Friday, February 26, 2010

Salah tanggap adat perpatih

ANTARA peserta Seminar Memugar Warisan Adat Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, baru-baru ini. - Foto ihsan UPSI


Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Perbincangan mengenainya dilihat dari pelbagai sudut

SEMINAR Sehari Memugar Warisan Adat Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini, memperbetulkan salah tanggap dan pandangan sinis terhadap adat Perpatih terutama membabitkan soal ketegasan mempertahankan adat, perkahwinan dan pewarisan harta.

Falsafah sebenar di sebalik ungkapan biar mati anak, jangan mati adat, diperjelaskan pada seminar anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) itu, selain menerangkan aspek pemilikan dan perwarisan harta yang selama ini menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat luar.

Ahli Jawatankuasa Penyelidik Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Salleh Yasin, berkata adat perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan tidak sebulat seperti yang diasaskan Datuk Perpatih Pinang Sebatang di Minangkabau, Sumatera Barat kira-kira 500 tahun lalu kerana sudah diubahsuai mengikut kesesuaian orang Melayu di Tanah Melayu.

“Ini kerana pengaruh persekitaran dan kesan daripada perkahwinan orang Minangkabau dengan penduduk asal Negeri Sembilan, sedikit sebanyak memberi kesan daripada segi identiti dan cara pengalaman di negeri berkenaan berbanding di tanah asalnya.

“Sistem hidup yang berpandukan adat Perpatih itu diamalkan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan terutama di Kuala Pilah, Jempol, Rembau dan Jelebu serta kawasan Lenggeng dan Pantai di Seremban, selain Tampin dan Naning di Melaka,” katanya membincangkan Adat Perpatih: Adat Bersendi Hukum, Hukum Bersendi Kitabullah.

Selain itu, tanggapan sinis dan salah faham terhadap adat Perpatih dalam masyarakat terutama mereka yang tidak mengamalkannya dikatakan berpunca daripada ketidakfahaman falsafah dan latar sejarah pengislaman adat berkenaan.

“Malang juga apabila ada sebahagian pengamal adat Perpatih kurang mahir dalam falsafah adat ini, khususnya mereka yang menerima pusaka jawatan datuk adat. Oleh itu, pihak muzium menyediakan panduan kepada datuk adat dan pengamal adat mengenai falsafah adat perpatih, selain memperbetulkan salah tanggap terhadapnya,” katanya pada sidang yang dipengerusikan Pensyarah Upsi, Prof Dr Bukhari Lubis.Perpatih yang selalu dipersendakan adalah ungkapan biar mati anak, jangan mati adat yang secara zahirnya tidak boleh diterima dan dipersetujui oleh masyarakat, sedangkan asal-usulnya berkait rapat dengan pelaksanaan undang-undang secara tegas tanpa memilih bulu.

“Asal usul pepatah ini ialah perbuatan zina berlaku antara anak pembesar sehingga pembesar mahu menyelesaikannya agar tidak menjejaskan kedudukan ketua adat, tetapi ketua adat berkenaan tetap mahukan pesalah dihukum mengikut hukum Islam iaitu sebat 100 rotan.

“Pepatah itu bertujuan menegakkan keadilan tanpa mengira kedudukan pesalah dan menjaga kepentingan orang ramai, sekali gus menolak rayuan yang meminta hukum tidak dilaksanakan,” katanya pada seminar yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Mohd Mustamam Abd Karim.

Mengenai pandangan sinis pasangan lelaki yang terpaksa keluar sehelai sepinggang apabila bercerai, Muhamad Salleh menegaskan pandangan itu timbul kerana masyarakat luar tidak memahami konsep sebenar pemilikan harta dalam konteks perkahwinan berdasarkan adat perpatih.

“Perbilangan adat menyebut bahawa pembawa kembali, dapatan tinggal, carian dibahagi yang bermaksud apabila berlaku perceraian, suami berhak mengambil kembali harta yang dibawanya sebelum kahwin, sekali gus tidaklah bermakna dia keluar dari rumah sehelai sepinggang.

“Harta yang menjadi kepunyaan isterinya ketika berkahwin tetap menjadi milik wanita kerana ia menjadi harta dapatan daripada suaminya, manakala harga yang diusahakan bersama pula dibahagi antara suami isteri sama ada secara sama rata atau peratusan,” katanya pada seminar yang turut dihadiri Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Upsi, Datuk Dr Mohd Rosli Saludin dan Ketua Satu Pen, Mahaya Mohd Yassin.

Setiusaha 2 Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen), Nisah Haron, ketika memperkatakan Citra Positif Adat Perpatih: Pengalaman Menulis Mencari Locus Standi, Aset istiqamah, Lemang Nan Sebatang, memperbetulkan salah faham terhadap tanggapan hanya kaum wanita yang menerima pusaka, manakala orang lelaki pula terpaksa berputih mata.

“Salah faham timbul bukan saja di kalangan orang awam, bahkan sebahagian sarjana juga tidak memahami bahawa tanah pusaka adat dimiliki oleh suku yang diwakili oleh waris perempuan, sekali gus berbeza dengan tanah pusaka biasa.

“Sistem ini berlangsung dengan baik sehinggalah kedatangan British yang memperkenalkan sistem torrens dalam undang-undang tanah yang mengkehendaki semua tanah didaftar dan mempunyai geran dengan nama pemilik tercatat pada geran berkenaan yang sebenarnya bertujuan memudahkan pemungutan cukai,” katanya.

Nisah berkata, nama yang tercatat pada geran menjadikan penama itu sebagai pemilik tanah tetapi ia sebenarnya bertentangan dalam kes adat Perpatih kerana prinsip asas mengenai harta ialah ia dimiliki suku dan bukannya milik peribadi kerana ia dianggap harta amanah.

“Dalam perwarisan, harta amanah bukanlah milik sempurna individu, sekali gus ia tidak boleh diwariskan berdasarkan pembahagian faraid yang difahami dan pada masa sama kerana tanah adat tidak termasuk di bawah hibah atau hadiah.

“Justeru, memiliki tanah pusaka adat menjadi amanah sehingga tanah itu tidak boleh diperlakukan sesuka hati pihak perempuan yang memegang amanah berdasarkan perbilangan dijual tak dimakan beli, digadai tak dimakan sandar,” katanya.

Sumber : Berita Harian 22 Februari 2010 (Isnin)