dan Dato' Khalid membicarakan teromba dalam konteks ungkapan adat. Para peserta juga cukup bertuah kerana Dr. Rosli sudi untuk meluangkan masa selama dua hari bersama mereka, khususnya membantu ketika aktiviti perbengkelan berlangsung. Malah, beliau juga turut beraksi di atas pentas dengan menyampaikan teromba mengikut gaya dan alunan suara yang cukup memukau.
  Kehadiran ke Seri Menanti sememangnya cukup bermakna. Seperti pandangan kebanyakan peserta, berkampung selama dua hari di sini terasa cukup singkat. Barangkali, jika Jabatan Warisan Negara bercadang untuk sekali lagi mengadakan kerjasama dengan PEN, biaya yang lebih besar perlu disediakan untuk memastikan seminar/kursus seperti ini dapat dijalankan dalam jangka waktu yang lebih panjang. PEN insya Allah, sedia menyumbang masa dan tenaga kerana selama ini yang mengekang pergerakan PEN ialah peruntukan. Semoga program seperti ini tidak sekadar menjadi satu-satunya kerjasama yang dijalankan oleh PEN dan JWN. Seharusnya usaha murni seperti ini harus diteruskan dalam penganjuran program-program lain pula selepas ini.

Sesi pendaftaran

Peserta tekun mendengar pembentanga kertas kerja

Sesi perbengkelan yang santai

Sesi persembahan yang cukup memikat



Dr. Rosli ketika menggulung hasil pembentangan kumpulan

Penyampaian sijil dan cenderamata oleh Hjh Nooraine

Kenang-kenangan sebelum berangkat pulang