Wednesday, January 18, 2012

FESTIVAL PENULIS bersempena KARNIVAL KARANGKRAF 2012
_____________________________________________________

Kekanda Mahaya Mohd Yassin
Sahabat saya yang dihormati;

Semoga tuan dan keluarga sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT dan diberi kejayaan demi kerjayaan dalam hidup seharian.

Saya dengan berbesar hati ingin menjemput tuan dan sahabat untuk sama-sama hadir memeriahkan majlis Festival Penulis yang akan di adakan pada 27, 28 dan 29 Januari 2012 ini bertempat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf.

Sebagai insan yang sama-sama terbabit dalam kegiatan penulisan, pemasaran karya dan membangunkan dunia buku, jemputan ini amat besar maknanya bagi industri perbukuan negara.

Inilah julung kalinya diadakan festival untuk penulis, disertai showcase penulis dan acara sembang buku selama tiga hari berturut-turut seperti jadual yang saya sertakan.

Atau jika tuan tidak mahu terikat dengan acara sembang buku, bolehlah kita berbual santai di kafe dan di kedai buku. Sepanjang tiga hari ini kami sediakan ruang yang sesuai untuk kita sebagai pemain dalam industri buku bertemu dan berbincang secara sihat tentang karya dan buku-buku serta bagaimana memasarkannya ke medan yang lebih luas.

Kita dan dunia penulisan berpisah tiada...Besarlah harapan saya jika tuan dapat memberi respons terhadap jemputan saya ini. Harap tuan dapat panjangkan jemputan ini kepada sahabat-sahabat PEN kita yang lain.

Sekian terima kasih.

Daripada saya;
Sri Diah Shaharuddin
Pengurus Besar Penerbitan
Grup Buku Karangkraf.

Tel: 019-3431805

Monday, January 16, 2012

Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian

Setelah agak lama tiada pengumuman sayembara penulisan kreatif yang agak besar, kini sudah ada peluang untuk menyertainya. Berikut pengumuman satu sembara oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, PENA dan Berita Harian.


Pengumuman Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian

  • Sayembara ini pertama kalinya akan dianjurkan bersama ITBM, PENA dan Berita Harian sebagai strategi pelaksanaan untuk membentuk penulis muda yang matang serta mapan, mampu menyumbang kepada pembangunan insaniah, dan membina interaksi yang bermanfaat antara penulis dengan pembaca. Terbahagi kepada tiga kategori, iaitu penulisan novel, cerpen dan puisi; sayembara ini terbuka kepada semua penulis muda tempatan di bawah umur 45 tahun, yang lahir pada tahun 1966.
  • Penulis yang menyertai sayembara penulisan novel dikehendaki menghasilkan karya sastera positif yang tidak ditetapkan had halaman muka surat. Tempoh masa satu (1) tahun diberikan bagi menghasilkan dan menghantar penyertaan sayembara penulisan novel ini. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Januari 2013.
  • Bagi kategori cerpen, setiap penulis terbuka untuk menghasilkan 10 karya dalam sebarang genre penulisan. Manakala kategori puisi pula, penulis dikehendaki menghasilkan 30 puisi yang tidak dihad jumlah panjang bagi setiap karya. Tempoh masa penghasilan dan penghantaran karya bagi kedua-dua kategori ini adalah dalam tempoh masa enam (6) bulan. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai 2012.
  • Peserta sayembara ini bebas menghantar seberapa banyak penyertaan. Bagaimanapun, setiap penyertaan hendaklah menggunakan judul dan isi kandungan yang berbeza. Sayembara ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM130,000 untuk pemenang, dan berikut adalah pecahannya:

Kategori Novel

Hadiah Pertama: 1 x RM15,000
Hadiah Kedua: 1 x RM12,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM9,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM3,000

Kategori Cerpen

Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000

Kategori Puisi

Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000
  • Untuk maklumat lanjut dan memuat turun borang penyertaan Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian, sila layari laman web ITBM di www.itnm.com.my.