Tuesday, January 06, 2009

TITIPAN DARIPADA KETUA SATU


Assalamualaikum,


Saudara ahli yang budiman. Semoga saudara seisi keluarga dalam peliharaan Allah sentiasa. Amin.


Saya bagi pihak Jawatankuasa PEN, pertama-tama memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya PEN berupaya terus memerkasa bahasa, sastera dan budaya, seiring dengan hasrat untuk melahirkan penulis pelapis yang berwibawa.


PEN merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, ahli-ahli serta Kerajaan Negeri, Jabatan, Dewan Bahasa dan Pustaka serta individu yang menjayakan cita-cita ini. Doa kami sokongan dan kerjasama ini akan berterusan.


Pada kesempatan ini, ingin saya khabarkan beberapa perkara:


  • Kepulangan ke rahmatullah bekas Penasihat PEN Allahyarham Dato’ Haji Abdul Rashid bin Mohd.Yusof pada 24 Oktober 2008. Allahyarham dilantik menjadi Penasihat PEN mulai 1999. Pada pertengahan tahun 2006, Allahyarham mohon berundur atas sebab-sebab kesihatan. Namun, PEN tidak pernah melupakan jasa Allahyarham yang terlalu banyak pada PEN sepanjang bergelar ‘Penasihat’. Antaranya, biaya menganjurkan majlis diskusi, ceramah, seminar, Malam Baca Puisi Ramadan dan penerbitan Gema Serunai Hati 4, sebuah daripada tiga antologi puisi ahli PEN yang diterbitkan khas sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan ’99, Hari Puisi Nasional ke-14 dan Sambutan Ulang Tahun PEN ke-30. Kehilangan ini amat dirasakan oleh warga negeri ini, lebih-lebih lagi oleh golongan usahawan dan kita kaum penulis. Marilah kita bersama-sama berdoa agar keluarga Allahyarham bersabar, dan Allah menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang beriman serta memberikan ganjaran-Nya yang terbaik. Amin! Takziah kepada keluarga Allahyarham.

  • Pindaan Perlembagaan tentang yuran-yuran masih dinanti-nantikan. Sehingga itu, yuran tahunan masih RM5.00 dan yuran Ahli Seumur Hidup RM100.00. Namun untuk melancarkan pengurusan dan penglibatan ahli, PEN berharap lebih ramai menjadi ahli seumur hidup!

  • Pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Majlis Anugerah Sastera Negeri yang ke-4. Ahli dan warga yang layak diharap peka akan kategori yang ditentukan dan dapat bersiap siaga lebih awal.

  • Ahli dan warga yang mencintai bahasa, sastera dan budaya tanah air diharap terus dapat terlibat secara aktif dengan menghadiri pelbagai majlis ilmu, berkarya serta menyebarluaskan pengalaman dan pengetahuan kepada masyarakat kita. Semoga amalan kita menjadi ibadah dan dakwah yang diterima oleh Allah. Insya-Allah!

Salam Maal Hijrah 1430 & Tahun Baharu 2009!


Terima kasih.


Wassalam.

Hajah Mahaya Mohd Yassin


Mohd Ghazali Tocheh meninggal dunia


Penerima Anugerah kategori Tokoh Karya Kanak-Kanak / Remaja, Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 MOHD GHAZALI TOCHEH, meninggal dunia di kediamannya di Taman Melati, hari ini.

Allahyarham juga pernah menerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Sembilan 2004.

Al-Fatihah.

Sunday, January 04, 2009

Mesyuarat Agung PEN ke-32

Kepada semua ahli PEN


Dengan penuh takzim Dato’/Datin/Tuan/Puan dijemput ke mesyuarat pada:


Tarikh: 18 JANUARI 2009 (Ahad)

Masa: 8.30 pagi

Tempat: Balai Ilmu, Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban


ATUR CARA

8.30 pagi: Pendaftaran


9.00 pagi: Majlis Bicara Tokoh & Karya PEN

(sempena Ulang Tahun PEN ke-40)

i) Agus Salim oleh Dr. Ani Omar

ii) A. Latip Talib oleh Encik Amiza Khusyri bin Mohd.Yusof


10.30 pagi: Majlis Perasmian

  • Bacaan Doa
  • Ucapan Ketua Satu
  • Ucapan Utama dan Perasmian Majlis

oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Rosli bin Saludin,

Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI



Mesyuarat Agung PEN ke-32


Agenda:

  • Ucapan Ketua Satu
  • Pembentangan dan Pengesahan Minit Mesyuarat Agung ke-31
  • Pembentangan dan Pengesahan Laporan Tahunan 2008
  • Pembentangan dan Pengesahan Laporan Kewangan 2008
  • Pembentangan dan Perbahasan Usul
  • Ucapan Penangguhan


2. Sila sahkan kehadiran melalui telefon 06-6778359/ e-mel ani.omar@fb.upsi.edu.my sebelum 10 Januari 2009.


Kerjasama dan kehadiran Tan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan amatlah dihargai. Terima kasih.


“CINTAILAH BAHASA KITA”


Yang menjalankan tugas,


(DR. ANI BINTI OMAR)

Setiausaha Satu